Tuesday, June 15, 2010

Bersyukurlah

Semalam terbaca pasal berita ini di akhbar. Benar nasihat orang, kalau kita rasa susah dan banyak musibah yang menimpa, bersyukurlah dan ingat, masih ramai lagi di luar sana yang lebih hebat penderitaan dan kesusahan mereka. Moga Allah beri kekuatan kepada mereka untuk menghadapi hari-hari yang mendatang dan memberi ganjaran pahala yang banyak.

Seorang sahabat memberi satu nasihat yang sangat bermakna bagi saya: "Walau apa sekali yang berlaku, apa yang Allah telah rancangkan untuk kita adalah YANG TERBAIK!"

MOHD. Badli, Mohd. Sayydan (tengah) dan Mohd. Hashim (belakang) ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Bukit Kemuntung, Alor Keladi, Jertih, baru-baru ini.

Pasangan pasrah 3 anak hidap penyakit misteri

oleh SITI AIRUNNISA ALAVI
utusanterengganu@utusan.com.my


BESUT 13 Jun - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Dikurniakan anak istimewa mungkin ujian yang cukup berat bagi sebuah keluarga namun pasangan suami isteri, Suhaimi Hassan, 46, dan Noraidah Kadir, 42, pasrah menerimanya.

Bukan seorang malah tiga daripada sembilan cahaya mata mereka merupakan anak istimewa.

Demi kasih sayang terhadap anugerah Allah itu, mereka tidak pernah mengeluh apatah lagi mahu menyalahkan takdir.

Menurut Suhaimi, dia sememangnya tidak pernah menyangka ketiga-tiga anak lelakinya akan menimpa nasib yang sama iaitu disahkan menghidap sejenis penyakit misteri ketika berusia enam hingga 10 tahun.

Ketika kecil, katanya, mereka bertiga iaitu Mohd. Sayydan, 18, Mohd. Badli, 14, dan Mohd. Hashim, 12, seperti kanak-kanak normal lain namun mula berubah apabila menjangkau usia enam tahun.

“Bagi Sayydan, ketika lahir dia normal namun ketika usianya sembilan tahun bahagian buku lalinya mula bengkak sehingga sukar berjalan.

“Dia sering terjatuh di sekolah malah terpaksa dibantu rakan-rakan untuk menaiki tangga ke kelas,” kata bekas tentera itu ketika ditemui di Kampung Bukit Kemuntung, Alor Keladi, Jertih dekat sini baru-baru ini.

Penyakit Mohd. Sayydan semakin serius sehingga berpapah dan berpaut pada dinding untuk berjalan menyebabkan dia terpaksa diberhentikan sekolah.

“Rawatan demi rawatan kami cuba termasuk bomoh namun tiada ubat yang mampu menyembuhkannya,” ujarnya.

Menurutnya, anak keempat pasangan itu, Mohd. Badli juga menerima nasib yang sama apabila lebih awal disahkan menghidap penyakit tersebut iaitu ketika berusia setahun.

Ujian terus datang bertimpa apabila anak kelima pasangan itu, Mohd. Hashim pula mengalami masalah yang sama ketika berusia lapan tahun walaupun sebelum itu sangat aktif bergerak.

Berbanding dua abangnya yang kini terlantar, Mohd. Hashim agak bertuah kerana masih mampu mengesot.

Noraidah bagaimanapun bersyukur apabila dua lagi anak lelakinya iaitu Mohd. Shalihin, 15, dan Mohd. Hanif, 10, selain tiga anak perempuannya iaitu Nor Syaima Amirah, 17, Siti Syazwani, 8, dan Nik Safia, 1, normal.

Bagaimanapun, penderitaan tersebut seakan-akan tidak berakhir apabila anak ketujuh mereka, Mohd. Nashirudin, 6, juga mungkin menerima nasib yang sama apabila mula menunjukkan tanda-tanda serangan penyakit tersebut.

“Doktor pernah memaklumkan anak-anak kami ini menghidap Duchenna muscular dystrophy iaitu sejenis penyakit yang berkaitan sendi dan genetik.

“Tiada ubat yang boleh menyembuhkan penyakit tersebut selain kuasa Allah sahaja, jadi kami reda dengan keadaan ini,” jelasnya.

Sementara itu, Suhaimi mengakui menjaga ketiga-tiga anaknya itu tidak rumit apabila mereka boleh makan dan minum apa sahaja, namun keperluan lampin pakai buang menyebabkan kos yang tinggi terpaksa disediakan.

Jelasnya, dua anaknya itu terpaksa menggunakan lampin pakai buang dua hari sekali menyebabkan peruntukan sebanyak RM120 sebulan perlu disediakan hanya untuk lampin berkenaan.

“Kami bersyukur kerana menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan untuk menampung keperluan seharian selain terpaksa menggunakan duit pencen.

“Setakat ini saya tidak boleh bekerja kerana sukar untuk ibunya seorang diri menguruskan ketiga-tiga anak kami itu,” ujarnya.

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Suhaimi di talian 019-947 1485.

Sumber: Utusan Malaysia

2 comments:

  1. bagus post nie..skurag-kuragnya mengingatkan diri saya supaya bersabar dan bersyukur..sbb ada lagi yg diuji lagi hebat dari kita...tq for this post..=)

    ReplyDelete
  2. TO Husna: Di sinilah pentingnya menjelajah ke luar. Ziarah. Ada peluang join aktiviti kemasyarakat, ikut sekali (tapi pandai-pandai susun masa ler). Environment uia tak sama dgn environment di luar. Kat luar ni mcm2 karenah ada. Di uia pn dah mcm2 gaya, di luar lagi la. Orang yang bergaul dengan masyarakat dan menahan kesakitannya lebih baik dari orang yang tak ambil kisah.

    ReplyDelete