Wednesday, February 24, 2010

Antara 2 Sujud


Robbighfirlii

Kita memohon keampunan Allah. Penghapusan dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan yang terjadi dalam kehidupan ini dengan diiringi pengakuan tulus di atas kelemahan, kedaifan, kerendahan dan kenistaan diri di hadapan Allah. Pengakuan tulus sebagai hamba yang hina-dina di hadapan Zat Yang Maha Agung adalah kunci utama menggapai kasih keampunan Allah.


Warhamnii

Kita memohon belas kasihan Allah. Limpahan anugerah Allah agar dijadikan hamba yang baik, agar diperlakukan Allah dengan penuh kasih saying. Selalu mentaati Allah, kuat beribadah, suka berbuat baik serta istiqamah di jalan kebenaran. Itu tandanya wujud kasih saying Allah yang menjadi kunci utama merai kebahagian dunia dan akhirat.


Wajburnii

Kita memohon kebaikan (perbaiki kekurangan/menutup keaiban). Kelurusan hati, kesabaran diri dalam menghadapi rintangan beribadah, dijauhkan daripada sikap malas, amalan dilakukan separuh hati untuk beribadah, separuh hati menjalankan perintah Allah serta segala hal yang melalaikan diri kepada Allah. Semua itu harus dimohonkan kepada Allah untuk diperbaikiNya agar amalan hidup tetap lurus di jalan Allah, menyembahNya dengan istiqamah.


Warzuqnii

Kita memohon rezeki daripada Allah. Beribadah kepada Allah tidak akan optimum jika hak-hak jasad tidak dipenuhi. Oleh itu, wajib memohon kepada Allah rezeki yang halal dan diberkati untuk bekal beribadah kepada Allah.


Wahdinii

Kita memohon hidayah (petunjuk) Allah agar dijauhkan dari perilaku sesat, perbuatan syirik dan tindakan bid’ah dalam beribadah kepada Allah. Setiap manusia perlukan petunjuk Allah agar mata hatinya dapat membezakan yang benar dan salah atau yang lurus dan batil.


Wa’aafinii

Kita memohon kesihatan jasmani dan rohani. Kesihatan jasmani agar terhindar daripada penyakit, agar dapat menjalankan perintah agama dengan baik, agar dapat melaksanakan ibadah dengan sihat. Kesihatan rohani agar terhindar daripada pelbagai penyakit hati dan gangguan mental agar hati dapat khusyu beribadah dan jiwa dapat utuh menyembah Allah. Sesungguhnya kesihatan rohani jauh lebih penting daripada kesihatan jasad dalam beribadah disebabkan hati menentukan kualiti ibadah.


(Rujukan: Buku Menyukat Solat Diri karangan Misbah Em Majidy keluaran Kemilau Publika Sdn. Bhd.)

Nota: Ada beberapa susunan bacaan doa antara dua sujud jika dirujuk kepada hadith-hadith. Boleh semak dalam buku-buku solat yang baik penulisannya seperti Formula Solat Sempurna oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Sunday, February 21, 2010

Ini Semua Tidak Sia-Sia

28 minit.

Akhirnya saya dan rakan-rakan sampai juga ke puncak Bukit Panorama, Sungai Lembing Kuantan. Kami mula mendaki (panjat tangga sebenarnya) bermula pada jam 5.38 pagi. Keadaan sekeliling yang gelap dan hanya berbekalkan lampu handphone memberi sedikit kelebihan psikologi – kami tidak nampak setinggi mana bukit itu dan sebanyak mana anak tangga yang perlu dinaiki. Jadi, naik je lah.

Di atas puncak bukit, memandangkan sekeliling masih gelap, bintang-bintang di langit jelas kelihatan. Saya memang suka melihat langit. Luas dan hebat. Penciptanya…sudah tentu MAHA HEBAT. Kita terasa sangat kerdil. Saya teringat Program Khidmat Masyarakat Orang Asli yang saya sertai pada tahun 2009. Pemandangan langit di perkampungan orang asli sangat indah. Bintang-bintang lebih terang.

7.25 pagi.

Hampir tepat dengan waktu syuruk dalam jadual solat, matahari pun terbit sedikit demi sedikit. Pemandangannya saujana mata memandang. Subhanallah! Luasnya alam ciptaan Allah. Takjub kita melihatnya.

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal.

(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka.


Surah Ali-Imran, Surah ke-3 Ayat 190-191 m/s 75

Tidakkan engkau memerhatikan bahawa Allah memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam dan Dia menundukkan matahari dan bulan, masing-masing beredar sampai kepada waktu yang ditentukan. Sungguh, Allah Maha Teliti tentang apa yang kamu kerjakan.

Surah Luqman, Surah ke-31 Ayat 29 Juzu’ 21 m/s 414



Pemandangan matahari terbit di Grand Canyon, USA

Saya teringat waktu pergi ke Kedah untuk walimah rakan melalui Jalan Grik-Kuala Krai, kami singgah di kawasan rehat di atas banjaran Titiwangsa (tak pasti sebenarnya banjaran apa). Waktu tu memang saya rasa sangat takjub melihat hutan terbentang luas. Seolah-olah datang satu terjahan dalam minda, “Sampai mana kau nak buat tak endah dengan Allah. Tak mensyukuri Allah dengan sebenar-benarnya. Tengok hutan yang luas ni. Segalanya-galanya dalam pengetahuan Allah Yang Maha Hebat.”

Saya minat perkara-perkara berkaitan angkasa sejak dari sekolah rendah lagi. Masih teringat eksperimen melihat buruj di langit menggunakan teropong. Baru teropong, rasa macam dah dapat teleskop. Dokumentari dan ensiklopedia pasal angkasa memang tak ‘miss’. Di Terengganu, waktu tu dah ada pertunjukan video menggunakan LCD berbentuk kubah di Planetarium Negeri. Memang bajet naik kapal angkasa. Seronok sakan. Biasalah, budak-budak.

Memori 2003 – Tazkirah dari Alam

Saya memandang ke tingkap. Dapat dilihat deretan orang ramai di sepanjang kawasan luar pagar Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. Rupa-rupanya penerbangan saya, abah dan mak sekali dengan jemaah haji yang ingin ke Kuala Lumpur (waktu tu belum ada penerbangan terus ke Jeddah). Inilah kali pertama saya menaiki kapal terbang – hadiah SPM dari mak dan abah.

Perasaan saya waktu tu sukar nak digambarkan kerana 3 sebab: 1) Melihat bakal-bakal haji yang akan ke Masjidil Haram dihantar oleh keluarga masing-masing, 2) Bersama mak dan abah – menerima hadiah mereka berkat petunjuk Allah melalui usaha yang bersungguh-sungguh dalam SPM dan 3) Menuju ke destinasi yang sangat besar maknanya dalam hidup saya – Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Bharu.

Kapal terbang yang saya naiki berlepas ke udara. Makin lama makin tinggi. Cuak juga dibuatnya melihat ke luar tingkap. Bila dah agak lama, waktu ni lah datang sebab ke-4 yang amat mengharukan saya. Melihat bumi yang terhampar luas di bawah, laut yang membiru dan awan putih yang seakan-akan lantai.



Contoh pemandangan melalui tingkap kapal terbang

SUBHANALLAH…LEMAHNYA KAMI YA ALLAH, KERDILNYA KAMI YA ALLAH, MAHA HEBAT ENGKAU YA ALLAH.

Sepanjang perjalanan saya terasa bagaikan berada di alam lain. Takjub dengan keindahan ciptaan Allah. Saya terfikir, apalah ada pada diri kita. Kita terlalu kecil di sisi Allah untuk kita berbuat sewenang-wenangnya di atas muka bumi Allah ini.

Kehebatan alam ciptaan Allah dan bukti-bukti dari al-Quran sebeginilah yang telah membuka hati ramai insan untuk memeluk Islam, antaranya seperti yang berlaku kepada saudara Abu Bakr ini.



Bro Abu Bakr (Ruben), seorang jurugambar, menceritakan kisah dia memeluk Islam








Wednesday, February 17, 2010

Moga Terus Ada Sinar

Disiplin...

Dari sekolah sampailah sekarang, itulah perkataan yang sudah lali diperingatkan oleh orang lain kepadaku. Diri sendiri pun selalu mengingatkannya kepada orang lain. Tapi....

Susahnya nak mendisiplinkan diri. Kadang-kadang, sampai satu tahap, aku seolah-olah mahu berhenti melakukan apa-apa dan cakap terus pada diri, disiplinkan diri kau sendiri sebelum disiplinkan orang lain. Nasihatkan diri kau sendiri sebelum kau nasihatkan orang lain. Walau berat hati dan malu muka pada orang lain, aku paksakan juga diri untuk buat apa yang telah dipertanggungjawabkan kepadaku.

Kita mengharapkan orang berubah. Kita juga mengharapkan diri kita berubah ke arah yang lebih baik. Tapi memang betul, perubahan itu payah. Perubahan adalah suatu hijrah yang memerlukan pengorbanan. Tak datang sekelip mata. Perlu dibentuk sikit demi sikit. Perlu bersabar dan tegas pada tempatnya.

Barangkali kita harus lebih ikhlas dalam mendidik diri....

Sunday, February 14, 2010

Hospital Mengajar Kita Erti SYUKUR


Katil ICU...

Semalam saya berkesempatan untuk pergi ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. Bukan tak biasa pergi ke hospital. Sebagai pelajar farmasi, itu sudah menjadi sebahagian dari rutin kami terutamanya bila dah sampai ke tahun 3 dan tahun akhir. Kalau di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) menjadi tempat praktikal utama bagi pelajar-pelajar jurusan kesihatan sama ada kedoktoran, farmasi, kejururawatan, sains kesihatan mahupun pergigian. HSNZ pula ialah tempat pilihan pertama saya untuk bertugas selepas tamat belajar nanti. 2 pilihan lain ialah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian dan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu (tapi saya lebih nak kepada Terengganu).

Entah kenapa, walaupun dah banyak kali ke hospital, tetapi bila pergi sebagai orang biasa untuk melawat saudara mara atau kenalan, perasaan saya agak berbeza. Mungkin sebagai pelajar, saya lebih memikirkan tentang laporan yang perlu dihantar kepada pensyarah dan pembentangan kes yang perlu dibuat. Perasaan simpati itu barangkali dikalahkan dengan asyik memikirkan ubat, ubat dan ubat serta kebimbangan untuk menjawab soalan-soalan daripada pensyarah.

Ada 3 pesakit yang dilawati. 2 orang daripadanya kawan mak dan seorang lagi jiran di kampung. 2 orang tu sakit kencing manis. Seorang lagi tu ‘minor stroke’. Sembang punya sembang, sempat juga buat praktikal tak rasmi dengan bertanyakan tentang demographic (biodata dan latar belakang asas) pesakit, sejarah penyakit dan ubat-ubatan dan ‘compliance’ (kepatuhan kepada pengambilan ubat).

Bila tengok keadaan pesakit-pesakit tu, satu perkara terlintas dalam fikiran. Mereka semua semestinya suatu ketika dulu orang yang kuat, mampu melakukan kerja itu dan ini serta riang gembira dengan kawan-kawan dan keluarga. Tapi, bila dah sakit macam tu, lemah tak bermaya di atas katil. Makan perlu disuap. Berjalan perlu dipapah. Pakaian pun mungkin orang yang pakaikan. Itupun kalau sedar. Kalau koma.... Bagi seorang ibu atau ayah, saat inilah besar maknanya kasih sayang seorang anak. Bagi seorang isteri atau suami, besar juga maknanya kasih sayang pasangan. Waktu inilah nilai pengorbanan sangat bererti.

Saya pernah menunggu arwah ayah saudara saya yang sakit suatu ketika dahulu. Daripada seorang yang kuat, dia menjadi lemah dan hilang ingatan dalam masa yang cukup singkat. Pagi masih mengenal diri, petang sudah tidak tahu apa-apa lagi. Hanya sesekali membuka mata. Waktu tu, betapa Allah mengajar kami sekeluarga, seorang insan tidak ada...langsung tidak ada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah. Hanya linangan air mata sesekali keluar dari kelopak matanya setiap kali dibacakan al-Quran. Ya Allah...walaupun koma, tapi dia mampu masih mendengar ayat-ayatMu.
Entah apa yang bermain dalam fikiran dia. Barangkali ingin mengungkapkan sesuatu. Arwah orang cukup banyak berubah semenjak sebelum pergi haji sehinggalah selepas pulang. Ujian anak sakit yang diberi oleh Allah kepadanya cukup-cukup member kesedaran dalam dirinya. Menjaga solat berjemaah 5 waktu di masjid, qiamullail, keinginan untuk belajar al-Quran dan sentiasa bercerita tentang permasalahan agama setiap kali saya berjumpa dengannya. Allah memanggilnya pulang lebih kurang 100 hari selepas kembali dari menunaikan haji pada usia yang masih muda, lebih kurang 40 an dengan meninggalkan seorang isteri dan 3 orang anak yang masih bersekolah. Dia sempat menyiapkan rumahnya. Maha Hebat perancangan Allah. Moga arwah mendapat rahmat Allah dan tergolong dalam kalangan orang-orang soleh.

Saya pernah juga melihat 2 orang datuk saudara saya yang mengidap kencing manis di hospital. Seorang daripadanya terpaksa dibedah untuk dibuang sebelah kakinya. Sebelum masuk ke dewan bedah, dia menangis semahunya. Entah bagaimana perasaannya. Selama ini gagah melangkah, namun kini kaki yang dipinjamkan oleh Allah telah ditakdirkan untuk dipulangkan semula. Seorang lagi datuk saudara saya pula beberapa kali tenat dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Saya pernah banyak kali masuk ke ICU. Barangkali dalam keluarga saya, memandangkan saya ada latar belakang sekolah agama, maka biasanya sayalah yang akan disuruh berada di samping saudara mara yang sakit tenat. Pengalaman di ICU cukup menyentuh hati. Saat itu, kita akan terasa, betapa lemahnya kita bila melihat pesakit bergantung dengan alat bantuan pernafasan dan disambung dengan macam-macam wayar. Tak berguna lagi harta yang banyak, pangkat yang tinggi mahupun sanjungan manusia. Kerdilnya seorang yang bergelar manusia. Sanak saudara tidak putus putus mendoakan, merayu sepenuh hati kepada Allah. Siapa sahaja yang melihat pasti mengalirkan air mata. Insaf dengan keadaan yang menimpa.

Hospital benar-benar mengingatkan kita hakikat sebenar diri kita. Rebutlah peluang sihat sebelum sakit. Kerana apabila tiba waktunya, hanya Allah yang bermain dalam fikiran kita. Mengadu padanya akan kesilapan dosa-dosa lalu. Mengharapkan kasih sayang dan rahmat Allah untuk memberi kesembuhan dan peluang untuk sihat dan beramal. Syukurilah dengan keadaan diri kita yang mampu bergerak ke sana ke mari, mampu bernafas dengan baik dan mampu untuk senyum riang bersama keluarga dan kawan-kawan. Hospital benar-benar mengajar kita erti SYUKUR.

Friday, February 12, 2010

Snippet - Some of Current Issues

Isu Kalimah ALLAH

Ulasan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman:
Nama Allah: Hukum Asal, Dakwah dan Siyasah (klik tajuk ini)

Ulasan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil:
Seruan Sebelum Bertindak Diam (klik tajuk ini)
Di Jalan Pegangan Yang Masih Gelap Itu (klik tajuk ini)
Niat Hitam Niat Putih Antara Dua Agama (klik tajuk ini)

Ulasan Dr Mohd Asri Zainul Abidin
(Bekas Mufti Perlis)



Ulasan Saudara Zulkifli Nordin
(MP Kulim-Bandar Bharu)



Isu Royalti Minyak Kelantan

Ulasan YB Tengku Razaleigh Hamzah
(MP Gua Musang merangkap Bekas Pengerusi Petronas)



Ulasan YB Husam Musa
(ADUN Salor merangkap Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan
dan Kebajikan Negeri Kelantan)




Isu Goods & Services Tax (GST)

Ulasan ahli perniagaan, ahli akademik dan perunding ekonomi:
What you should know about GST (klik tajuk ini)


Isu MB Perak

Kronologi Kes MB Perak oleh Bernama (klik tajuk ini)
Ulasan Akhbar The Star (klik tajuk ini)