Saturday, August 7, 2010

Bila Hati Terasa Kosong


Solat Berjemaah

Tadarus al-Quran

Solat Sunat

Al-Ma’tsurat

Sedekah

Doa

Qiam

Puasa

Baik tutur kata...


Kira cantik senarai semak harian kalau boleh konsisten dengan semua di atas dan kebaikan-kebaikan yang lain.


“Tapi kenapa hati masih rasa kosong dan jauh...?”, tanya seorang kawan. Rajin beribadah tapi hati kosong. Kenapa begitu?

Mari kita kembali dulu pada asas. ‘Back to basic’.

Ada 2 syarat ibadah dalam ISLAM:

1) Ikhlas kerana Allah

2) Mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. yang sahih.

Bab mengikut sunnah Nabi boleh dipelajari. Jadi, maknanya ‘underlying cause’ bagi ‘pesakit’ hati jauh dan kosong ni kemungkinan besarnya ialah ikhlas.

Ikhlas ni soal hati.

Seorang kawan pernah memberi satu nasihat: HADIRKAN HATI!

Berusahalah dalam ibadah semampu mungkin, sambil terus menerus membaiki diri. Sedikit demi sedikit. Baiki dari segi kuantiti, kualiti dan konsistensi. TAPI dengan satu syarat: hati mesti hadir.

Kita umpamakan hati seperti pelajar dalam kelas. Pelajar yang boleh fokus ialah pelajar yang ‘hidup’ dalam kelas. ‘Happening’ kata orang muda DAN biar bertempat, nasihat orang lama. Bukan tersengguk-sengguk, bukan berfikir ke lain. Hanya badan dalam kelas, tapi tuan punya badan entah ke mana mengembara.

Pelajar yang hidup dalam kelasnya sudah pasti ada persediaan. Tidur yang cukup. Tahu jadual kelas, subjek apa, tajuk apa, pensyarah mana dan lain-lain persediaan yang lumrah.

Begitu juga hati.

Buatlah segala macam ibadah, tapi kalau hati tidak hadir, ia akan menjadi sekadar menyelesaikan kewajipan tanpa pengertian.

Bila orang bertanya kepada saya tentang khusyu’ solat, saya akan menjawab dengan 1 kata kunci iaitu PERHATIKANLAH!

Perhatikanlah apa yang kita buat, apa yang kita baca, apa yang kita fikirkan.

Perhatikanlah diri kita, dari mana, buat apa untuk hidup ini dan ke mana akhirnya.

Perhatikanlah pengaduan, doa dan tawakkal kita kepadaNYA.

Perhatikanlah kisah silam kita. ‘Zaman jahiliyyah’ kata sesetengah orang. Bukan untuk mengungkit kisah lama tetapi menyuntik kesedaran bahawa itu semua dalam catatan Yang Maha Mengetahui.

Insya Allah, moga dengan itu kita sedar hakikat diri kita ni siapa. Harapnya, selepas itu hadirlah ikhlas yang boleh memberi ketenangan hidup, jauh dari rasa kosong yang tidak bererti.

No comments:

Post a Comment