Saturday, January 2, 2010

Forever 21 ?



Tahu tak logo di atas? Saya pun tidak pasti: jenama atau syarikat pakaian. Apapun, cuma tertarik pada namanya: Forever 21. Minggu ni masuklah kita ke tahun baru 2010. Cepat betul 10 tahun berlalu. Saya masih ingat waktu memasuki tahun 2000 semasa di Tingkatan 3 yang kecoh dengan isu Y2K compliant dalam industri ICT (yang akhirnya tak ada apa pun). Tahun 2010...genaplah saya 25 tahun sekiranya panjang umur.

Berbalik pada tajuk, realitinya...setiap insan yang memasuki usia 21 tahun boleh jadi 'Forever 21' atau 'Not Forever 21'. Kalau ajal kita sudah ditetapkan sewaktu usia 21 tahun, maka kekallah kita dalam ingatan orang-orang yang kita tinggalkan sebagai berusia 21 tahun. Bagi yang dipanjangkan umur oleh Allah SWT, sudah tentu kita tidak akan muda selamanya. Sampai masa, penuaan adalah sesuatu yang pasti berlaku.

Cubalah lari sekejap dari kesibukan...
Luangkan waktu...
Ambil al-Quran dan bacalah...

"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur."

Surah an-Nahl: Surah ke-16, Ayat 78, Juzuk 14, muka surat 275




Akan sampai waktunya...

"Wahai manusia! Jika kamu meragui (hari) kebangkitan, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setitis mani, kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu; dan Kami tetapkan dalam rahim menurut kehendak Kami sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian (dengan beransur-ansur) kamu sampai kepada usia dewasa, dan antara kamu ada yang diwafatkan dan (ada pula) yang dikembalikan sampai usia yang sangat tua, sehingga dia tidak mengetahui lagi sesuatu yang telah diketahuinya. Dan kamu lihat bumi ini kering, kemudian apabila telah Kami turunkan air (hujan) di atasnya, hiduplah bumi itu dan menjadi subur dan menumbuhkan berbagai jenis pasangan tumbuh-tumbuhan yang indah".

Surah al-Hajj: Surah ke-22, Ayat 5, Juzuk 17, muka surat 332.

Kita nanti yang mana satu? Adakah sempat sampai usia lanjut?...Hanya Allah yang Maha Tahu...


Sekarang, bacalah pula pesanan Rasulullah SAW:

Daripada Abu Abdul Rahman, Abdullah bin Mas’ud r.a katanya: Rasulullah SAW telah menceritakan kepada kami – dan dia adalah orang yang benar lagi dibenarkan: “Sesungguhnya setiap kamu dihimpunkan kejadiannya di dalam rahim ibunya selamat 40 hari sebagai mani, kemudian dia menjadi ketulan darah seperti tempoh tersebut juga (40 hari), kemudian dia menjadi ketulan daging seperti tempoh tersebut. Kemudian diutuskan kepadanya malaikat, maka dia meniupkan roh padanya. Lalu dia (malaikat) disuruh oleh Allah supaya menulis empat perkara; rezekinya, ajalnya, amalnya dan celaka atau bahagianya. Maka demi Allah yang tiada Tuhan selain-Nya! Sesungguhnya di kalangan kamu ada yang akan beramal dengan amalan ahli syurga sehingga tidak ada di antaranya dengan syurga kecuali sehasta, maka kitab mendahuluinya, lantas dia beramal dengan amalan ahli neraka, lalu diapun memasukinya (neraka). Di kalangan kamu ada yang akan beramal dengan amalan ahli neraka sehingga tidak ada di antaranya dengan neraka kecuali sehasta, maka kitab mendahuluinya, lantas dia beramal dengan amalan ahli syurga, lalu diapun memasukinya (syurga) (Hadith riwayat Bukhari & Muslim)

Mari ber'monologue'...

"Kalau tak silap, ni salah satu hadith 40 kan?" Faris cuba meneka hadith yang aku bacakan padanya. "Ha, mesti familiar kan. Ni antara hadith yang pendek dan diletak kat awal-awal hadith 40" aku terus mengiyakan. "Memang tekun Imam Nawawi. Walaupun usianya tak panjang, tapi umur jasanya panjang, sampai pada kita." aku menambah sambil mengambil Kitab Al-Wafi yang merupakan penjelasan (syarah) kepada hadith 40. Kitab Al-Wafi sebenarnya buku agama pertama yang aku beli selepas SPM. Sejak dari itulah, pantang aku pergi kedai buku, mesti ada yang akan aku beli, kecuali bila poket kering.

Hadith tadi secara ringkasnya menasihatkan kita tentang konsisten dalam mendidik diri pada setiap masa dan ketika sehinggalah akhir hayat kita. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Sahl bin Sa’ad daripada Nabi SAW, sabdanya: “Sesungguhnya semua amalan itu dengan penutupnya”. Maknanya ialah sesiapa yang ditulis (ditentukan) baginya iman dan taat pada akhir umurnya, kemungkinan dia kufur dan mengingkari Allah SWT dalam tempoh tertentu, kemudian Allah SWT memberikan kepadanya taufik (petunjuk) kepada iman dan taat sebelum umurnya berakhir dan dia mati dalam keadaan demikian, maka dia akan memasuki syurga. Sesiapa yang dituliskan (ditetapkan) ke atasnya kufur dan fasiq pada akhir umurnya, kemungkinan dia beriman dan mentaati Allah SWT dalam tempoh masa tertentu, kemudian Allah SWT membiarkannya (tidak menghiraukannya), lantaran usaha, amalan dan keinginannya sendiri, lantas dia menuturkan kalimah kufur dan beramal dengan amalan ahli neraka dan dia mati dalam keadaan sedemikian, maka dia akan memasuki neraka.

Kita boleh ambil beberapa perkara daripada hadith ini:

1) Kita jangan tertipu, merasa lemah atau putus asa dengan keadaan seseorang kerana ukuran sebenar adalah pada akhir kehidupan dia. Mungkin hari ini, seseorang mungkin begitu dan begini keadaannya sama ada baik atau tidak baik. Jika tidak baik, jangan kita berputus asa untuk mendidiknya dengan hikmah dan nasihat yang baik. Kalau tidak dalam masa terdekat, mungkin suatu hari mudah-mudahan Allah membuka pintu hatinya untuk berubah.

2) Kita memohon kepada Allah SWT supaya kita tetap istiqamah atas kebenaran, kebaikan dan kesudahan yang baik (husnul khatimah). Kita tidak tahu bila ajal kita. Oleh sebab itulah, kita kena selalu berhati-hati dan sentiasa berusaha melakukan kebaikan dengan harapan moga-moga akhir hidup kita adalah dalam kebaikan.

Apapun, yang pasti, inilah kehidupan...
CAN BE OR WILL NOT BE FOREVER 21