Friday, February 20, 2009

Ketua, Presiden dan...

Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya…”.

Memang berat tanggungjawab apabila menjadi seorang pemimpin sehingga Allah menjanjikan balasan yang besar kepada pemimpin yang adil iaitu naungannya pada hari akhirat. Segala keputusan, dasar, corak kepemimpinan, semuanya akan dipersoalkan akhirat nanti. Di dunia ini pula, segala tingkah laku kita menjadi dalil kepada orang bawah, sama ada untuk diikuti atau dipersoal. “Alah…presiden pun cakap kasar” misalnya. Jika sebelum ini kita mungkin hanya melihat sepintas lalu sesuatu perkara tanpa perlu risau untuk memikirkannya tetapi, apabila memegang amanah, kita mungkin perlu melihatnya berkali-kali demi kebaikan pimpinan.

Allah s.w.t. telah memberiku banyak peluang untuk menjadi pemimpin. Semuanya bermula seawal zaman persekolahan di Sekolah Kebangsaan Banggol Peradong. Ketika darjah 5, aku telah dilantik sebagai ketua kelas dan pengerusi atau setiausaha (aku terlupa) kepada satu persatuan. Kemudian, ketika darjah 6, aku telah dipertanggungjawabkan sebagai Ketua Pengawas. Masa tu, budak-budak, bukannya tahu sangat selok-belok menjadi ketua. Kita dipilih lebih kepada kerana berani ke depan dan akademik yang bagus. Memang menjadi lumrah di sekolah rendah, orang yang sama akan dilantik ke pelbagai jawatan. Dialah ketua rumah sukan, dialah ketua badan beruniform, dialah ketua perbarisan hatta barangkali ketua pengangkat bendera untuk nyanyian lagu Negaraku (kalau ada; lama tak nyanyi lagu Negaraku sambil angkat bendera yang selalu tak ikut tempo).

Trend memilih orang yang sama masih berlaku di sekolah menengah, tetapi sedikit berkurang. Alhamdulillah, aku menolak tawaran ke Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) dan memilih ke SMKA Tok Jiring. Walaupun mendapat tentangan sebahagian saudara mara, tetapi tak mengapalah. Masa tu, aku hanya pegang satu perkara, kalau aku ke sekolah agama, dapat tambah 1 lagi subjek untuk PMR iaitu Bahasa Arab. Bila dapat 9A, lagi tinggi dari sekolah biasa atau SBP (pemikiran waktu tu). Di sekolah menengah, tanggungjawab besar yang aku sandang ialah presiden persatuan dan timbalan ketua pelajar.

Tahun 2003 merupakan kenangan yang sangat bermakna dalam hidup aku. Betapa gembiranya hati ini apabila terpilih ke Darul Quran JAKIM. Namun, ada juga rasa sedih kerana beberapa rakan karibku tidak terpilih. Semasa di DQ, aku telah diminta untuk menggantikan salah seorang daripada kami sebagai Ketua Biro Akademik, Kelab Generasi Intelek al-Quran. Di sana, rasa segan menjadi ketua sangat ketara kerana boleh dikatakan semua yang memegang exco adalah terdiri daripada ketua pelajar, ketua umum, ketua BADAR (badan dakwah dan rohani) dan penolong-penolongnya (untuk banat=sister=pelajar perempuan). Memang terasa janggal berada bersama-sama orang yang berpengalaman. Walaupun aku pernah terlibat dalam kepemimpinan sekolah, sebenarnya, waktu di sekolah, aku banyak ditolong oleh rakan-rakan yang jauh lebih berkaliber daripada aku. Terasa rugi juga kerana tidak bersungguh-sungguh belajar daripada peluang.

Memasuki alam mahasiswa, penglibatan sebagai pengarah program, ketua biro, setiausaha persatuan terus menambah pengalamanku. Begitu juga di peringkat sarjana muda apabila dilantik sebagai Ketua Batch ke-5 Pelajar Farmasi, Setiausaha Nuqaba’ dan Naib Presiden IPhA. Memang mencabar dan banyak yang boleh dikongsikan.

100 Hari Sebagai Presiden IPhA

Angka 100 adalah sesuatu yang penting apabila mengulas tentang tempoh. Contohnya, apabila genap 100 hari pemerintahan sesebuah kerajaan yang baru dilantik dalam pilihanraya, ramai yang akan memperkatakannya, diulas di mana-mana sahaja, dijadikan hujah dan dianalisa. Alhamdulillah, Allah memberiku peluang untuk berkongsi sedikit usaha dalam menentukan hala tuju rakan-rakan seperjuangan apabila dilantik sebagai Presiden IPhA pada 16 September 2008, walaupun sekejap.

IPhA merujuk kepada Persatuan Pelajar-Pelajar Farmasi UIAM (IIUM Pharmacy Students’ Society). Menjadi presiden kepada 264 orang pelajar farmasi sedikit sebanyak menyebabkan aku segan. Sebahagiannya memang mempunyai intelektualiti yang tinggi selain berprinsip, berakhlak dan berdisiplin dalam mengurus perjalanan hidup sebagai pelajar universiti berbanding aku.

Apapun, banyak yang dipelajari sepanjang berada dalam IPhA. Misalnya, dalam membuat perancangan, kita mesti fokus kepada TINDAKAN. Aspek teori dalam menentukan visi dan misi persatuan memang penting, tetapi janganlah sampai mengambil masa yang lama sehingga melambatkan pergerakan persatuan. Apa yang baik, kekalkan dan cukuplah sekadar sedikit penambahbaikan. Perkara-perkara teknikal awal seperti pembahagian subcom biro sebenarnya boleh disiapkan dalam tempoh seminggu. Seterusnya, dalam setiap gerak kerja, usahakan supaya objektif dicapai. Tidak ada maknanya berpenat lelah menguruskan program sekiranya tidak ada langsung natijah yang diharapkan.

Antara cabaran besar yang dilalui sepanjang menjadi pemimpin pelajar ialah mentaliti dan sikap ahli. Bukan mudah untuk mendapatkan sokongan dan kerjasama semua pihak. Ada yang tidak peduli. Kerap kali juga aku kecewa apabila ada yang berkebolehan menolak untuk bekerjasama. Kalau semuanya menolak untuk bekerjasama, siapa lagi yang nak diharapkan. Alangkah eloknya semua sama-sama membantu dan saling melengkapi. Itulah semangat ukhuwwah islamiyyah. Sama-sama susah dan senang. Sama-sama menikmati kegembiraan mencapai apa yang dihajati. Apapun, satu perkara yang aku pelajari dalam mendapatkan sokongan ahli ialah mencari titik persamaan antara semua dan gunakan titik itu sebagai asas dalam bergerak. Contohnya, di kalangan brothers, rehlah dan sukan bolasepak memang satu titik pertemuan yang besar. Jadi, kita boleh gunakannya untuk mengajak kepada penyatuan ahli. Dalam masa yang sama, kita boleh mengutip idea-idea untuk persatuan daripada mereka.

Akhir sekali, menjadi ketua memang memerlukan kesabaran. Bersabar dengan karenah manusia, menahan kekecewaan dengan sikap manusia, melupuskan rasa terguris di hati, dan lain-lain lagi adalah antara lumrah yang perlu dihadapi dengan matang. Usahlah berkira. Kita tak akan ke mana, akhirnya kembali kepada Allah jua. Tanyalah pada diri, adakah ini disukai oleh Allah? Kalau kita berputus asa, siapa lagi yang hendak meneruskan amanah ini. Bersikap terbuka dan berlapang dadalah walaupun pahit. Itulah harga yang mesti dibayar sebagai pemimpin. Tidak dinafikan, sebagai manusia biasa, ada masa dan ketikanya kita memang marah dan terasa hati. Tidak ada daya dan upaya melainkan hanya dengan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung. Itulah sebaik-baik tempat untuk kita mengadu.

(Selamat menjalankan amanah buat kepemimpinan IPhA dan SRC yang baru. Semoga kalian dapat mendidik kami menjadi insan yang beriman dan bertaqwa. Buat semua pelajar farmasi UIAM, pesanan buat diri sendiri dan kalian, berilah sokongan dan kerjasama kepada kepemimpinan kita, yang tidak lain tidak bukan, RAKAN-RAKAN SEPERJUANGAN KITA SENDIRI KETIKA SENANG DAN SUSAH).

2 comments:

  1. aaaiiii...

    masih mengidam jawatan lagi ke???

    xpelah, sabo jelah dulu...

    utamakan yang lebih utama dulu...

    ReplyDelete
  2. muzani..tahniah...deme memang kemas sokmo ni...kawe irihati dgn istiqomah deme..kalaulah kawe jg sedemikian...

    ReplyDelete