Saturday, March 14, 2009

Rasulullah s.a.w. & Palestin: Bibit-bibit Kemenangan (Siri 2)

Siri boikot terhadap Nabi s.a.w. dan umat Islam akhirnya tamat. Kuasa Allah mengatasi perancangan manusia.

Orang-orang kafir itu membuat tipu daya, dan Allah membalas tipu daya mereka itu. Dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya.” (Surah Ali-Imran, 54).

Bukannya Allah tidak mendengar rintihan demi rintihan umat Islam lantaran kesengsaraan yang mereka alami, tetapi Dia Maha Mendengar, Maha Dekat dengan kita.

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya” (Surah Qaaf, 16).

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran”. (Surah Al-Baqarah, 186).

Jutaan umat Islam, kecil, besar, tua dan muda, daripada pelbagai ceruk rantau, mendoakan kemenangan saudara-saudara kita di sana. Hampir setiap ketika, insya Allah, akan ada yang berdoa. Penderitaan mereka bukan sekejap, puluhan tahun! Ingatlah wahai diri, semua itu tidak lain tidak bukan, adalah suatu hikmah yang besar iaitu Allah ingin menguji ketahanan hamba-hambaNYA, meningkatkan darjat mereka dan mengurniakan status syahid! Kita bagaimana?

Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: ‘Bilakah datangnya pertolongan Allah?’ Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Surah Al-Baqarah, 214).

Janganlah kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; bahkan mereka itu hidup di sisi Tuhannya dengan mendapat rezeki”. (Surah Ali-Imran, 169).

Selepas tempoh boikot, Nabi s.a.w. meneruskan usaha baginda ke Taif dengan berharap agar penduduk Taif beriman. Langit tidak selalu cerah. Lemparan batu dan darah menyambut Nabi s.a.w. Betapa hiba dan sabarnya engkau wahai Rasulullah s.a.w. Tawaran malaikat untuk menghempap penduduk Taif dengan bukit ditolak oleh baginda. Walaupun generasi yang ada pada waktu itu tidak beriman, Rasulullah s.a.w. mendoakan moga-moga generasi anak cucu mereka akan beriman. Bagaimana perasaan kita apabila pergi ke suatu tempat dengan hajat kita yang baik tetapi dibalas dengan cacian dan kekasaran oleh orang-orang sekeliling?

Dalam menghadapi cabaran, sebagai manusia, Rasulullah s.a.w. juga memerlukan kepada sokongan. Misalnya, perhatikanlah bagaimana Allah memotivasikan Nabi s.a.w. dalam Surah Adh-Dhuhaa:

Demi waktu dhuha. Dan demi malam apabila telah sunyi. Tuhanmu tidak meninggalkan engkau (Muhammad) dan tidak (pula) membencimu. Dan sungguh, yang kemudian itu lebih baik bagimu daripada yang permulaan. Dan sungguh, kelak Tuhanmu pasti memberikan kurniaanNya kepadamu sehingga engkau menjadi puas.

Bukankah Dia mendapatimu sebagai seorang yatim, lalu Dia melindungimu. Dan Dia mendapatimu seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk. Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang kekurangan, lalu Dia memberikan kecukupan.

Maka terhadap anak yatim janganlah engkau berlaku sewenangnya. Dan terhadap orang yang meminta-minta, janganlah engkau mengherdiknya. Dan terhadap nikmat Tuhanmu, hendaklah engkau nyatakan (dengan bersyukur)”.


Episod hiba dalam siri-siri perjuangan Nabi s.a.w. terubat jua akhirnya dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Satu persoalan besar yang patut kita fahami, kenapakah Allah memilih Baitul Maqdis? Mampu saja Allah mengangkat Nabi s.a.w. terus dari Makkah. Itu bermakna pentingnya Baitul Maqdis yang juga merupakan kiblat pertama umat Islam. Dalam perisitiwa itulah, status umat terbaik (khairu ummah) berpindah daripada Bani Israel kepada umat Muhammad s.a.w.

Wahai Bani Israil, ingatlah nikmat-Ku yang telah Aku anugerahkan kepadamu dan (ingatlah pula) bahawasanya Aku telah melebihkan kamu atas segala umat” (Surah Al-Baqarah, 47). (yang dilebihkan itu merujuk kepada nenek moyang mereka yang berada pada zaman Nabi Musa a.s.)

Status khairu ummah bukan sekadar nama, tetapi ada tanggungjawabnya yang berat iaitu MENYURUH BERBUAT BAIK DAN MENCEGAH KEMUNGKARAN. Melarang lebih sukar daripada menyuruh. Kedua-duanya ada cabaran tersendiri. Mungkin mudah kita menyuruh rakan kita bersolat bersama kita, tetapi untuk melarang mereka daripada maksiat…….terdiam kita. Amanah tetap amanah. Ia perlu ditunaikan. Apabila amanah dikhianati, berat balasannya. Kalau tidak kerana status umat Muhammad yang ditangguhkan balasannya hingga hari akhirat, terus sahaja balasan itu dilaksanakan seperti yang berlaku kepada umat-umat sebelum ini.

Motivasi yang Allah berikan kepada Nabi s.a.w. melalui Isra’ Mi’raj cukup kuat. Satu demi satu pintu kemenangan dibuka oleh Allah. Tahun-tahun selepas peristiwa tersebut memperlihatkan berlakunya Perjanjian ‘Aqabah, Hijrah, pembentukan Negara Islam Madinah, siri-siri peperangan seperti Badar dan Uhud dan akhirnya pembukaan Makkah.

Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong. Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat”. (Surah An-Nashr, 1-3).

Islam membawa kedamaian. Islam tidak pernah menindas. Tinta sejarah telah mencatatkan jatuhnya Baitul Maqdis kepada umat Islam suatu ketika dulu adalah melalui proses penyerahan secara terhormat. Umar r.a. datang mengambil kunci Baitul Maqdis dalam keadaan penuh kesederhanaan. Wahai pemimpin, Umar mengajarmu erti amanah kepada rakyat. Peristiwa itu juga memperlihatkan keterbukaan Islam apabila Umar r.a. membenarkan seramai 70 ahli keluarga Yahudi untuk menetap di Baitul Maqdis. Wahai Zionis! Lupakah itu!. Jauh ibarat langit dan bumi dengan apa yang mereka balas kepada kita sekarang.

Sama-sama kita membina semangat dan kekuatan dengan merenung suatu hadith Nabi s.a.w. ini.

Senantiasa akan ada segolongan dari umatku menampakkan kebenaran, tidak membahayakan mereka orang-orang yang menghinakan mereka dan menyelisihi mereka sedang mereka teguh di atasnya.” (HR. Bukhari 7311 dan Muslim 170, 1920 dan Abu Dawud 4772 dan At Tirmidzi 1418, 1419, 1421).

Jadi, janganlah kita ragu-ragu dengan kemenangan Islam. Ibarat perlawanan bola yang sudah tetap keputusannya, siapa yang menang dan siapa yang kalah. Tinggal lagi masa untuk bermain. Jadilah apa sahaja, pengurus pasukan, penyerang, pemain tengah, penjaga gol atau sekurangnya-kurangnya kalau tidak mampu bermain, jadilah penyokong kepada perlawanan ini. Bergembiralah rakyat Palestin dengan peluang jihad dan syahid! Risaulah wahai diri dengan sedikit sumbanganmu. Ingatlah 3 pesanan Sheikh Abu Bakar, seorang pendakwah Palestin yang pernah dipenjarakan bertahun-tahun oleh Israel sehingga buta matanya ini:

1) Bertaqwalah kepada Allah
2) Berjalanlah dengan jalan orang-orang yang ikhlas
3) Kamu akan berdiri di hadapan Allah dan ditanya tentang apa yang telah kamu lakukan untuk Masjid al-Aqsa.

(Ini merupakan sinopsis daripada ceramah yang bertajuk “Palestin Memanggilmu” yang disampaikan oleh Dr Hafizi Mohd Noor, Pengarah Palestine Centre of Excellence, di Musolla CF Brother UIAM Kuantan pada 7 Mac 2009 dengan sedikit tambahan dan pengubahsuaian oleh penulis).

No comments:

Post a Comment