Wednesday, August 4, 2010

Syukran Ya Ustaz!

Pelajar-pelajar Kelas Bahasa Arab di Ma'had Tahsin Al-Quran Pasir Panjang. Ustaz Engku Ibrahim duduk depan, tiga dari kiri (berbaju ungu cerah)


Semalam saya dan pelajar lain Kelas Bahasa Arab di Ma’had Tahsin Al-Quran Pasir Panjang, Kuala Terengganu meraikan ustaz kami, Ustaz Engku Ibrahim bin Engku Wok Zin. Ustaz akan menamatkan tugas mengajarnya di kelas Bahasa Arab kami kerana urusan menyambung pengajian peringkat PhD di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. Beliau kini salah seorang pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) atau nama sebelum ni Universiti Darul Iman Malaysia (UDM).

Kelas Bahasa Arab di sini dibuat sekali seminggu iaitu pada hari Selasa, pukul 8.00 hingga 9.00 malam. Minggu ini juga adalah merupakan minggu terakhir sebelum Ramadhan. Sepanjang bulan puasa, semua kelas malam akan ditangguhkan sehingga selepas Aidilfitri. Jadi, majlis meraikan ustaz dikira sebagai majlis jamuan kelas sekali la.

Kebanyakan pelajar adalah pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang sudah bersara. Ada juga cikgu dan imam masjid. Walaupun begitu, kelas ni memang seronok sebab ustaz memang ‘cool’ bila mengajar. Pelajar-pelajar pula aktif bertanya dan memberi contoh ayat. Tak la kaku dan pasif je. Kebanyakannya dah ada asas dan perbendaharaan kata yang boleh tahan jugak.

Satu lagi yang melegakan kat sini ialah yuran yang sangat berpatutan dan sesuai untuk orang yang pokai macam saya hehe. Pelajar cuma perlu bayar yuran pendaftaran RM10 dan yuran tahunan, juga RM10. Bayar setahun sekali je. Pastu terpulang nak ikut kelas mana. Ada banyak kelas. Saya cuma menyertai Kelas Bahasa Arab kerana itulah niat asal saya selain daripada kekangan masa untuk hadir ke kelas-kelas lain.

Keadaan kelas juga selesa. Ma’had Tahsin Al-Quran Pasir Panjang sebenarnya merupakan sebuah rumah banglo yang diwakafkan oleh seorang Dato’ yang merupakan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu. Rumah itu juga dikenali dengan nama Pondok Nor Mahani, sempena nama isteri beliau. Pusat pengajian ini ditubuhkan sekitar tahun 2005 dengan mengubahsuai rumah tu. Ada ruang untuk kelas, pejabat, tempat rehat, ruang solat, makan dan lain-lain. Saya rasa, ada individu yang menyumbang untuk imbuhan tenaga pengajar. Kalau tak, tak lojik pula dengan yuran RM10 setahun boleh menampung kos pengurusan dan lain-lain.

Untuk kelas ni, kaedah pengajian Bahasa Arab sistem Madinah digunakan. Sistem ini diasaskan oleh Dr V Abdul Rahim, yang merupakan bekas pensyarah Bahasa Arab di Universiti Islam Madinah dan sekarang bertugas sebagai Pengarah, Pusat Terjemahan, Kompleks Al-Quran Raja Fahd, Maklumat berkenaan sistem ini boleh didapati di laman webnya di sini atau sini. Sebenarnya, ada satu lagi kelas Bahasa Arab yang saya sertai, juga menggunakan sistem yang sama. Kelas ke-2 tu di Kampung Manir, Kuala Terengganu pada hari Sabtu, pukul 9.00 – 10.30 malam. Kat sini, guru yang mengajarnya dikenali sebagai Ustaz Muhammad, yang merupakan salah seorang pelajar kepada Ustaz Muhammad Taha Abdullah, seorang guru Bahasa Arab di Kelantan yang cukup dikenali dengan Pusat Bahasa Arabnya. Ustaz Taha berbangsa Amerika dan telah memeluk Islam pada tahun 1989. Beliau telah belajar di Universiti Islam Madinah dari tahun 1990 hingga 1993 dan merupakan antara murid kesayangan Dr V Abdul Rahim
. Berita tentang Ustaz Taha pernah keluar di Utusan Malaysia (klik di sini).

Saya tertarik dengan dua isi penting dalam pesanan Ustaz Engku Ibrahim kepada kami. 1) Tujuan utama belajar Bahasa Arab ialah untuk memahami Islam, bukan semata-mata berkomunikasi. Sekurang-kurangnya ia membantu untuk kita faham perkara-perkara asas dalam hidup kita seperti Al-Quran, zikir dan doa yang dibaca. 2) Antara contoh ikutan yang baik pada sebahagian orang Arab Muslim ialah melazimi doa kepada sesama mereka dalam komunikasi seharian. Cukup halus gaya bercakap mereka. Setiap ucapan berbentuk doa biasanya akan dibalas dengan doa.

Jadi, apa tunggu lagi, jom berbahasa Arab!

2 comments:

  1. salam...beruntungya org yg tinggal di kelate dan terengganu..kat tempat saya,majoriti org cina..sangat payah nak cari sape2 yg anjurkan kelas agama or bahasa arab..kat masjid kawasan saya pun tak ada buat...
    niat nak belaja tapi tak berpeluang lagi.nasib baik sempat jugak belaja masa kat kena amik bahasa arab kat PJ dulu...semoga bro dapat amal dan sebarkan pada semua...

    ReplyDelete
  2. To Husna: wsalam..takpe..tu kat UIA Kuantan, lembah ilmu yg besar tu. Ada 2 tahun lagi boleh kumpul byk2.

    ReplyDelete