Tuesday, January 10, 2012

Peluang Kedua

Syukur kepada Allah s.w.t yang masih memberi peluang kepada kita untuk hidup hingga ke saat ini. Selawat dan salam buat Rasul junjungan s.a.w. atas pengorbanannya yang terlalu banyak...Lau Kaana Bainana (andai baginda s.a.w. ada bersama kita)

Jika kita masih membuka mata pada hari ini, segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kita setelah mematikan kita dan hanya kepadaNYAlah kita akan kembali. Hari yang baru ini tidak lain merupakan peluang seterusnya yang diberi oleh Allah kepada kita untuk mensyukuri apa yang telah kita dapat dan memohon kemaafan atas kesilapan kita selama ini.

Maafkan hamba-hambaMU ini ya Allah...

Waktu susah dahulu, kami meminta kepadaMU. Bukan itu sahaja, malah kami berjanji menjadi hambaMU yang baik. Tetapi kami lalai kemudiannya. Hanyut dengan kehidupan. Kosong rasa jiwa. Solat dan bacaan Quran menjadi tawar. Lama selepas itu, datang lagi kesedaran dalam diri, lantas kami kembali. Tetapi, selepas itu kami tewas lagi.

Namun, ENGKAU masih terus memberi peluang.

Hari ini, kami membuka mata lagi untuk umur yang semakin bertambah...telah hampir 30 tahun perjalanan hidup ini. Jantung masih berdenyut. Udara masih dapat dihirup. Hari-hari semalam penuh dosa yang kami sedar mahupun tidak. Solat yang hanya menjadi rutin biasa tanpa keinsafan. Bacaan Quran yang hanya meniti di bibir sekali sekala.

Maafkan hamba-hambaMU ini ya Allah....

Wad-wad seperti ICU (Intensive Care Unit) dan HDW (High Dependency Ward) menyedarkan ramai orang bahawa insan ini sangat lemah dan kerdil lalu menginsafi diri akan betapa besarnya kurniaan Allah s.w.t. Hanya doa dan linangan air mata mengiringi sesiapa yang pernah merasainya. Seorang ibu tidak akan meninggalkan hospital walau sepenat mana sekalipun dia menunggu anaknya. Begitu juga seorang isteri atau suami. Disebalik wajah sugul mereka, sangat tinggi kebergantungan kepada Allah s.w.t. agar memberi peluang kedua buat mereka walaupun mungkin sebelum ini mereka tidak pernah mengharap sebegitu rupa kepadaNYA.

Ya Allah, perbaikilah bagi kami agama kami....

Bimbinglah kami menjadi hambaMU yang taat di kala susah dan senang....

Jauhilah kami dari perkara yang melalaikan....

No comments:

Post a Comment