Tuesday, March 10, 2009

Qudwah Rasul: Impian Istiqamah

Rasulullah kami umatmu
Walau tak pernah melihat wajahmu
Kami cuba mengingatimu
Dan kami cuba mengamal sunnahmu

Kami sambung perjuanganmu
Walau kita tak pernah bersua
Tapi kami tak pernah kecewa
Allah dan Rasul sebagai pembela

(Petikan lagu Rasulullah oleh Hijjaz)

Dalam makna lirik-lirik di atas. Mendengarnya sendirian mengingatkan. Lebih-lebih lagi dengan alunan nasyid yang dibawa oleh Hijjaz. Zaman sekolah dulu, inilah antara lagu-lagu utama dalam senarai persembahan kumpulan nasyid sekolah. Jadi, liriknya, nada lagunya sangat mudah dan senang diikuti.

12 Rabi’ul Awwal tiba lagi. Seperti tibanya Ramadhan, bulan haji, awal muharram dan lain-lain, tarikh-tarikh ini akan datang dan pergi. Tarikh adalah sejarah…untuk dipelajari dan diambil iktibar padanya. Lihat saja Al-Quran, begitu banyak sejarah yang Allah ingatkan kepada kita. Itulah kasih dan rahmatNYA. Moga-moga kebaikan hidup menjadi bekal yang berguna bagi mereka-mereka yang MAHU merenung sejarah-sejarah itu.

Bersilih gantinya tarikh juga menyedarkan kita tentang usia ini. Makin hari makin dekat kita dengan mati dan segala janji-janji Allah selepasnya. Bukankah janji Allah itu benar? Hari ini, saat ini, seandainya kita ditakdikan sudah sampai waktu untuk pergi meninggalkan dunia ini dan segala tipu dayanya, cubalah renung, “Ya Allah, bagaimanakah aku sekarang, adakah dalam keredhaanMu?”. Muhasabahlah diri, adakah tindakan kita, perasaan hati kita, percakapan kita, hubungan sesama kita betul dengan apa yang lebih disukai oleh Allah dan Rasul s.a.w.?

Wahai diri, Nabi berpesan padamu, “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak”. Jadi, sambutlah kelahiran Nabi s.a.w. dengan meneliti keaiban dirimu yang masih jauh dengan segala sunnah-sunnah baginda. Janganlah jadi seperti Abu Lahab yang begitu gembira dengan lahirnya Muhammad s.a.w. tetapi kemudian paling lantang menentang ajaran baginda. Jangan juga menjadi seperti Bani Israel yang begitu menunggu dan mengharapkan Nabi akhir zaman adalah daripada jalur keturunan mereka lantas lantang menentang Nabi s.a.w. yang lahir daripada keturunan Quraisy. Jangan gembira dan mengharap dengan tarikh lahir, tapi menjadi orang yang jauh daripada ajaran Nabi s.a.w. dan lebih teruk lagi menentang ajaran Nabi s.a.w. dalam diam dan terang.

Andai dirimu seorang bapa, suami, pemimpin, pelajar atau siapa saja, sambutlah tarikh ini dengan menyedari bahawa Nabi s.a.w. adalah contoh ikutan yang terbaik untuk itu semua. Walau apapun peranan yang dibawah oleh baginda, semuanya dibawa dalam kerangka tanggungjawab yang lebih besar iaitu sebagai Nabi dan Rasul, penyampai risalah Islam. Oleh itu, jadilah bapa, suami, pemimpin dan pelajar yang mendidik dirimu, anak-anakmu, isterimu, keluargamu dan pengikut-pengikutmu dengan didikan agama yang suci ini.

Betapa izzah dan terharunya merenung amanat Nabi s.a.w. dalam Haji Wada’. Di hadapan lebih kurang 100,000 umat Islam hasil didikan baginda, semuanya bersatu menjadi saksi bahawa Nabi s.a.w. telah menyampaikan apa yang telah diamanahkan oleh Allah. Ketika itu jugalah, Nabi s.a.w. telah memerintahkan agar disampaikan ajaran-ajaran Islam kepada yang lain. Pesan itu sebenarnya untuk dirimu juga wahai diriku yang selalu alpa. Islam ini untuk dikongsi. Kebaikan ini untuk disebarluaskan pada rakan-rakanmu, adik-adikmu, keluargamu, saudara-maramu. Janganlah hanya selesa dengan diri sendiri. Syurga itu untuk semua!

No comments:

Post a Comment