Saturday, November 12, 2011

Because Love Is A Verb




Aku teringat kata-kata seorang guruku, Ustaz Hasbullah, yang mengajar subjek agama semasa tahun pertama di UIA dulu, besarnya nilai kasih sayang suami isteri dapat dilihat apabila salah seorang jatuh sakit dan memerlukan penjagaan rapi daripada pasangannya.

Cerita di bawah mengisahkan apa yang disebut oleh beliau itu yang aku kira sangat mendidik jiwa...

Sumber: Harian Metro

“BANYAK sudah wang dihabiskan bagi mengubati penyakit isteri saya, sehingga kini sudah mencecah ribuan ringgit namun dia tetap begini,” kata warga emas, Mamat Endut 67.

Isterinya, Salmah Ali ,76, mengalami strok yang teruk disebabkan pendarahan dalam otak dan kini, dia yang menjaga isterinya yang terlantar sakit sejak lebih 11 bulan lalu.

Keadaan isterinya bertambah teruk sejak beberapa bulan kebelakangan ini sehinggakan tidak lagi mampu menguruskan diri sendiri.

“Dulu semasa dia mula-mula sakit, dia mampu berjalan perlahan-lahan dan makan sendiri. Namun sejak beberapa bulan lalu, bertambah teruk malah dia tidak dapat bangun langsung jika tiada bantuan daripada orang lain,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Jalan Datuk Onn Mersing Kanan, baru-baru ini.

Mamat mengakui segala tanggungjawab menjaga isterinya dilakukan seorang diri termasuk memandikan isterinya serta tugas lain.

“Dulu semasa sihat, dia sangat rajin. Namun sekarang dia tidak mampu berjalan dan bercakap akibat penyakit dihidapinya,” katanya yang mempunyai lima anak yang semuanya sudah berkeluarga.

Selepas Salmah disahkan berpenyakit, dia terpaksa berhenti kerja sebagai nelayan kerana tiada siapa menjaga isterinya yang terlantar.

Isterinya itu juga terpaksa menggunakan lampin pakai buang kerana tidak lagi mampu menguruskan diri sendiri.

“Saya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 kerana saya menghidap penyakit berkaitan hati dan selalu pengsan.

“Akibatnya saya tidak boleh melakukan kerja berat manakala duit yang diberikan JKM saya beli lampin pakai buang dan susu untuk isteri.

“Dalam sebulan, perbelanjaan untuk membeli lampin pakai buang sekitar ratusan ringgit dan dalam sehari, isteri saya memakai tiga hingga empat helai lampin,” katanya.

Segala takdir itu diterima dengan reda dan menganggap ia tanggungjawab suami menjaga isteri walau apa juga yang berlaku.

“Air mata berlinangan apabila memandikan dan memberikannya makan. Sayu melihat keadaan isteri dulu yang kuat dan tabah akhirnya terlantar sakit.

“Hanya Tuhan saja yang tahu perasaan seorang suami. Namun, semua ini saya terima dengan hati yang terbuka dan akan menjaganya sehingga ke akhir hayat saya,” katanya.

...............................

Buat para suami dan isteri, kasih sayang itu anugerah Allah...sebagaimana perasaan itu wujud sejak dari lafaz aku terima nikahnya, pupuklah sehingga ke akhir usia...

Dengan kasih sayang, tiada bezanya rupa dan kudrat, lantaran pengorbanan yang tidak terhitung dan cinta yang telah dicurahkan sejak sekian lama

No comments:

Post a Comment