Sunday, May 22, 2011

Iktibar dari NUR KASIH


1) Bila diimbau kehidupan dari muda ke dewasa hingga la ke tua, cepatnya rasa masa berlalu dan ia mengingatkan kita pada banyak perkara yang kita rasa kita boleh buat lagi baik. Tapi yang lepas sudah lepas, biarlah penyesalan yang timbul diiringi dengan azam dan ikhtiar yang kuat. Masa hadapan pula perlu difikir tapi jangan sampai khuatir. Sekaranglah yang perlu diusahakan sebaik mungkin dan jangan sesekali dipersiakan.

2) Keluarga yang mesra, berkasih sayang dan mengambil berat antara satu sama lain memang menjadi idaman. Gurau senda antara adik beradik dan anak-anak, memang indah dan membahagiakan. Tapi, tidak semua kita akan dapat merasa begitu. Barangkali ada kelebihan dan kekurangan yang kita harus terima. Jangan sesekali menyalahkan keluarga dan menjadikannya sebagai sebab untuk kita tidak mahu berubah menjadi lebih baik. Berilah yang terbaik kepada keluarga, kerana hakikatnya, ALLAH jua yang membalas suatu pemberian. Tunaikan hak ibu dan ayah sebaik mungkin dan bila kita pula menjadi ibu dan ayah, jangan pula menuntut hak dari anak-anak, biarlah ALLAH yang membalas segala yang kita berikan walaupun mungkin anak-anak kurang membalas atau menghargai.

3) Mintalah pada ALLAH waktu susah dan senang, dalam setiap perkara. Waktu susah dan terdesak, kita berdoa kepada ALLAH macam-macam, habis waktu kita berdoa. Cuba ingat, berapa kali sepanjang hidup ni kita dah lalui tekanan dan kesusahan yang mendesak, yang waktu tu kita tunduk betul-betul pada ALLAH dan berapa kali waktu kita selesa dan senang, kita minta dan ingat pada ALLAH atau kita terus lupa dan buat ibadah ala kadar.

4) Kita datang dari ALLAH dan kita akan balik kepadaNYA suatu hari nanti. Banyak mana dah benda baik yang kita usahakan? Kalau kita seorang yang ada ilmu dan kebolehan, apakah yang dah kita sumbangkan? Berapa ramai dari ahli keluarga atau saudara mara yang dah kita bimbing ke arah yang lebih baik? atau kawan-kawan dan rakan sekerja. Adakah kita cuma berpenat-penat pergi pagi balik petang ke tempat kerja and that's it, i done my part. Atau kita jumpa kawan-kawan atau saudara mara setiap kali Hari Raya atau majlis apa-apa and that's it, maaf zahir batin, makan-makan dan jumpa lagi. Syurga untuk semua, bukan untuk seorang dua. Biar ada cakna soal kehidupan kita dan orang-orang yang dekat dengan kita, supaya hidup dalam keadaan yang disuruh oleh ALLAH.

5) Hidup dalam sekeliling yang baik dan nampak sempurna melupakan kita pada keadaan di luar sana. Masih ramai yang perlukan bimbingan. Bila kita tengok masjid yang ramai orang dan aktif, kita rasa bestnya dan nak join. Kita rasa selesa. Tapi, cubalah pergi ke masjid dan surau kat taman perumahan yang suram, berapa kerat orang yang ada, dan sunyi dari aktiviti. Masa tu kita rasa, siapa yang nak hidupkan tempat-tempat macam ni? Kita sampaikan tazkirah pada orang-orang masjid, yang ada basic agama, yang tak banyak ragam, yang memang datang nak dengar, siapa pula yang nak beri nasihat pada muda mudi yang bermasalah, hidup tanpa bimbingan, yang tak kenal agama dan macam-macam lagi masalah sosial (pening kepala baca Akhar Metro, akhbar yang beritahu pada kita betapa kroniknya keadaan masyarakat). Sahabat Nabi SAW, kecintaan mereka pada Nabi sangat mendalam, tapi cuba tengok, berapalah sangat yang makam mereka di Madinah, yang lainnya bertebaran di luar Madinah dan Arab, atas dasar, bersusah payah memastikan Islam sampai ke seluruh pelusuk dunia.

6) Soal kehidupan sebenar pelakon-pelakon, kita berlepas diri dari memperkatakan sesuatu berdasarkan cerita-cerita orang dan kita juga disuruh untuk tidak membuka keaiban orang. Andai ada kesilapan yang mereka lakukan, moga-moga ALLAH memberi petunjuk dan hidayah kepada mereka dan kita. Diharapkan skrip dan lakonan itu sendiri menjadi kuliah dan tazkirah buat mereka. Doa itu senjata mukmin. Andai ribuan yang mendoakan pelakon-pelakon ini hidup dalam keadaan yang menjadi contoh kepada penonton, ALLAH Maha Melembutkan hati-hati manusia.

Itulah lebih kurang iktibar yang dapat aku kongsikan dari filem Nur Kasih. Syabas kepada Pengarah, Mohd Kabir Bhatia bin Abdullah dan krewnya atas penghasilan filem yang mendidik jiwa ini. Kita merindukan filem-filem yang sebegini untuk terus bertapak kukuh dalam media.

2 comments:

  1. Ye en me..sila2...hok mane dok kene tu oyak oyak la deh

    ReplyDelete