Semalam saya berkesempatan untuk pergi ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. Bukan tak biasa pergi ke hospital. Sebagai pelajar farmasi, itu sudah menjadi sebahagian dari rutin kami terutamanya bila dah sampai ke tahun 3 dan tahun akhir. Kalau di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menjadi tempat praktikal utama bagi pelajar-pelajar jurusan kesihatan sama ada kedoktoran, farmasi, kejururawatan, sains kesihatan mahupun pergigian. HSNZ pula ialah tempat pilihan pertama saya untuk bertugas selepas tamat belajar nanti. 2 pilihan lain ialah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu (tapi saya lebih nak kepada Terengganu).
Entah kenapa, walaupun dah banyak kali ke hospital, tetapi bila pergi sebagai orang biasa untuk melawat saudara mara atau kenalan, perasaan saya agak berbeza. Mungkin sebagai pelajar, saya lebih memikirkan tentang laporan yang perlu dihantar kepada pensyarah dan pembentangan kes yang perlu dibuat. Perasaan simpati itu barangkali dikalahkan dengan asyik memikirkan ubat, ubat dan ubat serta kebimbangan untuk menjawab soalan-soalan daripada pensyarah.
Ada 3 pesakit yang dilawati. 2 orang daripadanya kawan mak dan seorang lagi jiran di kampung. 2 orang tu sakit kencing manis. Seorang lagi tu ‘minor stroke’. Sembang punya sembang, sempat juga buat praktikal tak rasmi dengan bertanyakan tentang demographic (biodata dan latar belakang asas) pesakit, sejarah penyakit dan ubat-ubatan dan ‘compliance’ (kepatuhan kepada pengambilan ubat).
Bila tengok keadaan pesakit-pesakit tu, satu perkara terlintas dalam fikiran. Mereka semua semestinya suatu ketika dulu orang yang kuat, mampu melakukan kerja itu dan ini serta riang gembira dengan kawan-kawan dan keluarga. Tapi, bila dah sakit macam tu, lemah tak bermaya di atas katil. Makan perlu disuap. Berjalan perlu dipapah. Pakaian pun mungkin orang yang pakaikan. Itupun kalau sedar. Kalau koma.... Bagi seorang ibu atau ayah, saat inilah besar maknanya kasih sayang seorang anak. Bagi seorang isteri atau suami, besar juga maknanya kasih sayang pasangan. Waktu inilah nilai pengorbanan sangat bererti.
Saya pernah menunggu arwah ayah saudara saya yang sakit suatu ketika dahulu. Daripada seorang yang kuat, dia menjadi lemah dan hilang ingatan dalam masa yang cukup singkat. Pagi masih mengenal diri, petang sudah tidak tahu apa-apa lagi. Hanya sesekali membuka mata. Waktu tu, betapa Allah mengajar kami sekeluarga, seorang insan tidak ada...langsung tidak ada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah. Hanya linangan air mata sesekali keluar dari kelopak matanya setiap kali dibacakan al-Quran. Ya Allah...walaupun koma, tapi dia mampu masih mendengar ayat-ayatMu.
Entah apa yang bermain dalam fikiran dia. Barangkali ingin mengungkapkan sesuatu. Arwah orang cukup banyak berubah semenjak sebelum pergi haji sehinggalah selepas pulang. Ujian anak sakit yang diberi oleh Allah kepadanya cukup-cukup member kesedaran dalam dirinya. Menjaga solat berjemaah 5 waktu di masjid, qiamullail, keinginan untuk belajar al-Quran dan sentiasa bercerita tentang permasalahan agama setiap kali saya berjumpa dengannya. Allah memanggilnya pulang lebih kurang 100 hari selepas kembali dari menunaikan haji pada usia yang masih muda, lebih kurang 40 an dengan meninggalkan seorang isteri dan 3 orang anak yang masih bersekolah. Dia sempat menyiapkan rumahnya. Maha Hebat perancangan Allah. Moga arwah mendapat rahmat Allah dan tergolong dalam kalangan orang-orang soleh.
Saya pernah juga melihat 2 orang datuk saudara saya yang mengidap kencing manis di hospital. Seorang daripadanya terpaksa dibedah untuk dibuang sebelah kakinya. Sebelum masuk ke dewan bedah, dia menangis semahunya. Entah bagaimana perasaannya. Selama ini gagah melangkah, namun kini kaki yang dipinjamkan oleh Allah telah ditakdirkan untuk dipulangkan semula. Seorang lagi datuk saudara saya pula beberapa kali tenat dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Saya pernah banyak kali masuk ke ICU. Barangkali dalam keluarga saya, memandangkan saya ada latar belakang sekolah agama, maka biasanya sayalah yang akan disuruh berada di samping saudara mara yang sakit tenat. Pengalaman di ICU cukup menyentuh hati. Saat itu, kita akan terasa, betapa lemahnya kita bila melihat pesakit bergantung dengan alat bantuan pernafasan dan disambung dengan macam-macam wayar. Tak berguna lagi harta yang banyak, pangkat yang tinggi mahupun sanjungan manusia. Kerdilnya seorang yang bergelar manusia. Sanak saudara tidak putus putus mendoakan, merayu sepenuh hati kepada Allah. Siapa sahaja yang melihat pasti mengalirkan air mata. Insaf dengan keadaan yang menimpa.
Hospital benar-benar mengingatkan kita hakikat sebenar diri kita. Rebutlah peluang sihat sebelum sakit. Kerana apabila tiba waktunya, hanya Allah yang bermain dalam fikiran kita. Mengadu padanya akan kesilapan dosa-dosa lalu. Mengharapkan kasih sayang dan rahmat Allah untuk memberi kesembuhan dan peluang untuk sihat dan beramal. Syukurilah dengan keadaan diri kita yang mampu bergerak ke sana ke mari, mampu bernafas dengan baik dan mampu untuk senyum riang bersama keluarga dan kawan-kawan. Hospital benar-benar mengajar kita erti SYUKUR.
Sunday, February 14, 2010
Hospital Mengajar Kita Erti SYUKUR
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment