Wednesday, July 21, 2010

Masjid Itu Di Mana-Mana

Ada orang mengutarakan satu persoalan: kenapa orang yang selalu pergi ke masjid pun perangainya masih entah apa-apa dan lebih teruk, mengalahkan orang yang tidak pergi ke masjid?

Kenapa agaknya?....

Saya ada 2 'point' yang mungkin sesuai sebagai jawapan.

1) Kita pergi ke masjid. Kemudian kita solat, berzikir, membaca Quran, berdoa dan lain-lain. Masalahnya, sebaik sahaja kita melangkah keluar daripada masjid, aktiviti-aktiviti itu ataupun falsafah dan hikmahnya tidak dibawa bersama. Di masjid kita hormat imam, kita tegur silapnya, kita dekat dengan kenalan kita dalam saf, kita tenang dalam iktikaf, kita angguk nasihat penceramah dan lain-lain. Tapi, di rumah, di pejabat, di jalan raya, di bilik kuliah, dalam mesyuarat, di cafe, di farmasi satelit (pharmacy input skit hehe), di komplek sukan dan mana-mana tempat yang kita pergi, kita mungkin lupa membawa 'masjid' kita bersama. Ini sama keadannya dengan orang yang pergi umrah atau haji tanpa membawa bersama 'umrah dan hajinya' pulang ke Malaysia. Tengok apa yang kita buat di masjid. Ingat apa yang kita buat semasa umrah. Kenang apa yang kita lakukan dalam puasa. Bawalah itu semua dalam hidup. Barulah datang kehidupan! Barulah orang masjid sejuk mata memandang di mana-mana. Bukan dibuat-buat. Tapi itulah orangnya. Orang yang hatinya sentiasa tergantung di masjid ke mana-manapun dia pergi.

2) Ustaz Pahrol Md Juoi pernah menulis dalam satu artikel tentang masalah suasana rumah tangga yang porak poranda. Orang selalu menyebut kahwin ni umpama membina masjid. Sekarang ni kita boleh tengok banyak masjid yang cantik-cantik. Di Terengganu ni, ada je projek menaik taraf masjid lama ke masjid baru. Sebagaimana masjid yang perlu diisi dengan aktiviti ibadah untuk menghidupkan kemasjidannya, begitulah juga rumah tangga. Rumah perlu dihidupkan dengan ibadah. Barulah makna sebenar membina masjid itu ada. Ibadah ada yang khusus dan ada yang umum. Hidupkan berjemaah, hidupkan membaca Quran dan meneliti maknanya, hidupkan salam, hidupkan tegur menegur ibarat menegur imam solat yang tersilap, hidupkan senyuman. Biar senyum seindah suria, kata lirik lagu yang saya pun tidak ingat tajuknya. Barulah murni rumah tangga!

Bukankah Nabi berpesan, "Aku diberi lima perkara yang tidak diberi kepada mana-mana Nabi sebelumku...(salah satu lima itu)...dan dijadikan bumi dan seluruh tanahnya masjid dan suci. Maka di mana sahaja aku berada, aku akan menunaikan solat padanya" - Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Jadi, wahai ahli masjid/surau, pulanglah dengan membawa 'masjid dan surau'mu ke mana-mana sahaja.

Terlalu ideal? Mungkin, tapi ingatlah, orang-orang bijak pandai menyebut, "Kalau tidak boleh buat semua, jangan tinggalkan semua"

Tarbiyyah yang berjaya itu 'evolution' yang diusahakan dengan hikmah dan doa pada Allah, bukannya 'revolution' yang dipaksa-paksa!

2 comments:

  1. salam...yup...sy setuju....tapi..skrg nie,org berlumba-lumba nak bina masjid yg cantik dan terlampau mahal..ada yg jarak antara masjid terlalu dekat..ada jugak yg x boleh pun muat utk buat solat jumaat....
    terlalu nk cantikkan luaran masjid sampai lupa "dalaman" masjid tue lagi penting dan perlu diamalkan..

    ReplyDelete
  2. Kena buat iklan baru untuk kempen cantikkan masjid fizikal dan pengisian...Kerana Masjid Begitu Berharga!

    ReplyDelete