Monday, December 27, 2010

Facebook...

Dosa-Dosa & Facebook

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net


facebook-logo.jpg

Semenjak empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej kebaikan, melarang kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat beberapa cara penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut kepada haram, malah berganda-ganda haramnya.

Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-

1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.

Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka. Sebagai contoh, ada yang secara terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebegainya melalui status mereka. Tertekanlah suami serba salah.

Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.

Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.

Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.

Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.

Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.

2) Terlebih gambar

Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat ( sehingga memenuhi kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri). Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.

Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu.

Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami) tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.

Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar, si lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina'.

Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang sehabisnya di facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sini .

3) Penyamaran

Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend' seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.

Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkan friend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.

4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan.

Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu ‘bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.

Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar.

Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat saham dosa.

5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.

Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis oleh beberapa penulis lain seperti Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.

Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh semua friend, dan rakan kepada friend tersebut juga boleh menontonnya.

Ini boleh menjadi dosa, kerana :-

a- Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.

b- Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid', tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.

c- Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan ‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.

6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan

Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.

Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung. Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem', ‘zaman solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.

Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah?, kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.

KESIMPULAN

Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.

Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk berbuat dosa.

Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

3 Mei 2010

Friday, December 24, 2010

Petang Yang Mengejutkan

Waktu tu, aku berada antara Tahun 1 dan 2 di UIAM. Masih jelas di ingatan peristiwa pada petang itu. Ia terjadi semasa aku sedang bercuti di rumah.

Aku sedang solat Asar. Agak lewat aku solat dan bersendirian di bilik. Tiba pada rakaat ke-3, tiba-tiba, denyut jantungku menjadi cepat. Terasa agak gelap pandanganku. Aku menjadi sangat takut. Tidak dapat nak digambarkan perasaan takut tu. Lantas, aku mempercepatkan solatku. Hanya satu persoalan bermain di fikiran, sudah tibakah ajalku untuk meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya....Aku tidak memikirkan apa-apa melainkan ingat segala-gala tentang masa lalu.

Selesai solat, degup jantungku masih laju. Aku terpaksa mundar mandir ke sana ke mari dalam rumah, cuba untuk menenangkan diri. Tapi, perasaan takut itu masih ada. Fikiran aku sangat bercelaru pada waktu tu.

Melihat kelibat kereta mak yang pulang dari kerja, aku cepat-cepat meminta mak menghantarku ke hospital. Walaupun kesiankan mak yang penat bekerja, tapi aku buntu dan takut. Sepanjang perjalanan ke hospital, denyut jantungku masih laju. Macam-macam yang difikirkan.

Tiba di hospital, terpaksa menunggu giliran. Aku tidak dapat duduk diam dan mundar mandir. Akhirnya, dapat juga masuk berjumpa doktor. Waktu itu, perasaan berdebar sudah agak kurang. Namun, rasa bimbang dan takut masih tetap ada. Doktor memberi aku ubat untuk membuat denyutan jantungku kembali stabil, tapi aku tidak mahu mengambilnya.

Setelah selesai di hospital, aku minta untuk dihantar ke klinik pakar jantung. ECG (satu ujian untuk jantung) dibuat dan doktor memeriksa dan bertanyakan beberapa soalan.

"Awak ni lemah semangat. Tension sangat ke belajar" tanya doktor.

Selepas diberi beberapa ubat, akhirnya aku tiba kembali ke rumah. Aku solat Maghrib dan Isya' pada malam itu dalam keadaan yang lemah. Termenung panjang..

Itulah antara peristiwa yang sangat mengejutkan dan menakutkan. Mungkin ayat-ayat yang aku tulis ini tidak mampu memberi gambaran yang tepat. Tapi cukuplah nasihat buat diri aku sendiri dan sesiapa sahaja yang membacanya, masa yang sedang kita lalui dan akan datang adalah siri-siri peluang yang diberi oleh Allah kepada kita. Manfaatkanlah sebaiknya.

"Sesungguhnya hanya di sisi Allah ilmu tentang hari kiamat, dan Dia yang menurukan hujan dan mengetahui apa yang ada dalam rahim.

Dan tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakannya esok. Dan tidak ada seorang pun yang mengetahui di bumi mana dia akan mati.

Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Mengenal"

Surah Luqman, 31: Ayat 34 (m/s 414)

Thursday, December 23, 2010

Al-Banna Yang Ku Kenali




Ustaz Umar Tilmisani pernah menceritakan satu kisah tentang Imam Hassan Al-Banna:

Pada suatu masa, kami berhimpun dalam satu program di luar kota. Setelah selesai kerja pada jam 12 tengah malam, kami semua merasa sangat keletihan kerana program seharian yang kami jalani dengan bersungguh-sungguh. Kebetulan saya dan Hassan Al-Banna menghuni bilik yang sama. Saya merasa sangat penat sekali dan ingin terus tidur supaya tidak terlewat bangun solat Subuh. Kami berbaring di tempat tidur masing-masing.

Tidak berapa lama, beliau memanggilku, "Omar, awak sudah tidur?", lantas aku menjawab, "Labbaika, belum Mursyid".

Hassan Al-Banna mendiamkan diri, tetapi tidak lama kemudian, beliau bersuara semula, "Omar, awak sudah tidur?", lantas aku menjawab, "belum lagi Mursyid". Hati kecilku bertanya mengapa beliau bersikap begitu. Setelah lama Mursyid terdiam, beliau akhirnya mengulangi pertanyaan dan oleh kerana aku sangat merasa penat, aku membiarkan soalan tersebut tanpa jawapan.

Imam Hassan Al-Banna yang menyangka aku telah tidur lantas bangun perlahan-lahan menuju ke arah bilik mandi. Di bilik mandi, Hassan Al-Banna sangat berhati-hati berwudhu' supaya percikan air tidak mengganggu lena tidurku.

Kemudian, aku melihat beliau mengambil tempat di suatu sudut bilik. Beliau mengadap kiblat dan beliau pun bersembahyang malam beberapa rakaat. Subhanallah! Begitulah ajaran beliau yang sangat melekat di hatiku.

Monday, December 20, 2010

Masihkah Ada Taubat

Dipetik dari laman web Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Soalan: Prof Madya Dr MAZA, saya seorang pemuda dan sering melakukan dosa. Sudah berulang kali saya bertaubat. Tapi kemudian saya tidak mampu kawal diri, saya buat lagi. Sudah berapa kali saya taubat sehingga saya rasa Allah sudah tidak mahu terima lagi taubat saya. Adakah taubat saya palsu? Adakah saya bohong Allah? Saya terus hanyut dengan perbuatan saya sendiri. Saya hendak taubat lagi, tapi rasa macam Allah dah tidak terima, atau takut saya sendiri ulang lagi. Boleh tak Dr berikan nasihat kepada saya?

Safwan, Melaka.


Jawapan Dr MAZA: Saudara, perasaan kesal atau keinsafan yang ada dalam jiwa saudara –alhamdulillah- menandakan bahawa cahaya iman itu masih kuat dalam diri saudara. Semoga kita semua selalu dibimbing Allah ke jalanNya yang lurus. Untuk soalan saudara maka saya jawab seperti berikut;

1. Secara umumnya taubat bermaksud kekesalan dan keinsafan terhadap dosa yang dilakukan, lalu memohon keampunan Allah dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Ini berdasarkan firman Allah: maksudnya:

“Dan mereka yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun dosa-dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan (perbuatan buruk) yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya adalah keampunan dari Tuhan mereka, dan syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) mereka yang beramal” (Surah Ali ‘Imran: 135-136).

Maka, asalnya taubat itu di samping keinsafan dan memohon keampunan, ia juga adalah azam untuk tidak mengulanginya.

2. Keikhlasan atau kesungguhan seseorang yang bertaubat itu hanya diketahui oleh Allah dan dirinya sendiri. Ketika dia bertaubat, jika ia lahir dari keikhlasan maka perasaan khusyuk, duka, insaf, mengharapkan keampunan Allah akan menyelinap masuk ke dalam setiap pelusuk jiwanya. Airmata keinsafan antara bukti kejujuran insan yang menyesal dan mengharapkan keampunan. Keinginan untuk berada dalam keampunan itu akan membawanya kepada azam untuk tidak mengulangi dosa. Jika taubat seperti itu berlaku, maka itu adalah taubat yang nasuha atau yang ikhlas. Ia diterima Allah.

Sekalipun kemungkinan selepas itu, atas kelemahan diri dan kecuaian, hamba yang bartaubat tadi tergelincir sekali lagi ke dalam dosa yang sama. Jika, dia ikhlas pada taubatnya yang awal, Allah Maha Mengetahuinya dan insyaAllah akan mengampuni dosanya yang awal, juga dosa kemudian jika dia terus bertaubat lagi.

3. Taubat yang sebenar bukan satu perkara yang boleh dibuat-buat. Ia bukan satu lakonan. Perasaan keinsafan yang hadir dalam jiwa seorang hamba bukannya perkara yang diada-adakan. Ia adalah cahaya iman yang lahir dari kekudusan jiwa yang mengakui kebesaran Allah dan takutkan dosa. Apabila perasaan kerohanian itu wujud, maka seorang hamba pun bertaubat dengan penuh insaf dan nekad untuk tidak mengulangi. Siapakah yang mengetahui kewujudan perasaan itu dalam sesuatu jiwa? Sudah pasti hanya Allah dan insan yang bertaubat itu sendiri. Jika keadaan yang disebutkan itu berlaku, insan itu sebenarnya telah benar-benar bertaubat.

4. Insan atau anak Adam itu ada kelemahannya. Kadang-kala dia terjatuh lagi dalam kesalahan setelah bertaubat dengan bersungguh-sungguh. Ini –seperti yang dijelaskan- kegelinciran kedua atau ketiga dan seterusnya tidaklah bererti dia tidak ikhlas dalam taubatnya yang sebelum itu. Namun, kelemahannya menyebabkan dia berulang kali jatuh ke dalam dosa, sekalipun telah benar-benar insaf sebelumnya. Maka, jika hal ini berlaku dia hendaklah mengulangi taubat dan jangan berputus asa. Syaitan akan membisikkan perasaan putus asa dalam jiwa, sedangkan Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penerima taubat.

berdoa3.jpg

5. Hal ini dijelaskan oleh Nabi s.a.w dalam hadis baginda:

“Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: HambaKu melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya –dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya-. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya–dalam riwayat yang lain ditambah: aku ampunkan dosanya-. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hambaKu ini, buatlah apa yang kau mahu aku ampunkan engkau”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

6. Dari hadis di atas menggambarkan, selagi seseorang hamba Allah menyesal dan insaf, sekalipun telah berulang dosa, Allah Yang Maha Pengampun tetap mengampuninya. Namun, hendaklah kita berhati-hati kerana waktu kematian tidak pasti. Orang yang bertaubat dan berjaya mengawal dirinya tentulah lebih baik dari yang gagal mengawal diri. Tidak mustahil ketika dia gagal mengawal diri itu, kematian menjemputnya pergi.

7. Apapun, pintu taubat dalam Islam ini sentiasa terbuka. Tidak kira besar mana pun dosa, berapa kali ia mengulanginya. Insan jangan berputus asa dari rahmat Allah. Firman Allah: (maksudnya):

“Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah az-Zumar: 53).

Putus asa dari rahmat Allah adalah bisikan syaitan yang enggan melihat hamba-hamba Allah kembali kepada Allah.

8. Antara cara untuk memboleh kita istiqamah dengan taubat kita ialah memohon pertolongan Allah agar kita tetap atas jalan hidayah. Al-Quran mengajar kita doa: (maksudnya)

“Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada Kami limpah rahmat dari sisiMu; Sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya” (Surah Ali ‘Imran: 8).

Nabi s.a.w pula selalu membanyakkan doa:

“Wahai Yang Membolak-balikkan jantung hati (Allah)! Tetapkan daku atas agamuMu” (Riwayat al-Tirmizi, Ahmad, Ibn Abi ‘Asim- dinilai sahih).

9. Juga, antara langkah mengekalkan dalam kebaikan adalah dengan mendampingi mereka yang baik dan soleh. Teman yang baik dan mahukan kebaikan akan membawa kita berterusan dalam kebaikan. Begitulah sebaliknya. Firman Allah: (maksudnya)

“dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang menyeru Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaanNya semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui jantung hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami, serta dia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran”. (Surah al-Kahfi: 28).

Hiduplah dalam lingkungan teman-teman yang selalu berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran.

10. Maka, diingatkan jangan kita berputus asa dari rahmat Allah, dan jangan kita jadikan orang lain berputus asa dari rahmat Allah. Insan mempunyai peluang bertaubat sehingga nyawa ke halkumnya. Sabda Nabi:

“Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani)

Saturday, December 18, 2010

MMH Media

Sekadar untuk makluman.

MMH Media ialah koleksi fail-fail sama ada video, lagu, gambar, pdf dan lain-lain yang saya muat naik ke Internet. Jadi, kepada siapa-siapa yang mungkin memerlukan sebarang sumber terutamanya video, boleh la ke saluran yang dibuat tu ye.

Ada 2 bahagian:

1) MMH MediaFire - yang ni saya hanya akan letak pautan bila ada fail yang dimuat naik.

2) MMH YouTube - yang ni untuk video-video. Sesetengah video sudah sedia ada di YouTube, cuma saya kumpulkan dan ada yang di'edit' semula (banyak yang tak edit la hehe).

Pautan untuk kedua-dua saluran di atas saya telah letakkan di sebelah kanan blog, di bawah NetworkedBlog.

Tuesday, December 7, 2010

Dedikasi Khas Buatku



Hari ini tahun baru 1432 hijrah. Aku dilahirkan pada 6 Jamadilakhir 1405 Hijrah. Ini bermakna umurku sebenarnya sudah 26 tahun 6 bulan. Bila menonton filem The Messenger ataupun Muhammad Utusan Terakhir, babak ketibaan Rasulullah s.a.w. di Madinah ketika peristiwa hijrah ialah antara babak yang menyentuh perasaan. Begitu juga dengan peristiwa Haji Wada' dan Pembukaan Mekah. Terasa mulianya Islam, indahnya kejayaan dan hebatnya orang-orang yang dididik oleh Rasulullah s.a.w. setelah bertahun-tahun berusaha.

Seharum Haramain - Kenangan menjejak Tanah Suci pada April 2010

Sejarah penting dalam hidup. Dengan sejarah, kita belajar sebab dan akibat daripada sesuatu tindakan. Kesilapan yang sama tidak seharusnya diulang dua kali. Yang sudah perlu disesali tetapi jangan sampai dibebani dengan sesalan tanpa berbuat apa-apa. Kejayaan yang lalu kita jadikan dorongan tetapi janganlah hanya berbangga dengan 'glory of the past'. Pepatah Arab ada menyebut, bukanlah seorang yang hebat itu mengatakan ayahku atau keluargaku begitu dan begini, tetapi orang yang hebat adalah orang yang mengatakan inilah aku. My Way kata Frank Sinatra dalam lagunya yang sangat popular itu.

Dalam sedih ada ketawa...
Dalam susah ada senang...
Dalam sakit ada sabar...
Dalam mewah ada syukur...
Dalam jatuh ada bangunnya...
Itulah kehidupan...

Dalam artikel ini, sempena Ma'al Hijrah 1432, aku ingin kongsikan dengan semua artikel pertama blog ini yang ditulis pada 1 Januari 2009 dan sebuah kompilasi lagu-lagu yang aku pilih lebih kurang sekitar waktu yang sama, yang aku namakan Dedikasi Khas Buatku. Lagu-lagu inilah yang menjadi teman pada waktu sedih, susah, tertekan, putus harapan atau terasa hati. Lagu yang memujuk hati aku. Dari satu peristiwa, Allah telah takdirkan aku menulis di blog ini sehingga ke hari ini dan mendengar lagu-lagu tersebut sehingga ke hari ini dan insya Allah selagi mana masih ada kesempatan, aku akan terus menulis dan mendengar...

Untuk semua....


Sedih Itu Tazkirah


Dalam menelusuri kehidupan, tidak dapat tidak, akan ada waktu dan ketikanya, hati merasa sedih dengan apa yang menimpa. Kehilangan orang yang tersayang, kegagalan dalam mencapai impian dan cita-cita, ditimpa penyakit dan bala yang dasyat, jasa dan pengorbanan yang tidak dihargai dan pelbagai lagi situasi. Mungkin ada yang mampu hadapinya dengan baik dan tenang, mungkin juga ada yang kecewa.

Walaupun pahit dan payah, sedihlah seadanya. Terimalah dengan hati terbuka. Barangkali, ada kealpaan yang perlu disedari, ada kesilapan yang perlu diperbaiki dan ada sesuatu yang menanti. Moga diri kita kuat menghadapi tanggungjawab dan amanah yang dipikul.

Sedih membuat kita ingat, sedih menyedarkan kita…KITA HAMBANYA.

(1 Januari 2009)


Dedikasi Khas Buatku (klik DI SINI untuk muat turun):


Allah Knows - Zain Bhikha
Anak Soleh - Rabbani
Bisikan Taqwa - Qatrunnada
Cinta Agung - Qatrunnada
Di Hening Malam - Diwani
Farshi Turab - Akhil Hayy
Haji Menuju Allah - Raihan
Harapan PadaMu Subur Kembali - Nazrey Johani
Insha Allah - Maher Zain
I'tiraf - Raihan
Kita Hamba - Raihan
Masihkah Ada Kawan - Qatrunnada
Odei Anak - Raihan
Open Your Eyes - Maher Zain
Selimut Putih - Hijjaz
Sesungguhnya - Raihan
Thank You Allah (Acoustic) - Maher Zain

*lagu Maher Zain baru ditambah kerana waktu kumpul dulu albumnya masih belum ada

Thursday, December 2, 2010

Kenangan Buat Ingatan

Bersama dengan abah di rumah Mok Bachok (nenek sebelah mak)

Pagi itu seperti hari-hari kerja yang lain. Bermacam-macam monolog diucapkan kepada diri sendiri, nak bagi semangat sikit. Tak dinafikan, kadang-kadang, aku terasa malas pula nak pergi kerja. Entah la, rasa tak suka pun ada. Tapi kadang-kadang, ok je. Bercampur-campur jadinya.


Seperti yang pernah aku sebut dalam salah satu artikel di blog ni, aku suka memandu seorang diri. Menenangkan jiwa. Lebih-lebih lagi waktu pulang kerja. Rasa cepat plak sampai rumah. Membuat sesuatu yang kita suka memang akan terasa cepat je masa berlalu.

Pagi itu terkenangkan cerita mak dan abah kerja waktu muda-muda di Kuala Lumpur. Aku baru dilahirkan. Sudah tentu banyak cabaran mereka.

Bangun awal pagi menunggu bas.

Menjaga aku yang baru lahir dan menghantar aku hari-hari ke rumah nenek saudaraku untuk dijaga sekejap (semoga Allah merahmati arwah nenek saudaraku yang aku panggil Mok Nyah)

Kesusahan keluarga mak.

Kos hidup merantau dan bekerja di bandar besar, meninggalkan keluarga yang bergantung harap

Entah apa lagi episod kesusahan hidup mereka yang mungkin tak diceritakan semuanya.

Pagi itu terasa hening...Amat jauh senangnya kehidupan bekerja yang ada sekarang...

Maaflah...aku lupa pada semua itu...


Ya Allah...begitu murni doa yang Engkau ajarkan...

"AMPUNILAH DOSA-DOSAKU DAN DOSA-DOSA KEDUA IBU BAPAKU. RAHMATILAH MEREKA BERDUA SEBAGAIMANA MEREKA
MENJAGAKU PADA MASA KECIL"