Sunday, February 21, 2010

Ini Semua Tidak Sia-Sia

28 minit.

Akhirnya saya dan rakan-rakan sampai juga ke puncak Bukit Panorama, Sungai Lembing Kuantan. Kami mula mendaki (panjat tangga sebenarnya) bermula pada jam 5.38 pagi. Keadaan sekeliling yang gelap dan hanya berbekalkan lampu handphone memberi sedikit kelebihan psikologi – kami tidak nampak setinggi mana bukit itu dan sebanyak mana anak tangga yang perlu dinaiki. Jadi, naik je lah.

Di atas puncak bukit, memandangkan sekeliling masih gelap, bintang-bintang di langit jelas kelihatan. Saya memang suka melihat langit. Luas dan hebat. Penciptanya…sudah tentu MAHA HEBAT. Kita terasa sangat kerdil. Saya teringat Program Khidmat Masyarakat Orang Asli yang saya sertai pada tahun 2009. Pemandangan langit di perkampungan orang asli sangat indah. Bintang-bintang lebih terang.

7.25 pagi.

Hampir tepat dengan waktu syuruk dalam jadual solat, matahari pun terbit sedikit demi sedikit. Pemandangannya saujana mata memandang. Subhanallah! Luasnya alam ciptaan Allah. Takjub kita melihatnya.

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal.

(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka.


Surah Ali-Imran, Surah ke-3 Ayat 190-191 m/s 75

Tidakkan engkau memerhatikan bahawa Allah memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam dan Dia menundukkan matahari dan bulan, masing-masing beredar sampai kepada waktu yang ditentukan. Sungguh, Allah Maha Teliti tentang apa yang kamu kerjakan.

Surah Luqman, Surah ke-31 Ayat 29 Juzu’ 21 m/s 414



Pemandangan matahari terbit di Grand Canyon, USA

Saya teringat waktu pergi ke Kedah untuk walimah rakan melalui Jalan Grik-Kuala Krai, kami singgah di kawasan rehat di atas banjaran Titiwangsa (tak pasti sebenarnya banjaran apa). Waktu tu memang saya rasa sangat takjub melihat hutan terbentang luas. Seolah-olah datang satu terjahan dalam minda, “Sampai mana kau nak buat tak endah dengan Allah. Tak mensyukuri Allah dengan sebenar-benarnya. Tengok hutan yang luas ni. Segalanya-galanya dalam pengetahuan Allah Yang Maha Hebat.”

Saya minat perkara-perkara berkaitan angkasa sejak dari sekolah rendah lagi. Masih teringat eksperimen melihat buruj di langit menggunakan teropong. Baru teropong, rasa macam dah dapat teleskop. Dokumentari dan ensiklopedia pasal angkasa memang tak ‘miss’. Di Terengganu, waktu tu dah ada pertunjukan video menggunakan LCD berbentuk kubah di Planetarium Negeri. Memang bajet naik kapal angkasa. Seronok sakan. Biasalah, budak-budak.

Memori 2003 – Tazkirah dari Alam

Saya memandang ke tingkap. Dapat dilihat deretan orang ramai di sepanjang kawasan luar pagar Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. Rupa-rupanya penerbangan saya, abah dan mak sekali dengan jemaah haji yang ingin ke Kuala Lumpur (waktu tu belum ada penerbangan terus ke Jeddah). Inilah kali pertama saya menaiki kapal terbang – hadiah SPM dari mak dan abah.

Perasaan saya waktu tu sukar nak digambarkan kerana 3 sebab: 1) Melihat bakal-bakal haji yang akan ke Masjidil Haram dihantar oleh keluarga masing-masing, 2) Bersama mak dan abah – menerima hadiah mereka berkat petunjuk Allah melalui usaha yang bersungguh-sungguh dalam SPM dan 3) Menuju ke destinasi yang sangat besar maknanya dalam hidup saya – Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Bharu.

Kapal terbang yang saya naiki berlepas ke udara. Makin lama makin tinggi. Cuak juga dibuatnya melihat ke luar tingkap. Bila dah agak lama, waktu ni lah datang sebab ke-4 yang amat mengharukan saya. Melihat bumi yang terhampar luas di bawah, laut yang membiru dan awan putih yang seakan-akan lantai.



Contoh pemandangan melalui tingkap kapal terbang

SUBHANALLAH…LEMAHNYA KAMI YA ALLAH, KERDILNYA KAMI YA ALLAH, MAHA HEBAT ENGKAU YA ALLAH.

Sepanjang perjalanan saya terasa bagaikan berada di alam lain. Takjub dengan keindahan ciptaan Allah. Saya terfikir, apalah ada pada diri kita. Kita terlalu kecil di sisi Allah untuk kita berbuat sewenang-wenangnya di atas muka bumi Allah ini.

Kehebatan alam ciptaan Allah dan bukti-bukti dari al-Quran sebeginilah yang telah membuka hati ramai insan untuk memeluk Islam, antaranya seperti yang berlaku kepada saudara Abu Bakr ini.



Bro Abu Bakr (Ruben), seorang jurugambar, menceritakan kisah dia memeluk Islam








No comments:

Post a Comment