Saturday, August 28, 2010

Tazkirah Ramadhan 2 - Keluarga

Apabila seorang lelaki mengucapkan "Aku terima nikahnya", dia bukan sekadar menerima seorang wanita dan keluarganya, tetapi dia sebenarnya menerima satu amanah yang besar di sisi Allah.

Allah mengingatkan kita tentang hal ini dalam Al-Quran:

"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintakan" (Surah At-Tahrim, Surah ke-66, Ayat 6, Juzu' 28, muka surat 560)

Allah s.w.t. tidak hanya menyuruh kita jaga diri kita seorang, tetapi juga ahli keluarga kita daripada perkara-perkara yang membawa kepada balasan neraka Allah.

Oleh sebab itula Allah menyuruh berdakwah, kerana bila sekeliling rosak, kerosakan itu, tempiasnya akan terkena pada kita juga akhirnya.

Neraka...syurga...dosa..pahala...ini semua soal aqidah.

Kalau kita beri nasihat kepada orang-orang yang tidak ada aqidah ataupun tipis iman, mereka mungkin hanya akan mempermainkan nasihat kita walaupun ia berkisar tentang balasan Allah pada akhirat yang dasyat-dasyat. Walau bagaimanapun, tidaklah pula mereka harus dipinggirkan terus. Nasihat tetap perlu diberikan dalam cara yang berhikmah.

Berhikmah bukan bermakna berlembut. Hikmah bermakna kena pada tempatnya. Ada masa berlembut, ada masa bertegas, ada masa dipuji dan ada masa diberi hukuman.

Dalam hal menjaga keluarga, penting kepada ibu dan ayah untuk didik dalam diri anak-anak nilai dosa pahala.

"Long, jangan buat gini, Allah marah"

"Ngah, tak baik buat macam tu, berdosa"

"Achik, ambil duit ni, letak dalam tabung masjid, nanti dapat pahala. Banyak pahala dapat masuk syurga"

Nasihat-nasihat seperti di atas dan seumpamanya perlu dilazimi kepada budak-budak kecil supaya terterap dalam minda mereka nilai syurga, neraka, dosa dan pahala. Aqidah perlu diajar dan dipupuk seiring dengan kita mengajar aspek ibadah seperti solat, puasa dan sebagainya.

Saya berpendapat, aspek 'reasoning' perlu juga ditekankan supaya golongan kecil ini faham kenapa mereka berbuat itu dan ini selain daripada menegaskan perlunya patuh kepada perintah Allah. 'Reasoning' tersebut biarlah bertepatan dengan syara' , yakni untuk memahami, bukan untuk mempersoalkan. Faham atau faqih penting kerana hanya orang yang faqih akan dapat menghayati apa yang diketahuinya dengan taufik dan hidayah Allah.

Dalam hal keluarga juga, menarik sekali jika kita dapat membaca kisah-kisah yang menceritakan sikap dan layanan tokoh-tokoh agama terhadap keluarga mereka. Sudah tentu contoh yang terbaik ialah Rasulullah s.a.w. Ada masa untuk berdakwah, ada masa untuk mentadbir, ada masa dengan para sahabat dan ada masa dengan keluarga.

Begitu juga dengan tokoh Islam yang hebat di Mesir, Imam Hasan al-Banna yang terkenal dengan kumpulan Ikhwan Al-Muslimin. Walaupun pengikutnya ramai, malah ada ribuan cawangan Ikhwan, tapi beliau tetap menjaga masa dengan keluarga kerana hakikatnya, sasaran dakwah yang utama dan terdekat ialah keluarga.

Dalam soal masa dengan keluarga, dan dalam apa-apa perkara berkaitan masa, biarlah kita jaga aspek kualitinya. Ada orang masanya banyak dengan keluarga, tapi tiada kualiti. Ada orang masanya terhad, tapi berkualiti. Ianya bertepatan dengan sebaik-baik amal ialah yang sedikit tetapi berkekalan. Namun, jika ada masa yang lebih, manfaatkanlah juga kerana umur yang panjang yang dipenuhi dengan amal yang baik sudah tentu lebih baik. Seperti juga orang kaya yang beriman, sudah tentu manfaatnya besar berbanding orang miskin yang beriman.

Kalau ada peluang, bacalah buku-buku yang boleh kita jadikan motivasi dan contoh ikutan. Antara yang menarik perhatian saya sekarang ialah "Cinta di Rumah Hasan al-Banna".


Akhir sekali, pesanan buat diri dan semua anak-anak:

Kalau korang boleh bergurau senda, bercakap elok-elok, bermanis muka, ber'facebook', ber'YM', ber'SMS', meraikan, bertanya khabar kawan-kawan, bos, orang bawah, jiran, orang kampung, rakan sekerja dan sesiapa sahaja yang korang jumpa atas dunia ni, kenapa korang tidak boleh lakukan itu semua untuk orang-orang yang telah, sedang dan insya Allah akan bersusah payah bersama korang sampai akhir hayat iaitu KELUARGA!

Ditujukan khas buat mereka yang bergelar ibu, ayah, anak, abang, kakak, adik yang hakikatnya tetap seorang ANAK...














Wednesday, August 18, 2010

Tazkirah Ramadhan 1 - Taqwa Itu Di Hati

Masihkah kita ingat bagaimana kita pertama kali menunggang basikal atau motosikal atau memandu kereta, van dan sebagainya?

Cukup berhati-hati!

Itulah taqwa - berhati-hati dalam melaksanakan apa yang disuruh oleh Allah dan meninggalkan apa yang dilarangNYA. Ia umpama brek yang mengawal manusia daripada terbabas dalam kehidupan.

Sejauh mana seseorang hendak berhati-hati bergantung kepada kepercayaan yang ada dalam hati mereka iaitu iman.

Iman lahir dan kuat melalui pengetahuan dan amalan.

Kanak-kanak mungkin tidak mengenal bahaya kala jengking yang boleh membunuhnya seperti mana orang dewasa kerana mereka tidak ada pengetahuan tentang binatang berbisa itu dan tidak dibiasakan dengan peringatan supaya berhati-hati dengannya.

Seseorang yang hampir lemas, jika dihulurkan tali atau kayu untuk dicapainya, pasti dia akan menggenggamnya erat-erat kerana dia tahu dan percaya dengan penuh yakin, hanya itulah yang boleh menjadi sebab terselamatnya dia daripada mati lemas.

Itulah penangan kepercayaan. Itulah analogi kepada kehebatan aqidah yang menjadi pegangan para sahabat Nabi s.a.w. walaupun diseksa dengan teruk pada peringkat awal keadatangan Islam.

Puasa membentuk taqwa dalam diri seorang Muslim. Adakah kita sudah berhati-hati dalam setiap tindak tanduk kita? Renung-renungkan dan berdoalah semoga puasa Ramadhan ini menjadikan kita seorang muttaqin.

Saturday, August 7, 2010

Bila Hati Terasa Kosong


Solat Berjemaah

Tadarus al-Quran

Solat Sunat

Al-Ma’tsurat

Sedekah

Doa

Qiam

Puasa

Baik tutur kata...


Kira cantik senarai semak harian kalau boleh konsisten dengan semua di atas dan kebaikan-kebaikan yang lain.


“Tapi kenapa hati masih rasa kosong dan jauh...?”, tanya seorang kawan. Rajin beribadah tapi hati kosong. Kenapa begitu?

Mari kita kembali dulu pada asas. ‘Back to basic’.

Ada 2 syarat ibadah dalam ISLAM:

1) Ikhlas kerana Allah

2) Mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. yang sahih.

Bab mengikut sunnah Nabi boleh dipelajari. Jadi, maknanya ‘underlying cause’ bagi ‘pesakit’ hati jauh dan kosong ni kemungkinan besarnya ialah ikhlas.

Ikhlas ni soal hati.

Seorang kawan pernah memberi satu nasihat: HADIRKAN HATI!

Berusahalah dalam ibadah semampu mungkin, sambil terus menerus membaiki diri. Sedikit demi sedikit. Baiki dari segi kuantiti, kualiti dan konsistensi. TAPI dengan satu syarat: hati mesti hadir.

Kita umpamakan hati seperti pelajar dalam kelas. Pelajar yang boleh fokus ialah pelajar yang ‘hidup’ dalam kelas. ‘Happening’ kata orang muda DAN biar bertempat, nasihat orang lama. Bukan tersengguk-sengguk, bukan berfikir ke lain. Hanya badan dalam kelas, tapi tuan punya badan entah ke mana mengembara.

Pelajar yang hidup dalam kelasnya sudah pasti ada persediaan. Tidur yang cukup. Tahu jadual kelas, subjek apa, tajuk apa, pensyarah mana dan lain-lain persediaan yang lumrah.

Begitu juga hati.

Buatlah segala macam ibadah, tapi kalau hati tidak hadir, ia akan menjadi sekadar menyelesaikan kewajipan tanpa pengertian.

Bila orang bertanya kepada saya tentang khusyu’ solat, saya akan menjawab dengan 1 kata kunci iaitu PERHATIKANLAH!

Perhatikanlah apa yang kita buat, apa yang kita baca, apa yang kita fikirkan.

Perhatikanlah diri kita, dari mana, buat apa untuk hidup ini dan ke mana akhirnya.

Perhatikanlah pengaduan, doa dan tawakkal kita kepadaNYA.

Perhatikanlah kisah silam kita. ‘Zaman jahiliyyah’ kata sesetengah orang. Bukan untuk mengungkit kisah lama tetapi menyuntik kesedaran bahawa itu semua dalam catatan Yang Maha Mengetahui.

Insya Allah, moga dengan itu kita sedar hakikat diri kita ni siapa. Harapnya, selepas itu hadirlah ikhlas yang boleh memberi ketenangan hidup, jauh dari rasa kosong yang tidak bererti.