Monday, June 28, 2010

Dialog Makkiyyah


Mukanya berkerut. Sesekali dia termenung.

“Laa..apa yang ko fikir ni. Mari la gi padang bola. Tak yah feeling-feeling. Redha je lah dapat negeri di bawah bayu tu. Best apa naik kapal terbang,” Mat Ki menyapa Hamdan yang bersandar di dinding masjid.

“Eh ko ni. Ni bukan pasal posting la. Aku tengah confuse. Keliru,” Hamdan membalas.

“Tak sudah-sudah keliru ko. Habis semua benda ko keliru. Ha, kali ni pasal apa plak?” Mat Ki membatalkan hasratnya dan duduk. Di luar masjid, bunyi suara budak-budak bermain di taman permainan masjid memecah kesunyian waktu Asar. Semua jemaah lain sudah pulang ke rumah masing-masing setelah menunaikan solat Asar berjemaah tadi.

“Kenapa aku rasa kosong hati walaupun dah jaga solat berjemaah, baca Quran, puasa sunat dan jaga tutur kata. Boleh kata banyak jugak la yang buat. Ni aku bukan nak riya’ kat ko. Tapi nak cerita keadaan,” Hamdan meluahkan apa yang terbuku di hatinya.

“Takpe la…slow-slow. Nak jaga hati bukan senang. Aku ni pun, segan plak ko tanya camni. Dua kali lima je aku ni,” Mat Ki menjawab tulus.

“Jap…aku teringat something. Benda ni payah. Effect besar kat kita,” tambah Mat Ki tiba-tiba.

“Apa dia?” Hamdan bertanya. Dia mula membetulkan duduknya. Adab seorang murid pada gurunya.

“Menjaga pandangan!“ ringkas jawapan Mat Ki. “Tak kira, lelaki ke, perempuan ke, sama je. Buatlah ibadah banyak mana pun. Hati sangat berkait dengan jaga pandangan. Lebih-lebih lagi zaman sekarang ni,” Mat Ki mula ber’kuliah’.

Hamdan sangat menghormati sahabat baiknya itu. Orang yang selalu menjadi sumber rujukannya. Mat Ki pula sangat rendah diri. Kuliah maghrib tak rasminya di sekolah waktu pelajar dulu, memenuhkan surau sekolah. Boleh dikatakan majoriti pelajar akan hadir mendengar. Tapi setiap kali ditanya soalan oleh kawan-kawannya, ayat tawadhu’ (rendah diri) dialah akan jadi mukadimahnya.

“Ni bukan sekadar soal hati. Ini soal iman. Iman bertambah dengan ilmu dan ketaatan, berkurang dengan maksiat dan kejahilan. Jaga pandangan satu ketaatan yang besar! Aku tak hormat langsung dengan orang yang bercakap petah tentang agama, tapi pandangannya tak dijaga,” tegas Mat Ki.

“Hm..bab iman ni pun aku keliru. Sori la banyak plak keliru aku. Aku tak faham, apa beza aqidah, tauhid dan iman? Pengertian dia macam ulang benda sama je. Pastu apa plak kaitan iman, islam dan ihsan? Pastu tiba-tiba syariat plak? Dari sekolah lagi aku tak faham benda ni. Jawab exam Syariah Islamiyyah dulu pun hafal bulat-bulat.” pertanyaan Hamdan semakin bercabang.

“Macam ni…kita gi satu persatu. AQIDAH ni perkara yang hati ko benarkan, jiwa ko tenteram dengannya dan ko rasa yakin yang sunguh-sungguh. Takde syak langsung. Benda ni perkara asas atau dalam Bahasa Arab kita panggil usul. Sebab tu ada istilah usuluddin iaitu asas agama. Agama ialah cara hidup. Jadi, aqidah ialah asas kepada cara hidup. Ko rasa cara hidup ni satu ke banyak?” soal Mat Ki.

“Cara hidup ni macam-macam. Bergantung pada orang,” jelas Hamdan.

“Dalam erti kata yang lain, secara umumnya, agama lain pun ada aqidahnya. Tapi aqidah mereka tidak betul, diseleweng dan tidak asli lagi. Hanya aqidah yang shahih, terjamin, kekal asli dan diturunkan dengan sempurna diterima oleh Allah…Itulah aqidah Islam yang dibawa oleh para rasul” Mat Ki menyimpulkan bicaranya.

“Okei, pastu macam mana dengan istilah tauhid?” Hamdan mengingatkan Mat Ki soalan penuhnya.

“Haa…Tujuan aqidah Islam yang terpenting ialah mengajak manusia kepada tauhid. TAUHID ialah mengesakan Allah dalam ibadah. Kan perkataan asas dia hampir dengan wahid (satu). Macam mana nak esakan Allah? Arahkan ibadah tersebut semata-mata kepada Allah sahaja dan tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu,” jawab Mat Ki.

“Ooo…tauhid tu tujuan aqidah rupanya. Okei, aku faham tauhid ni mengesakan Allah. Cuma…aku nak dengar skit jawapan ko kalau orang tanya apa pentingnya tauhid?” Hamdan mengemukakan soalan tambahan.

Perbualan mereka bertambah rancak. Maklumlah, lepas ni Hamdan akan ke Sabah untuk bertugas. Tentu susah mereka berdua nak bertemu lepas ni.

“Ko ingat 3 benda. Yang pertama, tauhid ni syarat umum penerimaan ibadah. Macam tak diterima solat tanpa wudhu’. Begitu jugak ibadah tanpa tauhid. Yang ke-2, tauhid beri perangsang dan harapan untuk manusia masuk syurga serta menyelamatkan mereka dari kekal dalam neraka. Sebab itu orang berdosa tak sepatutnya putus asa dengan Allah. Masih ada peluang selagi hidup. Asalkan tak syirik dengan Allah. Yang ke-3, tauhid beri harapan kepada manusia untuk menerima syafaat hari kiamat esok-esok.

Aku ada benda menarik yang selalu aku sebut dalam bab ni. Ko perasan tak, suruhan dan larangan yang disebut dalam al-Quran biasanya dikaitkan dengan tauhid. Contohnya, dalam surah an-Nisa’ ada satu ayat tu sebut pasal buat baik pada mak ayah, kaum kerabat, anak yatim dan lain-lain. Awal ayat tu suruh abdikan diri pada Allah dan jangan syirikkan Allah. Hadith Nabi s.a.w. pun sama. Konsepnya, suruhan terhadap sesuatu dimulai dengan suruhan kepada tauhid dan larangan terhadap sesuatu dimulai dengan larangan terhadap syirik,” jelas Mat Ki dengan panjang lebar.

“Asyik aku je yang terang ni. Kita tukar. Aku plak yang tanya” Mat Ki mencadangkan.

“Aisey…takkan aku plak. Aku kalau jawab yang markah 15 dapat la 5 kot,” Hamdan pula merendah diri.

“Takde-takde. Ni hal agama. Markah-markah tolak tepi. Semua orang kan belajar. Mengetahui, satu perkara. Memahami, satu perkara lain. Ramai yang tahu tapi tak faham. Faham tu lah yang kita istilahkan sebagai faqih,” hujah Mat Ki.

“Kita tahu aqidah Islam ni shahih, terpelihara dan diturunkan dengan sempurna. Soalnya, dari mana kita nak pastikan yang kita dapat aqidah Islam yang macam tu?” tanya Mat Ki.

“Apa yang aku tahu, sumber aqidah mesti ikut wahyu dari Allah. Wahyu ni plak ada 2 bahagian: al- Quran dan as-Sunnah. Contohnya dalam surah al-Baqarah, Allah menyebut al-Quran sebagai al-Kitab dan as-Sunnah sebagai al-Hikmah. Jadi, bila sempurna penurunan wahyu pada akhir hayat Rasulullah s.a.w., maka sempurnalah sudah aqidah Islam,” Hamdan memberi penjelasan.

“Sebab tulah, ulama’ yang terawal ialah orang yang paling faham tentang sumber aqidah ni sebab mereka paling dekat dengan Rasulullah s.a.w. Kalau ikut tertib: sahabat, tabi’in, tabi’ tabi’in, imam-imam terbesar dalam feqah dan ulama’-ulama’ hadith dalam lingkungan tiga kurun selepas Rasulullah s.a.w. The best generation!”.

“Generasi tu menolak sepenuhnya sumber-sumber selain wahyu. Terima wahyu sepenuhnya tanpa syak atau pilihan yang lain. Imam az-Zuhri sebut, ‘utusan adalah dari Allah, ke atas ar-Rasul s.a.w. menyampaikannya dan ke atas kita menerimanya’. Kalau ada pendapat seseorang yang alim sekalipun, sumber wahyu mesti didahulukan. Mereka tak tukar fahaman aqidah yang mereka terima dari Rasulullah dengan lafaz-lafaz atau cara yang luar dari fahaman tu. Orang-orang ni tinggalkan segala penambahan perkara baru atau bid’ah dalam agama. Hasilnya aqidah Islam terpelihara,” Mat Ki menambah.

“Wah, kompleks jugak ni. Tapi rasanya dah faham. Sekarang ni, kita pi ke soalan kedua aku tadi. Islam, Iman dan Ihsan. Explain skit,” pinta Hamdan.

Perbincangan mereka berdua semakin panjang lebar. Tapi biasalah, dah minat kedua-duanya sama.

“Islam, Iman dan Ihsan ni peringkat dalam agama. Bila sorang tu ucap kalimah syahadah dan dia beramal dengan tuntuan atau makna syahadah, maka dia Islam dan kita panggil dia muslim. Bila bertambah keyakinan dia dengan rukun Iman yang enam dan dia beramal dengan amalan yang Islam suruh, maka dia naik ke peringkat iman dan kita panggil dia mukmin. Bila sempurna iman seorang mukmin hingga sampai ke kemuncak keimanan, maka dia mencapai peringkat ihsan dan kita panggil dia muhsin”.

“Jadi, iman ni ikut amalan. Tadi aku ada beritahu pasal jaga pandangan kan. Tu amalan lah. Bila iman bertambah, sorang tu akan bertambah dekat dengan peringkat mukmin dan seterusnya muhsin. Kalau iman berkurang, maka dia dekat ke peringkat muslim sahaja. Ha gitu. Sebab tu, dalam surah al-Hujurat, ada ayat cerita pasal Arab Badwi sebut kami telah beriman. Pastu Allah suruh Nabi beritahu pada mereka, kamu belum beriman tapi katakanlah kami telah Islam kerana iman belum masuk dalam hati kamu,” jelas Mat Ki.

“Ko terang dulu apa yang ko tahu pasal istilah Islam,” dia pula yang meminta Hamdan menjawab soalannya sendiri.

“Islam ni serah diri, patuh dan taat suruhan Allah, tanpa ingkar sikitpun. Termasuk dalam istilah Islam ialah jauhi syirik dan istiqamah dengan tauhid. Islam ni terbina atas rukun Islam yang lima. Syahadah ialah rukun ucapan atau perkataan. Yang empat lagi tu rukun perbuatan. Solat dan puasa tu perbuatan anggota badan. Zakat perbuatan berkaitan harta. Haji plak perbuatan berkaitan dua-dua: anggota badan dan harta,” Hamdan menjawab.

“Okei full mark! Ni mesti hafal bulat-bulat ni” gurau Mat Ki sambil tersenyum lebar.

“Iman plak benarkan dalam hati, sebut dengan lidah dan amal dengan anggota badan. Sama macam Islam, dia ada dua bahagian. Iman dari segi ucapan dan iman dari segi amalan.”

“Iman dari segi ucapan ada dua gak: ucapan hati dan ucapan lidah. Ucapan hati maknanya membenarkan dan yakin dengan hati. Ucapan lidah plak mengucap dua kalimah syahadah, membenarkannya dan memenuhi syarat-syarat syahadah.”

“Lepas tu, iman dari segi amalan pun ada dua: amalan hati dan amalan zahir. Amalan hati merujuk kepada amalan anggota-anggota batin macam niat, ikhlas, menyerah diri, takut, menaruh harapan, taqwa, tawakkal dan lain-lain. Amalan zahir boleh jadi amalan lidah macam baca Quran, zikir dan baca doa atau amalan anggota badan yang lain macam solat, haji, berjalan ke masjid dan lain-lain. Jadi, ringkas cerita, amalan ni syarat kepada kesempurnaan iman. Kita sebut tadi kan, iman bertambah dengan ilmu dan amal.”

“Berkait dengan amalan ni, ulamat ada sebut gak pasal pembuat dosa besar. Jadi, Ahli As-Sunnah wal Jama’ah atau ASWJ berpegang bahawa orang yang buat dosa besar tak terkeluar dari lingkungan iman. Maknanya iman dia berkurang. Kita berpegang dengan ASWJ. Bukan amanah saham wawasan johor ke apa ni. Haha,” sempat lagi Mat Ki berseloroh dalam serius.

“Satu lagi benda penting, kalau ikut hukum di dunia, iman ni perlu kepada dua perkara je: berikrar dengan ucapan lidah dan sebut dua kalimah syahadah. Maknanya camni, kita sebagai manusia hanya dipertanggungjawabkan dengan amalan zahir dan apa yang diucap oleh lidah sahaja. Kita tidak tahu apa yang ada dalam hati seseorang. Jadi, tidak boleh menghukum kafir seseorang melainkan dia terlibat dengan perkara yang membatalkan ikrar dan ucapan tersebut. Ni berdasar kepada hadith yang cerita pasal Usamah bin Zaid, seorang sahabat Nabi yang bunuh seorang lelaki yang mengucap syahadah dalam suatu peperangan. Dia berasa tak sedap hati lalu mengadu pada Nabi. Nabi pun tegur dia sebab apa gi bunuh sedangkan orang tu dah ucap syahadah. Usamah kata dia mengucap sebab takut pada senjata. Nabi beritahu, kenapa tidak belah hati dia sehingga dapat tahu dia mengucap dalam hati ke tidak. Tu Nabi tegur bahawa kita tak boleh menilai hati seseorang,”

“Tapi dalam bab amalan, kita kena pegang bahawa kalau orang buat benda baik, maka perbuatan dia ialah perbuatan yang menghampirkannya ke syurga. Begitu juga kalau buat jahat. Bukan apa, ada yang beralasan, walaupun amalannya tidak Islam, tapi hatinya siapa yang tahu. Dari satu segi, betul kenyataan tu. Tapi kalau dinilai perbuatan tu, kita tetap akan kata itu perbuatan yang bawa dia mendapat redha Allah dan syurga atau murka Allah dan neraka.”

Kali ni Mat Ki betul-betul bersyarah. Hamdan tekun mendengar segala hujah-hujah sahabatnya itu.

“Oh ya, sebelum terlupa, tadi aku cakap iman bertambah dengan ilmu dan amal. Ada satu lagi: zikir dan fikir. Ni Ustaz Pahrol selalu sebut dalam buku dan ceramah dia. Zikir ni maksudnya ingat Allah melalui nama-namaNya, sifat-sifatNya dan ayat-ayatNya iaitu al-Quran. Fikir plak memerhati ciptaan-ciptaan Allah. Tak kiralah manusia ke, alam sekitar ke. Macam-macam la,” tambah Mat Ki.

“Assalamu’alaikum!” tiba-tiba seseorang memberi salam.

“Wa’alaikumussalam!” jawab mereka berdua. Rupa-rupanya sahabat mereka berdua, Mamat menjengah ke dalam masjid.

“Laa…korang buat apa? Aku cari ko Hamdan. Ternampak motor ko kat depan masjid,” jelas Mamat.

“Ala sembang-sembang je. Mari la. Ada apa plak?” ajak Hamdan.

“Eh jomlah duk kat pondok rehat masjid. Petang-petang ni berangin skit duk kat luar,” cadang Mamat.

Mereka bertiga pun pergi ke pondok rehat masjid yang terletak bersebelahan dengan taman permainan kanak-kanak. Budak-budak tadi masih belum pulang. Seronok betul mereka bermain di situ.

“Korang sambung la apa yang korang bincang tadi. Aku nak tumpang dengar je. Tapi kalau hal peribadi dan yang seangkatan dengannya tak apalah hehe,” pinta Mamat.

“Aku duk tanya Mat Ki pasal bab aqidah,” jelas Hamdan.

“Fuyo..aqidah. Berat ni beb. Tapi aku ada musykil jugak dua tiga benda. Orang duk tanya aku, aku pun pening nak jawab. Dorang ingat aku amik syariah ke. Maklumlah UIA katakan.”

“Apa beza iman dan islam? Apa kaitan iman dengan syariat? Ki, ko explain skit,” soal Mamat.

“Sama plak dengan kemusykilan aku,” Hamdan mencelah.

“Ko mesti tahu jugak ni Mamat. Naqib UIA kan hehehe. Hamdan, ni tambahan kepada apa yang kita bincang tadi. Apa yang aku faham, kalau perkataan iman dan islam tu disebut bersendirian, maknanya ialah agama keseluruhannya. Islam bermakna agama. Iman pun bermakna agama. Tapi kalau dua tu disebut dalam satu masa, maka islam tu maknanya amalan zahir seperti amalan dalam rukun Islam, jihad sedekah dan lain-lain manakala iman tu plak amalan batin. Sinilah lahir ungkapan, semua mukmin itu muslim tapi bukan semua muslim itu mukmin. Dari segi hukum di dunia plak, seseorang tu dinilai berdasarkan amalan zahir dia macam hadith Usamah tadi,” Mat Ki meneruskan hujahnya.

“Pastu pasal iman dan syariat. Iman bertambah dengan amalan. Amalan yang betul kena ikut syariat. Syariat ni panduan dan arahan. Guideline la senang cakap. Tujuan syariat ialah nak tentukan sesuatu amalan tu shahih atau tidak, baik atau buruk di sisi Allah. Syariat setiap Rasul berbeza. Namun, aqidahnya sama. Contoh, dalam syariat Nabi Musa, orang yang nak bertaubat kena bunuh diri. Dalam syariat Nabi Muhammad, orang yang nak bertaubat cukuplah berhenti buat, minta ampun sungguh-sungguh pada Allah, menyesal dan berazam takkan ulang perbuatan tu. Aqidah yang dibawa oleh Nabi Musa dan Nabi Muhammad sama iaitu Islam”.

“Ulama’ buat perumpaan nak kaitkan aqidah dan syariat dengan satu analogi yang dipanggil Pokok Iman. Seluruh pokok tu adalah iman. Akarnya adalah aqidah yang ada dalam hati seseorang. Batang, ranting dan daun adalah amalan. Kalau rosak akar, maka pokok jadi kecut dan mungkin mati. Begitu juga iman. Tak wujud iman kalau aqidah rosak atau hilang.”

“Kalau dipotong batang, ranting dan daun, pokok akan jadi lemah juga sebab kewujudan benda-benda tu untuk jaga supaya pokok tu terus kekal hidup berpanjangan. Begitu juga amalan. Kalau ditinggalkan amalan, iman akan berkurang atau mungkin hapus terus. Amalan yang paling asas ialah mengucap dua kalimah syahadah. Pastu solat lima waktu. Kemudian perkara-perkara fadhu yang lain. Menyusul lepas tu perkara-perkara sunat muakkad dan akhir sekali perkara-perkara sunat yang lain,” Mat Ki memberi analogi.

“Betul tak aku kata camni. Tidak bernilai sesuatu amalan yang mengikut syariat yang betul tanpa aqidah yang betul. Begitu juga tiada faedah aqidah yang betul tanpa disertai dengan amalan-amalan mengikut syariat yang betul,” Mamat mengutarakan kesimpulannya.

“Shahih!” Hamdan dan Mat Ki menjawab sekaligus. Mereka bertiga ketawa bersama-sama dek tindak balas spontan itu.

“Aku teringat pesan Ustaz Ismail Omar, iman ni ada manisnya dan ada tanda-tandanya. Ada empat tanda. Yang pertama, kasih kepada Allah dan Rasulullah s.a.w. Kasih kepada Allah dengan ikut jejak langkah Rasulullah s.a.w. serta taat pada suruhannya. Yang ke-2, kasih kepada ulama’ yang terawal atau salaf iaitu para sahabat Rasulullah s.a.w. dan mencontohi mereka. Imam As-Syafi’e sebut dalam kitab Ar-Risalah dia, sahabat Rasulullah s.a.w. adalah orang yang mengatasi kita dalam segala ilmu, akal, agama, kelebihan dan segala sebab yang membawa kepada ilmu dan memberi hidayah; pendapat mereka adalah lebih baik bagi kita dari pendapat kita sendiri. Yang ke-3, kasih dan marah kerana Allah dan yang ke-4, benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana benci untuk dilempar ke dalam api neraka,” kali ni Hamdan pula berbicara.

“Ki, ko tak cerita lagi pasal ihsan,” Hamdan mengingatkan Mat Ki.

“A’a, ihsan. Macam yang aku sebut tadi, ihsan ni peringkat dalam agama yang paling tinggi. Maknanya ialah bersungguh, tekun dan ikhlas dalam perbuatan. Tu dari segi bahasa. Ikut istilahnya, macam dalam hadith Nabi s.a.w. yang malaikat Jibril datang bertanya kepada Nabi pasal islam, iman dan ihsan tu. Nabi s.a.w. kata, kamu beribadah kepada Allah seakan-akan kamu melihatnya dan jika sekiranya kamu tidak dapat melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu.”

“Jadi, berdasar kepada hadith tu, ulama’ bahagikan ihsan kepada dua martabat. Yang pertama, maqam musyahadah atau penyaksian. Ni merujuk kepada frasa yang pertama: beribadah kepada Allah seakan-akan melihatNya. Maknanya, kita beribadah semata-mata untuk dekatkan diri kepada Allah dan mendapat keredhaanNya. Menganggap diri di sisi Allah seolah-olah melihat Allah. Yang ke-2, maqam ikhlas. Ni merujuk kepada frasa ke-2: jika tidak melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu. Maknanya kita beribadah dengan penuh kesedaran bahawa Allah tengok semua perbuatan kita. Sinilah lahirnya ikhlas. Ikhlas ni jalan nak menuju ke maqam yang pertama tadi. Capai yang ke-2 dulu, baru senang nak capai yang pertama insya Allah,” Mat Ki menyusun penerangannya.

“A’uzubillahi minasyyaitonirrojim…” kedengaran surau bilal.

“Ki, dah nak maghrib ni. Aku kena balik dulu la. Terima kasih banyak. Lega skit rasa hati aku. Aqidah ni benda penting. 13 tahun dakwah Nabi di Mekah nak bentuk aqidah yang mantap,” kata Hamdan.

“Itulah penting kita tengok ayat-ayat Makkiyyah (ayat-ayat al-Quran yang turun sebelum hijrah). Semuanya menekankan soal aqidah dan tauhid,” celah Mamat.

“Sama-sama. Aku pun boleh belajar banyak petang ni. Okei Hamdan, Mamat, kita jumpa solat Maghrib nanti. Boleh sambung lagi sembang kita lepas isya’ ke. Dialog Makkiyyah la katakan hehehe,” Mat Ki berlalu pulang dengan perasaan puas dapat membantu sahabat-sahabatnya.


(Diubahsuai dari Buku Manhaj Aqidah Ahli As-Sunnah Wal Jama'ah oleh Ustaz Ismail Omar. Dari Bab 1: Definisi, Kepentingan dan Sumber-Sumber Aqidah dan Bab 2: Islam, Iman dan Ihsan)

2 comments:

  1. buat sdri ke ni muz???
    waaa..... bleh jd novelis nih!

    ::Guess::

    ReplyDelete
  2. Not fully...content tu daripada buku Ustaz Ismail Omar tu :)

    ReplyDelete