Monday, September 27, 2010

Takziah...


Saya baru mendapat berita dari kampung tentang kembalinya ke rahmatullah, salah seorang guru Al-Quran saya semasa kecil yang dikenali sebagai Che De Wok. Saya sempat menziarahi arwah semasa cuti lepas habis UIA tempoh hari. Sangat kurus dan kecil jadinya. Semoga Allah merahmati beliau atas jasa-jasanya mendidik saya dan rakan-rakan mengenal Al-Quran.

Selain beliau, sewaktu kecil, saya mengaji Al-Quran dengan arwah datuk saya, Hj. Mohd Said dan arwah nenek, Hjh Wan Selamah. Selain itu, sempat juga mengaji sikit-sikit dengan arwah ayah bapa saudara saya, Hj. Abdul Razak. Tak berani nak baca lama-lama kerana arwah Hj. Abdul Razak yang kami panggil Ayah Ngah sangat tegas dalam bab tajwid. Berulang-ulang kali saya membaca isti'azah pun masih tak betul. Biasa la, budak-budak, nak cari guru yang mudah habis. Isteri dan anak beliau yang masih mengajar Al-Quran sehingga ke hari ini juga merupakan guru-guru saya dulu.

Kemudian bila ke SMKA Tok Jiring, dapat pula berkenalan dengan ustaz dan ustazah kelas Al-Quran di sana antaranya Ustaz Ramli Muda, Ustaz Yusof, Ustaz Abdul Rahman, Ustazah Fatimah dan Ustazah Zuladaini.

Kemuncak dari semua itu ialah pengalaman di Kuala Kubu Bharu di bawah bimbingan Ustaz Taufiq Hussein. Saya letakkan di sini lirik sebuah nasyid yang cukup sinonim dengan budak-budak di sana iaitu SABAR ITU INDAH...

Alangkah besar nikmatnya anugerah Allah,

Memuliakan dirimu dengan kitabNya,

Siang dan malam kau bermujahadah,

Bersusah payah menghafaznya.


Jangan lekas berputus asa,

Ia kan berbalas juga,

Kerana setiap yang susah ada hikmahnya,

Berusahalah, berdoalah dan bertawakkallah.


Bukan semua orang mendapat apa yang dicita,

Sedangkan Allah punya kuasa mengurniakannya,

Bersabarlah dalam mujahadah,

Kerana sabar itu terlalu indah.

No comments:

Post a Comment