Thursday, August 13, 2009

Isyarat-Isyarat ALLAH


KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Harakahdaily.net) - Vokalis utama kumpulan Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim (Ustaz Asri) meninggal dunia sebaik sahaja jatuh ketika membuat persembahan di RTM kira-kira jam 11.15 pagi ini.

Menurut saksi, Asri jatuh di hadapannya ketika membuat persembahan itu dan ketika diperiksa dia sudah meninggal dunia.

Sementara itu, Harakahdaily ketika menghubungi salah seorang petugas pemasaran kumpulan nasyid itu mengesahkan berita tersebut.

Badrulhisham Jamaluddin daripada bahagian pemasaran kumpulan Rabbani mengesahkan bahawa Ustaz Asri meninggal dunia selepas rebah di RTM pagi tadi.

"Saya tidak tahu apa puncanya,"katanya yang sedang dalam perjalanan ke Hospital Pantai ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.

Ustaz Asri dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor.

Beliau menyertai kumpulan nasyid terkenal itu sejak ia ditubuhkan secara rasmi pada 1 Mac 1997 dengan dianggotai oleh sembilan orang termasuknya.

Kehilangan Asri kini bermakna hilanglah tunjang Rabbani memandangkan arwah banyak menyumbangkan kemajuan prestasi dan memberikan kejayaan kepada Rabbani.

Atas kejayaan itu, maka tidak hairanlah jika Rabbani dijulang sebagai Penyanyi/Artis Nasyid Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP) selama lapan tahun berturut-turut.

Kemunculan Rabbani yang turut dianggotai oleh Mohd. Asri Baidul @ Ubaidullah, Azadan Abdul Aziz, Muhammad Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen Yaakob, Mohamad Afandi Shahbudin, Ahmad Shafie, Nazrul Azhar Tamrin dan Zulkiflee Azman ini adalah dengan konsep yang tersendiri.

Dalam tempoh lebih 12 tahun berada dalam industri ini, Rabbani telah menghasilkan 19 buah album seperti 'ARAH Dari Mana Ke Mana' (1997), 'Pergi Tak Kembali' (1999), 'Intifada' (2000), 'Yalla Beena' (2004) dan yang terbaru, 'Nostalgia Nada Murni'.

Semoga Allah merahmati arwah dan memberikan ganjaran yang besar atas usaha-usaha dakwahnya mengajak manusia mengenal diri dan PENCIPTANYA.

Ya ALLAH,

Sepi rasa sekeliling mendengar berita ini...Seperti juga berita-berita kematian sepanjang usiaku 24 tahun. Baru minggu lepas melihat arwah membuat persembahan. Itu takdir dia. Takdir diri sendiri pula entah bagaimana. Moga Allah tetapkan hati kita atas agamaNYA dan ketaatan kepadaNYA. Patuhilah syariatNYA sementara diri masih bernyawa. Cukuplah kelalaian kita selama ini. Berubahlah. Tekad sungguh sungguh. Jadikan Ramadhan sebagai turning point. Berubah sekarang...saat ini!

Belajarlah dari isyarat-isyarat Allah...buat kita hambaNYA...

“Sesungguhnya Allah, hanya pada sisi-Nya sajalah pengetahuan tentang Hari Kiamat; dan Dialah yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada dalam rahim. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Surah Luqman, ayat 34.

1 comment: