Monday, June 7, 2010

Masjid Hambar - Cadangan Saya

Muka
Usia
Bilangan

Semuanya hampir sama...Itulah warga tua, jemaah tetap yang memenuhi masjid dan surau. Cukup korum, iqamah dilaungkan. Kadang-kadang, silap haribulan, si bilal sembahyang berseorangan, menunggu gerombolan manusia yang hangat hangat tahi ayam apabila tibanya Ramadhan. Ingatkan musafir yang berkelana, rupa-rupanya yang tinggal bersebelahan sahaja. Itulah nasib masjid dan surau. Hambar dan sunyi.

Tapi tak semua begitu, ada yang meriah dan bertenaga. Jadi, pada kesempatan ini, saya kongsikan sedikit cadangan yang pernah saya tulis pada akhir 2008 dan telah dikemaskini. Asalnya diberi nama kertas kerja, tapi tak memenuhi piawai kertas kerja pun, sekadar meletakkan nama yang serius untuk mencerahkan mata AJK Masjid.


Kertas Kerja

MASJID JERAM: KE ARAH SEBUAH PUSAT KOMUNITI YANG RABBANI

oleh

Mohd Muzani bin Hasbullah
Kulliyyah Farmasi,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


PENGENALAN

Masjid pada zaman Rasulullah s.a.w. berfungsi sebagai pusat pentadbiran, pusat pendidikan, pusat kehakiman, pusat ketenteraan, pusat latihan, pusat dakwah Islam, pusat kesihatan dan kebajikan serta aktiviti-aktiviti mu’amalah yang lain. Kesimpulannya, masjid berperanan sebagai pusat komuniti bagi masyarakat Islam. Rabbani bermaksud masjid itu seharusnya menjadi sebuah institusi yang mendidik masyarakat.

Kertas kerja ini mengandungi cadangan-cadangan untuk meningkatkan fungsi Masjid Jeram (dan masjid-masjid lain umumnya) supaya lebih berkesan dalam mendidik masyarakat Kampung Jeram dan sekitarnya. Semoga dengan langkah-langkah yang dicadangkan, pengimarahan masjid akan menjadi lebih baik insya Allah. Cadangan penambahbaikan ini dikategorikan dalam aspek-aspek berikut:-

1) Pengurusan Organisasi
2) Kemudahan Infrastruktur
3) Skop dan Kaedah Pelaksanaan Aktiviti Masjid
4) Pengurusan Kewangan


1) PENGURUSAN ORGANISASI

a) Pemilihan Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid

Pemilihan AJK Masjid mesti dilakukan dengan teliti dan serius, bukan sekadar melengkapkan takwim tahunan atau memenuhi tuntutan Pejabat Agama. Sumber manusia dalam mana-mana organisasi perlu mengambil kira dua aspek penting iaitu Al-Qawiyy (kuat) dan Al-Amin (amanah). Kuat bermaksud mampu dari segi ilmu dan kemahiran seperti dakwah, komunikasi, teknologi maklumat, pengurusan organisasi dan lain-lain. Amanah pula diperlukan untuk memastikan tanggungjawab sebagai AJK Masjid dijalankan dengan ikhlas dan penuh komitmen. Dalam menilai kelayakan seseorang, tidaklah bermaksud mereka perlu sempurna tetapi sekurang-kurangya ada asas kepada dua nilai di atas. Dengan itu, akan wujudlah sebuah pasukan pengurusan masjid yang mantap insya Allah.


Sentimen politik yang melabel masjid sebagai masjid parti sekian sekian perlu diubah. Label sebegitu telah awal-awal lagi ‘menentukan’ siapa yang mengurus masjid dan siapa yang menjadi jemaah masjid. Ini telah merugikan umat Islam dari segi kerjasama untuk memantapkan peranan masjid yang hakikatnya perlu dipikul oleh seluruh umat Islam. Masalah yang melanda umat Islam seperti meremehkan solat, lumba haram, penyalahgunaan dadah, bergaul bebas, mencuri dan lain-lain tidak mengenal anak orang parti mana. Saya tertarik dengan kempen ‘Tiada Panggilan Sepenting Seruan Ilahi’ oleh Syarikat Telekom Malaysia. Bila dilaungkan azan, singgahlah untuk solat di mana-mana masjid tak kiralah anda orang PAS, UMNO atau KeADILan dan berilah bantuan untuk memperbaiki pengimarahan masjid.

Dalam soal pemilihan, saya mencadangkan penglibatan para imam dan bilal masjid, wakil surau-surau kampung, guru-guru agama dalam kampung, wakil kawasan dan wakil JKKK yang berfungsi sebagai Jawatankuasa Pemilihan AJK Masjid untuk memilih calon-calon yang layak. Dengan adanya wakil dari pelbagai pihak, pencalonan akan lebih adil dan menyeluruh. Saya langsung tidak bersetuju dengan cara mencadang dan mengundi oleh jemaah masjid selepas solat Jumaat atau dicadang dan dipilih oleh dua tiga orang tanpa merujuk kepada ahli-ahli jemaah tetap masjid. Ini perkara penting kerana mereka akan memegang jawatan untuk tempoh yang agak lama. Masjid pula nadi masyarakat. Lemah nadi, maka lemahlah masyarakat. Saya juga tidak bersetuju jawatan penting seperti Pengerusi dipegang oleh wakil rakyat. Saya tidak sekali-sekali bermaksud memandang rendah kemampuan wakil rakyat tetapi kita sedia maklum mereka sudah mempunyai tanggungjawab yang banyak sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen. Jadi, kesibukan jadual mereka boleh menghadkan tumpuan mereka dalam soal pengurusan masjid. Mereka boleh berperanan sebagai Penasihat. Bagi saya, itu lebih berkesan dan praktikal untuk melibatkan pemimpin dengan masjid. Namun, sekiranya terbukti seorang wakil rakyat boleh berfungsi dengan baik, saya mengalu-alukan kerana itu boleh menjadi contoh yang baik kepada rakyat.

Selain itu, gabungan AJK Masjid seboleh-bolehnya merangkumi pelbagai latar belakang kerjaya dan umur. Profesional dan bukan professional dapat memberi pandangan dari aspek yang berbeza. Wakil generasi muda juga perlu ada. Ini kerana, masjid realitinya dikaitkan dengan orang pencen atau warga tua. Orang muda biasanya jauh dari masjid. Jadi, kita kena kreatif dalam berdakwah kepada mereka. Pandangan yang pelbagai ini akan membantu Jawatankuasa Masjid untuk memilih cara yang sesuai untuk kumpulan sasar yang berbeza.

b) Pemantapan AJK

Latihan dari semasa ke semasa boleh dibuat untuk memantapkan AJK masjid terutamanya untuk gerak kerja dakwah, pengurusan organisasi, dokumentasi kerja dan lain-lain. Kursus induksi pada peringkat awal dan seterusnya kursus-kursus bersiri perlu disusun. Wakil-wakil AJK yang menghadiri kursus atau persidangan luar di mana-mana peringkat perlu menyampaikan kepada AJK Masjid yang lain dan seterusnya berusaha melaksanakan apa yang diterima. Kita tidak mahu sekadar menghadiri kursus.

Sudah sampai masanya Jawatankuasa Masjid mewujudkan ‘subcom’ sendiri sama ada secara tetap atau untuk tempoh tertentu seperti dalam Jawatankuasa Khas atau Program. Ini menambah bilangan kakitangan yang dapat melancarkan lagi gerak kerja masjid. Bagi saya, bilangan AJK Masjid yang sedia ada tidak mencukupi. Peluang ini juga membuka ruang untuk menggalakkan masyarakat terlibat dalam usaha dakwah. Untuk tujuan penghargaan dan galakan, mungkin boleh juga diwujudkan saguhati dalam bentuk sijil dan elaun atau hadiah.

Kita juga boleh menggunakan konsep ‘wakil rakyat’. Wakil-wakil masjid boleh dilantik di setiap bahagian dalam kampung sama ada berdasarkan jalan kampung atau berdasarkan jarak. Mereka akan berfungsi untuk mempromosikan sebarang aktiviti masjid dan juga menjadi tempat mengumpul cadangan, komen dan teguran berkenaan masjid. Ini kerana, secara umumnya, jika di kampung-kampung, penggunaan teknologi internet (seperti e-mail, facebook, blog) masih terhad di sesetengah tempat. Cara konvensional lebih praktikal. Contoh berdasarkan jarak (untuk Kampung Jeram):

- antara Alur Kesom hingga Pasar Jeram
- antara Pasar Jeram hingga Masjid Jeram
- antara Masjid Jeram hingga Batu Jeram
- antara Batu Jeram hingga Pengkalan Pinang
- antara Pengkalan Pinang hingga hujung kampung


2) KEMUDAHAN DAN PENJAGAAN INFRASTRUKTUR

a) Galeri Akhbar

Galeri ini mengandungi akhbar harian, buku-buku dan majalah-majalah islamik. Lengkap dengan kerusi dan meja yang mempunyai susun atur dan rekabentuk yang menarik dan selesa kepada jemaah dan pengunjung masjid. Cadangan lokasi ialah ruangan yang baru siap dibina di bahagian tepi masjid mengadap ke kawasan letak kereta. Memandangkan ramai orang yang ingin membaca akhbar, ini akan menjadi salah satu daya tarikan untuk mendekatkan masyarakat dengan masjid. Bermula dengan akhbar, mereka boleh tertarik dengan bahan bacaan islamik yang lain seperti buku dan majalah. Cuma, untuk menjaga kesucian masjid dan adab, bahagian-bahagian yang tidak elok seperti hiburan tidak perlu diletakkan. Gambar-gambar mendedahkan aurat dalam akhbar juga boleh dihitamkan.

b) Bilik Seminar

Pengubahsuaian boleh dibuat pada masjid lama. Mungkin boleh dibuat ‘partitions’. Kemudahan peralatan seperti projektor LCD, skrin pemancar, pointer, whiteboard, PA system, meja dan kerusi yang sesuai perlu ada. Penghawa dingin juga boleh dipasang untuk keselesaan pengguna. Antara fungsi bilik ini adalah untuk mesyuarat, ceramah, seminar, bengkel, pembentangan, taklimat, sidang media, kelas dan pusat operasi. Penggunaan bilik ini juga boleh disewakan kepada mana-mana organisasi luar seperti kelab-kelab belia, JKKK, persatuan-persatuan dan sekolah. Ini akan menjadi salah satu sumber kewangan bagi masjid. Ia juga mencerminkan professionalisme masjid. Untuk isu keselamatan, boleh ditambah gril pada masjid lama memandangkan banyak peralatan berharga disimpan di sana.

c) Pusat Usahawan

Contoh perniagaan yang sesuai ialah kedai gunting rambut, kedai runcit dan kedai alat tulis dan fotostat serta kedai basuh kereta. Kedai gunting rambut dan kedai runcit mempunyai potensi yang luas kerana melibatkan penggunaan harian atau setidak-tidaknya mingguan. Untuk kedai fotostat dan alat tulis, dengan terbinanya Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram nanti, ada peluang yang besar untuk berkembang. Begitu juga apabila siapnya projek Jambatan Jeram dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang akan menjadikan jalan kampung Jeram antara jalan utama. Saya pernah juga melihat perniagaan mencuci kereta dijalankan berhapiran masjid. Yang penting, kita dapat menonjolkan masjid sebagai penyedia perkhidmatan yang memudahkan pengguna. Dari segi cara pelaksanaan:

i) Pihak masjid menanggung pembinaan lot kedai di kawasan persekitaran masjid. Kemudian, ia boleh disewakan kepada mana-mana peniaga yang berminat. Jadi, pihak masjid mendapat sumber kewangan melalui sewa. Kelebihan kaedah ini ialah pihak masjid tidak perlu bersusah payah untuk terlibat dengan pengurusan perniagaan tersebut. Cuma perlu memantau sahaja.

ii) Pihak masjid menanggung pembinaan lot kedai dan terlibat secara langsung dengan perniagaan melalui jawatankuasa atau biro khas (seperti biro ekonomi). Jadi, pihak masjid boleh mengambil pekerja dan membayar gaji tetap kepada mereka. Cuma, kaedah begini memerlukan komitmen daripada pihak AJK atau biro itu sendiri yang mungkin kekurangan sumber manusia. Kelebihannya ialah keuntungan yang lebih tinggi apabila perniagaan telah mantap nanti yang boleh menambah sumber kewangan masjid. Untuk tujuan ini, perlu juga mendapatkan pengesahan tentang hokum menggunakan wang masjid untuk tujuan tersebut.

iii) Pihak masjid juga boleh mengeluarkan modal kepada Biro Ekonomi untuk membuat barangan cenderahati masjid melalui tempahan seperti t-shirt, sticker, key chain, mug, topi, sweater, pen, buku catatan dan lain-lain. Kegiataan ini boleh menjadi satu cara dakwah melalui slogan-slogan dan kata-kata nasihat pendek yang ditulis pada barangan tersebut. Barangan berkenaan boleh dijadikan hadiah kepada tetamu khas yang datang ke masjid. Biro juga boleh menguruskan jualan bahan bacaan agama kepada penduduk kampung seperti buku-buku dan majalah.

d) Kawasan Rehat dan Taman Permainan Kanak-Kanak

Biasanya, padang bola digunakan oleh golongan remaja dan dewasa. Jadi, amat sesuai untuk kita wujudkan satu kawasan permainan kanak-kanak di kawasan masjid. Ini membolehkan keluarga mereka membawa mereka bersiar-siar dan bermain di situ. Masjid akan berfungsi sebagai tempat beristirehat dan menenangkan fikiran bersama keluarga setelah kepenatan bekerja ataupun lokasi rehat pada hujung minggu. Langkah ini juga memberi persepsi yang baik kepada pemikiran kanak-kanak yang baru berkembang terhadap masjid. Pondok-pondok rehat juga boleh dibina untuk kemudahan jemaah yang datang serta boleh juga digunakan semasa program-program masjid dijalankan. Contohnya sebagai tempat duduk jemaah wanita yang uzur untuk mendengar ceramah. Kawasan yang dicadangkan untuk Taman Permainan Kanak-Kanak ialah sebelah tempat letak motor dalam pagar masjid. Taman bunga yang sedia ada boleh diubahsuai dan ditambah dengan pondok rehat.


3) SKOP DAN KAEDAH PELAKSANAAN AKTIVITI

Skop dan kaedah pelaksanaan aktiviti masjid boleh diperluas untuk menarik semua peringkat umur terutamanya golongan muda ke masjid. Kita perlu menonjolkan elemen Islam sebagai ad-din atau cara hidup yang tidak terhad kepada ibadah khusus sahaja. Kita juga harus menjadikan masjid sebagai institusi yang penting sepanjang sejarah hidup seseorang yang menjadikannya sentiasa dikenang dalam ingatan individu tersebut lantas tidak menjadikan masjid sebagai sesuatu yang asing.

a) Penggunaan Teknologi

- Projektor LCD ketika khutbah/kuliah. Jemaah dapat melihat ayat-ayat al-Quran yang dibacakan dan dapat mengingati isi-isi yang disampaikan dengan lebih baik.

- Sistem PA yang baik dapat membantu bacaan Imam ketika solat dan penyampaian khutbah/kuliah. Melabur sedikit untuk keperluan ibadah yang berkualiti tidak akan merugikan.

b) Majlis Penghargaan / Anugerah Kecemerlangan / Meraikan / Bantuan

- Bakal haji / baru pulang mengerjakan haji
- Pelajar yang ingin menduduki peperiksaan
- Pelajar yang berjaya dalam peperiksaan
- Ibu / bapa / keluarga mithali (contohnya sempena hari ibu atau hari bapa)
- Anak-anak lelaki yang berkhatan
- Anak-anak Jeram yang berjaya memasuk institusi pengajian tinggi/sambung belajar ke luar negara/pusat-pusat pengajian agama
- Meraikan pengantin baru
- Mahasiswa universiti yang tamat belajar
- Guru/Pekerja (Hari Guru/Pekerja)
- Anugerah usahawan contoh
- Bantuan/meraikan anak-anak kurang upaya
- Bantuan/meraikan anak yatim / ibu tunggal
- Majlis agihan bantuan zakat
- Meraikan guru-guru agama dalam kampung

c) Kuliah Pagi Jumaat dan Kelas Pengajian Agama


Kuliah ini dapat mewujudkan suatu budaya ilmu di kalangan masyarakat dan boleh berfungsi sebagai tazkirah pengisian rohani pada hujung minggu setelah sibuk bekerja sepanjang lima hari. Kita boleh memanggil penceramah luar atau gunakan sahaja khidmat orang kita. Antara subjek-subjek yang boleh diketengahkan ialah tafsir al-Quran, fiqah, syarah hadith, ‘aqidah, tazkiyatunnafs atau tazkirah umum. Kelas-kelas agama seperti KAFA, kuliah mingguan dan kelas al-quran boleh terus dimantapkan dan ditingkatkan promosinya. Mungkin boleh diubah cara penyampaian seperti mengadakannya dalam bentuk forum, pidato, kuiz, tayangan atau soal jawab. Sekali sekala boleh juga dijemput tokoh-tokoh ulama’ dalam negara/negeri untuk member sedikit kelainan, membangkitkan semangat dan menarik minat para jemaah.

d) Jemputan Luar

Masjid boleh memanfaatkan agensi-agensi kerajaan (IKIM, Yayasan Pembangunan Keluarga, JHEAT, PDRM, JKJR, Jabatan Belia dan Sukan, Hospital SNZ, Pusat Sains & Kreativiti Terengganu dan lain-lain) atau bukan kerajaan, institusi pengajian (UDM, UMT, Politeknik, SBP, SMKA dan lain-lain), media (Sinar Harian, Berita Harian, Utusan Malaysia, KOSMO dan lain-lain), syarikat swasta (TM, Bank Islam dan lain-lain) untuk mengadakan pameran, penerangan, hari terbuka, kursus dan sebagainya. Pihak masjid boleh menyediakan lokasi yang sesuai di kawasan masjid. Oleh sebab itulah, cadangan bilik seminar telah dikemukakan sebelum ini.

e) Pertandingan

Pertandingan boleh berbentuk akademik seperti hafazan / tilawah al-Quran, syarahan agama, bercerita, kuiz, pidato, debat, menyampaikan khutbah atau berbentuk bukan akademik seperti sketsa agama, sukaneka, sukan rakyat, street soccer, badminton, treasure hunt dan lain-lain yang sesuai. Kita boleh mengambil contoh Majlis Ihtifal SMKA yang menggabungkan pelbagai pertandingan ilmiah dan menjadi tempat bertukar-tukar pandangan oleh warga sekolah-sekolah agama. Lokasinya boleh diadakan di masjid, persekitaran masjid atau menggunakan kemudahan kampung seperti padang bola, dewan badminton dan pusat rekreasi Batu Jeram. Boleh diadakan secara tahunan atau sekali sahaja. Boleh dalam bentuk satu program besar atau berasingan. Semuanya bergantung kepada kesesuaian dan perbincangan AJK masjid.

f) Aktiviti Sosial

Aktiviti sosial seperti riadhah contohnya bersenam, joging, bermain bola, futsal, badminton, takraw, sukaneka, wau, memancing, berkhemah, mendaki bukit, berbasikal dan lain-lain. Gunakan minat seseorang sebagai cara untuk berdakwah. Kadang-kadang kita tidak perlu menyebut secara terus. Bila mereka merasakan orang-orang masjid mudah didekati, maka lama-kelamaan, mereka boleh dekat dengan masjid insya Allah. Majlis ringkas seperti jamuan makan juga dapat merapatkan hubungan masyarakat dengan AJK masjid dan dengan masjid itu sendiri. Apa sahaja cara, konsep yang kita pegang ialah jika mereka tidak datang kepada kita, kita pergi kepada mereka. Contoh lain ialah ziarah rumah ke rumah. Bukan sahaja wakil rakyat, bahkan AJK masjid juga boleh turun padang dan bawa cenderahati untuk dihadiahkan kepada orang kampung. Cukuplah beberapa rumah sebulan terutamanya mereka yang jarang datang ke masjid.

g) Lawatan

Lawatan rasmi atau sambil belajar boleh dibuat ke masjid-masjid yang mempunyai pengurusan yang mantap seperti masjid-masjid utama di setiap negeri. Kita dapat bertukar-tukar pandangan dan mengambil contoh daripada mereka. Bukan sahaja masjid, boleh juga dibuat lawatan ke agensi agama seperti pusat zakat, jabatan mufti, fakulti-fakulti pengajian agama, NGO Islam dan sebagainya. Antara masjid yang baik pengurusannya yang pernah saya lawati ialah Masjid UDM Kampus KUSZA Kuala Terengganu, Masjid Wakaf Tembesu Kuala Terengganu, Masjid USJ9, Masjid Bukit Damansara, Masjid Sultan Ahmad Shah Kuantan, Masjid Tengku Ampuan Afdzan Kuantan dan Surau Seksyen 7 Shah Alam.

h) Penyampaian Maklumat yang Menyeluruh, Menarik dan Dikemaskini


Pengumuman selepas solat Jumaat adalah cara yang efektif. Namun begitu, perlu juga ada cara lain yang menyokong dan mengingatkan masyarakat tentang sesuatu aktiviti atau pengumuman.

Contohnya:-

- Papan kenyataan masjid mesti sentiasa dikemaskini dan dihias dengan menarik serta ditempatkan di lokasi yang paling strategik. Aspek kemaskini adalah merupakan elemen penting dalam memastikan ia benar-benar berfungsi memberi maklumat kepada masyarakat. Mungkin juga boleh mengadakan kerjasama dengan JKKK untuk meletakkan papan kenyataan tambahan di lokasi-lokasi strategik dalam kampung seperti di pasar jeram, bengkel motor, kedai-kedai runcit dan warung kopi. Ia juga boleh berfungsi sebagai medium dakwah kepada masyarakat.

- Buletin masjid yang boleh diisi dengan pelbagai bahan seperti rumusan kuliah bagi minggu tersebut, pengumuman, tazkirah, tafsir ayat al-Quran pilihan, syarah hadith pilihan, soal-jawab agama dan sebagainya.

- Manfaatkan penggunaan media seperti internet, radio dan akhbar untuk makluman aktiviti masjid. Kebanyakan radio menawarkan promosi percuma untuk pengiklanan yang tidak bersifat keuntungan. Akhbar seperti Sinar Harian misalnya mudah menerima permintaan untuk melaporkan sebarang aktiviti masyarakat setempat.


4) PENGURUSAN KEWANGAN

Antara yang menjadi persoalan dalam penggunaan wang masjid adalah boleh atau tidak ia digunakan untuk aktiviti selain daripada pengurusan dan penambahbaikan masjid. Wallahu a’lam. Perkara ini perlu dirujuk kepada ahlinya seperti Jabatan Mufti. Saya pernah melihat garis panduan penggunaan wang wakaf masjid untuk rujukan di Terengganu namun saya tidak mendapat jawapan jelas adakah wang masjid boleh digunakan untuk aktiviti dakwah yang bertujuan untuk menarik masyarakat ke arah mengimarahkan masjid dan bukan setakat untuk penambahbaikan sahaja. Bagi saya, kenapa tidak? Saya membangkitkan soal ini kerana kecenderungan pihak jawatankuasa masjid yang mengecilkan skop perbelanjaan masjid yang lebih kepada soal menambah bangunan dan menghias masjid. Skop dakwah adalah luas dan memastikan keadaan masjid yang baik dan terurus adalah salah satu daripadanya.


KESIMPULAN


Kertas kerja ini dibuat bersumberkan kepada pemerhatian, perbincangan, pembacaan dan pengajian penulis. Sudah tentu cadangan-cadangan di atas mempunyai pro dan kontra. Ia juga tidak terlepas daripada kemungkinan adanya salah faham, kesilapan dan kekurangan disebabkan ilmu yang terbatas. Penulis mengalu-alukan teguran dan bimbingan. Adalah diharapkan ianya dapat membantu sedikit sebanyak Jawatankuasa Masjid Kampung Jeram dan masjid-masjid lain untuk menyusun pengurusan dan aktiviti masjid. Semoga dengan itu, institusi masjid yang rabbani dapat direalisasikan untuk manfaat semua golongan masyarakat. Wallahu a’lam.

18 Zulhijjah 1429 Hijrah bersamaan 16 Disember 2008.
Kemaskini 24 Jamadil Akhir 1431 Hijrah bersamaan 7 Jun 2010.

14 comments:

  1. cadangan yg sgat bagus...moga-moga cadangan nie bakal dilaksankan satu hari nanti..sentimen masyarakat menyebabkan masjid dan surau sunyi..hanya dikunjungi pada masa-masa tertentu...jadi,memg wajar cadangan nie dipertimbangkan..

    ReplyDelete
  2. Salam..bagusnya muzani. ni cdgn kt msjd kt umah muzani ke?

    ReplyDelete
  3. To Husna: menulis dan menyebut memang mudah. Bahagian nak melaksana tu yg payah skit. Biasanya kdg2, kawasan bandar lebih ke depan dalam hal ni. Tapi apapun, depend pd AJK. AJK semangat, jadi la. Mcm IPhA skrg..tak gitu.

    To Hanan: Wa'alaikumussalam. bahayo puji2 nih. Alhamdu LILLAH. Ho, Masjid Jeram tu mmg masjid kg. Lebih kurang utk sejid tu la. Tp bleh jugok kot utk lain2. Tgk kesesuaian.

    ReplyDelete
  4. salam syeikh...

    cadangan yg sangat bagus...alhamdulillah..org muda mcm deme patut berperanan...nikmat hafiz AQ yg Allah bg x di sia2 kn..

    setakat ni mcmane pelaksanaan paperwork ni syeikh? walk the talk ni mmg susoh siket la kot kn..sbb deme nk encourage komuniti masjid utk terlibat tu kene kerje keras jugok tu...

    tp jgn mengalah syeikh...teruskan usaha...deme kuat, org lain akan kuat jugok

    ReplyDelete
  5. To Nasrul: wa'alaikumussalam. btol2, walk the talk is quite challenging. 1st version dulu pernoh diberi pada mainboard jawatankuasa masjid. Tapi masa tu kawe pun sibuk ngan U lagi. Dok brapa nok update. Pahtu senyap gitu. Susoh jugok kalu dok duk dlm jawatankuasa (bukan berkempen ye haha). Ni 2nd version boleh la nak update smula. Dah habis U ni lain skit org tgk, tua la skit napok haha.

    ReplyDelete
  6. Tahniah...komentar ini walaupun dah bertahun baru dibaca sememangnya bagus kerana memberi idea baru dan segar kepada masjid untuk bergerak lebih aktif dan memberi manfaat kepada ummah. Insya Allah...

    ReplyDelete
  7. Boleh share ka? Idea dan cadangan yang sangat bagus untuk mengimarahkan masjid.

    ReplyDelete
  8. Terima kasih Ustaz Zhof. Mohon idea dan cadangan daripada ustaz juga. Mudah-mudahan boleh dipraktikkan.

    ReplyDelete
  9. skbatupayung...boleh share. Silakan. Moga bermanfaat.

    ReplyDelete
  10. Mohon maaf kepada yang membaca blog saya, sudah lama saya tidak kemaskini blog ini. Namun, jika ada mana-mana artikel yang boleh dimanfaatkan, boleh sahaja share.

    ReplyDelete
  11. Sangat bagus dan saudara seorang yang berfikiran hebat. Terima kasih atas keizinan berkongsi hasil saudara.

    ReplyDelete
  12. banyak idea yg ditulis selalu bermain di fikiran saya..good job

    ReplyDelete
  13. Assalamualaikum tuan. Mohon menggunakan ide dan cadangan tuan untuk menambahbaikkan aktiviti di masjid kariah saya. Jazakallahu khairan.

    ReplyDelete