Tuesday, September 7, 2010

Tazkirah Ramadhan 4 - Allah Mendidikmu Dengan Kesusahan


Seperti menonton drama pilu.


Itulah antara frasa yang saya boleh gunakan untuk menggambarkan keadaan ketika menemani mak menziarahi seorang sahabat baiknya yang sedang sakit beberapa hari yang lalu.


Umurnya hampir menjangkau 50 tahun. Tapi itu masih muda bila dibandingkan dengan rakan-rakan sekerja yang lain. Anak sulungnya sebaya saya manakala anak bongsunya masih bersekolah rendah.


Hidupnya berubah sekelip mata apabila doktor memaklumkan satu berita yang cukup berat untuk diterima...


Dia disahkan mengidap KANSER PARU-PARU PERINGKAT 4...


Peringkat 4 ialah peringkat yang berat, di mana sel-sel kanser telah merebak ke bahagian badan yang lain.


Sepanjang ziarah pada petang itu, linangan demi linangan air matanya bercucuran. Dia sudah lama mengenali mak, semenjak kecil lagi. Orangnya solehah. Hidup dengan masjid, kuliah agama dan Al-Quran walaupun dalam kesibukan bekerja. Dialah yang bersungguh-sungguh menyusun kuliah agama di pejabat, memaklumkan kepada pekerja-pekerja yang lain. Semua itu tinggal kenangan.


Syukur...dirinya masih gagah untuk berpuasa dan belum meninggalkannya. Solat, doa, dorongan ibu, suami, anak-anak dan rakan-rakan memberi kekuatan kepadanya untuk menghadapi ujian berat itu.


Sesekali, kisah Nabi Allah Ayub a.s. dibaca. Kesabaran Nabi Ayub menghadapi ujian penyakit menjadi pendorong kepadanya.


Saya hanya mampu mengangguk kata-katanya. Biarlah mak berbual dengannya. Moga itu dapat meredakan perasaan. Seingat saya, ketika masih belajar dulu, sewaktu praktikal hospital untuk kes ubat kemoterapi, saya serba salah untuk bertanya banyak kepada pesakit. Biarlah sister (panggilan pelajar perempuan di UIAM) yang beri kaunseling dan bertanya. Bukan apa, tak sampai hati tengok wajah pesakit. Bimbang tersalah cakap sesuatu yang menambah sedih mereka.


ALLAH tidak memberati seseorang melainkan apa yang dia mampu.


Bagi saya, dia seorang wanita yang sangat tabah dan hebat. Walaupun dalam sakit berat sebegitu, ibadah tidak ditinggalkan.


Semoga ALLAH memberi kekuatan dan menyembuhkannya dan memberi ganjaran yang besar kepadanya.


"Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan" (Surah Al-Insyirah, Surah ke 94, Ayat 5-6, Juzu' 30, m/s 596)


"Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada kami" (Surah Al-Anbiya', Surah ke 21, Ayat 35 , Juzu' 17, m/s 324)


"ALLAH tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya..." (Surah Al-Baqarah, Surah ke 2, Ayat 286, Juzu' 3, m/s 49


"Dan kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (iaitu) orang orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata, sesungguhnya kita milik Allah, dan kepadaNYAlah kita kembali. Mereka itulah yang memperoleh keampunan dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk" (Surah Al-Baqarah, Surah ke 2, Ayat 155-157, Juzu' 2, m/s 24)

2 comments:

  1. betol..kdg2 bila melawat kenalan yg sakit,lidah kelu nk berkata apa2..teringat masa melawat izzat ismail di HTAA hari tue...mampu senyum je...kelu lidah nak bagi nasihat or hulurkan simpati...sebab takut kata-kata tue tak sesuai utknya...huhu...

    doakan mereka yg sedang diuji itu dilimpahi dgn kesabaran yg tinggi..insyaAllah..

    bro muzani(panggilan utk pelajar lelaki UIAM)..hehe...selamat hari raya aidilfitri..maaf kalau ada salah dan silap semasa saya bergelar junior dulu....=)

    ReplyDelete
  2. Apapun, kita kena belajar juga untuk memberi kata-kata peransang, sebab suatu hari nanti, mungkin hanya ada kita yang kena bagi motivasi kepada orang yang sakit.

    ye, selamat hari raya, taqabbalullahu minna wa minka. Ada ke salah, tak sempat kot, sekejap sangat jadi juniornya haha.

    ReplyDelete