Tuesday, March 10, 2009

Rasulullah s.a.w. & Palestin: Bibit-bibit Kemenangan (Siri 1)

Ditindas, diboikot, dizalimi. Itulah perkataan-perkataan dalam kamus hidup rakyat Palestin untuk puluhan tahun. Namun, jangan kita bimbang, mereka tidak dan takkan lupa juga meletakkan perkataan ISLAM, SYAHID dan JIHAD.

Optimis, bukan pessimis. Ibu-ibu Palestin menangis bukan kerana seorang demi seorang anak mereka mati, tetapi kerana sudah tidak ada lagi anak mereka untuk syahid! Mereka melihat ujian sebagai peluang. Kemanisan berjuang lebih indah daripada sedikit penderitaan.

Janganlah kamu bersikap lemah, janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) sekiranya kamu beriman” (Surah Ali-Imran, 139).

Bukankah Allah juga telah menyatakan,

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.” (Surah at-Taubah, 111).

Perjuangan itu susah kerana syurga itu tak terkira harganya. Sejauh manakah kita telah mengorbankan masa, tenaga dan kewangan kita untuk syurga? Kita lebih senang berbelanja membeli pakaian, mp3, makanan, tengok wayang. Kita lebih senang membaca komik, main game, update friendster, dengar lagu berjam-jam. Kita lebih senang dengan diri kita.

Bagi yang manfaatkan masa dengan baik, kita selesa dapat mengerjakan solat berjemaah, membaca al-Quran setiap hari, berpuasa sunat, menghadiri kuliah, membaca buku dan artikel agama TETAPI ramai lagi orang sekeliling kita; kawan karib, rakan sekelas, jiran dan ramai lagi yang kurang dan jauh dari semua itu. Mereka akan menyoalmu di akhirat kelak wahai diri!

Benar, jalan islah dan dakwah bukan mudah. Islah ialah memperbaiki umat Islam. Dakwah pula mengajak bukan Islam kepada Islam. Nabi dan para sahabat sendiri pun dipulaukan pada peringkat awal dakwah Islam dalam jangka masa yang agak lama. Pernahkah kita dipulaukan oleh saudara mara atau rakan-rakan? Bagaimanakah rasanya? Tension! Itupun kita masih boleh berbelanja dan mengerjakan tugas seharian. Kalau semuanya disekat, anti-depressants pun agaknya tak berkesan.

Renunglah juga setiap episod perjuangan Nabi Musa a.s. Jangan hanya ditonton kehebatan tamadun Fir’aun dalam Discovery Channel mahupun National Geographic. Boleh saja kita mengkaji piramid dan teknologi kerajaan purba Mesir namun apa yang sepatutnya difokuskan adalah strategi dan cabaran dakwah Nabi Musa a.s. kepada Fir’aun dan sekutunya seperti yang disebut dalam banyak ayat al-Quran. Hampir-hampir sahaja seolah-olah Musa a.s. kalah dalam setiap siri pertembungan baginda dengan Fir’aun. Namun, kuasa Allah mengatasi segala-gala. Keangkuhan Fir’aun tak ke mana. Terbujur kaku lemah tidak bermaya pada akhir hayatnya. Segala kekayaan dan kehebatannya hilang sekelip mata.

Sejarah Berulang

1400 tahun berlalu, sejarah berulang. 1.5 juta penduduk Gaza disekat daripada menerima bantuan . Tiada interaksi, tiada bekalan makanan. Ya Allah, sama rupanya dengan apa yang berlaku kepada Nabi s.a.w. dengan kezaliman yang kita sedang saksikan di Palestin sekarang. Bukankah Allah telah memberi kemenangan pada akhir perjuangan Nabi s.a.w.? Jadi, yakinlah, fajar kemenangan bakal menyinsing di Palestin. Jangan fikirkan bila, tapi fikirkan bagaimana dan apa yang kita boleh bantu.

Semoga Allah memberi ketenangan dan kekuatan kepada umat Islam. Kita menanti-nanti tajuk berita “MASJID AL-AQSA BEBAS!”, “PALESTIN MERDEKA!”, “NEGARA ISRAEL DIBUBAR: RESOLUSI PBB” insya Allah. Mungkin tidak sekarang, mungkin zaman anak cucu kita. Yang haq tetap akan menang dan yang batil tetap akan kalah.

(Ini merupakan sinopsis daripada ceramah yang bertajuk “Palestin Memanggilmu” yang disampaikan oleh Dr Hafizi Mohd Noor, Pengarah Palestine Centre of Excellence, di Musolla CF Brother UIAM Kuantan pada 7 Mac 2009 dengan sedikit tambahan dan pengubahsuaian oleh penulis. Siri 2 akan menyusul insya Allah).

No comments:

Post a Comment