Saturday, August 28, 2010

Tazkirah Ramadhan 2 - Keluarga

Apabila seorang lelaki mengucapkan "Aku terima nikahnya", dia bukan sekadar menerima seorang wanita dan keluarganya, tetapi dia sebenarnya menerima satu amanah yang besar di sisi Allah.

Allah mengingatkan kita tentang hal ini dalam Al-Quran:

"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintakan" (Surah At-Tahrim, Surah ke-66, Ayat 6, Juzu' 28, muka surat 560)

Allah s.w.t. tidak hanya menyuruh kita jaga diri kita seorang, tetapi juga ahli keluarga kita daripada perkara-perkara yang membawa kepada balasan neraka Allah.

Oleh sebab itula Allah menyuruh berdakwah, kerana bila sekeliling rosak, kerosakan itu, tempiasnya akan terkena pada kita juga akhirnya.

Neraka...syurga...dosa..pahala...ini semua soal aqidah.

Kalau kita beri nasihat kepada orang-orang yang tidak ada aqidah ataupun tipis iman, mereka mungkin hanya akan mempermainkan nasihat kita walaupun ia berkisar tentang balasan Allah pada akhirat yang dasyat-dasyat. Walau bagaimanapun, tidaklah pula mereka harus dipinggirkan terus. Nasihat tetap perlu diberikan dalam cara yang berhikmah.

Berhikmah bukan bermakna berlembut. Hikmah bermakna kena pada tempatnya. Ada masa berlembut, ada masa bertegas, ada masa dipuji dan ada masa diberi hukuman.

Dalam hal menjaga keluarga, penting kepada ibu dan ayah untuk didik dalam diri anak-anak nilai dosa pahala.

"Long, jangan buat gini, Allah marah"

"Ngah, tak baik buat macam tu, berdosa"

"Achik, ambil duit ni, letak dalam tabung masjid, nanti dapat pahala. Banyak pahala dapat masuk syurga"

Nasihat-nasihat seperti di atas dan seumpamanya perlu dilazimi kepada budak-budak kecil supaya terterap dalam minda mereka nilai syurga, neraka, dosa dan pahala. Aqidah perlu diajar dan dipupuk seiring dengan kita mengajar aspek ibadah seperti solat, puasa dan sebagainya.

Saya berpendapat, aspek 'reasoning' perlu juga ditekankan supaya golongan kecil ini faham kenapa mereka berbuat itu dan ini selain daripada menegaskan perlunya patuh kepada perintah Allah. 'Reasoning' tersebut biarlah bertepatan dengan syara' , yakni untuk memahami, bukan untuk mempersoalkan. Faham atau faqih penting kerana hanya orang yang faqih akan dapat menghayati apa yang diketahuinya dengan taufik dan hidayah Allah.

Dalam hal keluarga juga, menarik sekali jika kita dapat membaca kisah-kisah yang menceritakan sikap dan layanan tokoh-tokoh agama terhadap keluarga mereka. Sudah tentu contoh yang terbaik ialah Rasulullah s.a.w. Ada masa untuk berdakwah, ada masa untuk mentadbir, ada masa dengan para sahabat dan ada masa dengan keluarga.

Begitu juga dengan tokoh Islam yang hebat di Mesir, Imam Hasan al-Banna yang terkenal dengan kumpulan Ikhwan Al-Muslimin. Walaupun pengikutnya ramai, malah ada ribuan cawangan Ikhwan, tapi beliau tetap menjaga masa dengan keluarga kerana hakikatnya, sasaran dakwah yang utama dan terdekat ialah keluarga.

Dalam soal masa dengan keluarga, dan dalam apa-apa perkara berkaitan masa, biarlah kita jaga aspek kualitinya. Ada orang masanya banyak dengan keluarga, tapi tiada kualiti. Ada orang masanya terhad, tapi berkualiti. Ianya bertepatan dengan sebaik-baik amal ialah yang sedikit tetapi berkekalan. Namun, jika ada masa yang lebih, manfaatkanlah juga kerana umur yang panjang yang dipenuhi dengan amal yang baik sudah tentu lebih baik. Seperti juga orang kaya yang beriman, sudah tentu manfaatnya besar berbanding orang miskin yang beriman.

Kalau ada peluang, bacalah buku-buku yang boleh kita jadikan motivasi dan contoh ikutan. Antara yang menarik perhatian saya sekarang ialah "Cinta di Rumah Hasan al-Banna".


Akhir sekali, pesanan buat diri dan semua anak-anak:

Kalau korang boleh bergurau senda, bercakap elok-elok, bermanis muka, ber'facebook', ber'YM', ber'SMS', meraikan, bertanya khabar kawan-kawan, bos, orang bawah, jiran, orang kampung, rakan sekerja dan sesiapa sahaja yang korang jumpa atas dunia ni, kenapa korang tidak boleh lakukan itu semua untuk orang-orang yang telah, sedang dan insya Allah akan bersusah payah bersama korang sampai akhir hayat iaitu KELUARGA!

Ditujukan khas buat mereka yang bergelar ibu, ayah, anak, abang, kakak, adik yang hakikatnya tetap seorang ANAK...














2 comments:

  1. suka buku tu, dah berkali2 baca.. sgt mengagumi H.A.B., sntiasa ada masa utk semua perkara. kte ni baru umur 20 lbh asyik xde masa je, huhu

    ReplyDelete
  2. Yup..buku tu memang best. Simple. Yang menariknya contoh2 yg dia beri tu la. Tabik aa kat H.A.B.

    ReplyDelete