Tuesday, February 8, 2011

Di Sebalik Ubat Merah Itu

Ada yang datang awal

Ada yang datang lambat

Ada yang kemas dan segak

Ada juga yang tak terurus

Ada yang pendiam

Ada yang suka bercakap

Ada yang muda

Ada pula yang berusia

Ada yang merungut

Pernah ada juga yang mengugut

Ada yang suka pekat

Ada juga yang suka cair

Ada yang buat-buat minum tapi tak telan

Ada juga yang cuba alihkan perhatian

Itulah sebahagian ragam mereka yang mengambil Terapi Gantian Methadone, iaitu sejenis ubat minum yang digunakan sebagai rawatan ketagihan dadah untuk mengelakkan kesan gian, menghalang kesan dari penyalahgunaan dadah terlarang dan juga mengurangkan keinginan terhadap dadah.

Aku tidak pasti sejauh mana berkesannya cara sebegini. Sepanjang dilaksanakan di tempat aku, ada juga yang menyatakan keinginan untuk berhenti tapi masih tidak berjaya. Itupun hanya segelintir yang boleh dibilang jari. Yang lainnya masih tidak pasti.

Mereka yang terlibat perlu datang setiap hari untuk meminum ubat ini dengan seliaan ahli farmasi (Direct Observation Therapy). Bagaimana agaknya kalau setiap hari kena datang ke hospital atau klinik kesihatan? Hanya yang memenuhi syarat sahaja yang boleh membawa pulang bekalan ubat untuk beberapa hari. Semuanya bertujuan untuk mengelakkan penyalahgunaan ubat tersebut.

Bagi yang berminat untuk tahu lebih lanjut, ada 2 garis panduan yang dikeluarkan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi berkenaan rawatan ini yang boleh dimuat turun dari PAUTAN INI.

Cuma, ada beberapa perkara yang membuat aku rasa terharu dan menaruh harapan semoga mereka dapat berubah dan membina hidup yang lebih baik apabila....

Ada yang memberi salam...ASSALAMU'ALAIKUM

Ada juga yang membaca Bismillah bila meminum ubat

Ada yang berterima kasih

Ada juga yang memberi hadiah

Ada yang datang dengan abang atau adik

Dan ada yang datang dengan anak-anak kecil yang pastinya belum mengerti pahit maung kehidupan dunia yang sementara

"Jangan main gitu, ni yang ayah tak nak bawak ni," lafaz itu lafaz yang mulia.

Lafaz yang lahir dari hati kecil seorang manusia yang inginkan kebaikan untuk hidup anak-anaknya...

Moga ALLAH memberi petunjuk dan hidayah kepada mereka dan KITA...

Sunday, February 6, 2011

Tanyalah ALLAH

"Assalamu'alaikum...Ustaz Che Ku Razak kan?" aku bertanya kepada lelaki itu.

"Ye..." jawabnya ringkas sambil tersenyum.

"Saya Muzani...anak murid ustaz waktu ustaz jadi Penolong Kanan 1 di Tok Jiring...tahun 1998 ke 2000 camtu" aku memperkenalkan diri.

Wajahnya tak banyak berubah. Seingat aku, sejak ustaz bertukar ke sekolah lain, inilah kali pertama aku bertemu semula dengannya. Semasa beliau bertugas di SMKA Tok Jiring, aku sifatkan pentadbiran sekolah pada waktu tu berada di bawah kepemimpinan agama. Pengetuanya Ustaz Nawawi, PK1 Ustaz Che Ku Razak, PK HEM Ustazah Wan Fatimah, Pengerusi PIBG bekas Qadhi (lupa namanya) serta guru-guru agama yang murabbi seperti Ustaz Ramli Muda, Ustaz Ibrahim, arwah Ustaz Wan Nordin, Ustaz Syed Shukri, Ustaz Abdul Rahman dan beberapa lagi yang lain.

Waktu tu, tiada pengawas sekolah. Yang ada sistem naqib naqibah yang lebih kurang berfungsi seperti pengawas sekolah tetapi dipilih oleh para guru dengan kriteria mempunyai personaliti yang berakhlak dan boleh dicontohi. Aku sangat berasa segan dengan mereka. Sempat juga merasa usrah pagi Khamis yang diwajibkan kepada semua pelajar sekolah. Setiap kumpulan ada tempat masing-masing di bawah seliaan para nuqaba' dan penolong nuqaba'.

"Kita ni pelajar sekolah agama biar lain. Kena duduk atas tikar sembahyang, doa dan minta panduan dari Allah. Apa yang Allah bagi, elok ke, kurang ke, Allah akan bagi kekuatan pada kita", ulas beliau tentang kahwin...barangkali kerana aku meminta nombor telefonnya untuk memudahkan urusan kalau ada panggilan apa-apa.

Pertemuan yang sekejap itu sangat berharga. Nasihat-nasihat dari para guru yang murabbi yang pernah aku terima sewaktu sekolah dulu diulang kembali.

"Okei ye ustaz, jumpa lagi. Doa-doakan saya", aku mengakhiri pertemuan itu sambil sedikit terkejut melihat ustaz menaiki motor rupanya dengan isteri beliau datang ke bandar. "Bekas pengetua sekolah menengah yang besar-besar datang bandar dengan naik motor...memang ustaz seorang yang merendah diri" aku berkata dalam hati.

...................................

Tanyalah Allah! Itulah kesimpulan yang aku dapat daripada pertemuan itu. Jangan hanya berusaha tanpa merujuk padaNYA. Bersiaplah dengan segala macam teknikalnya, tapi jangan dilupa persiapan ilmu dan rohani.

Senangkanlah Hatimu!

Kalau engkau masih muda remaja senangkanlah hatimu! Kerana pohon pengharapanmu masih subur, dahan-dahannya masih rendang dan rimbun. Tujuan kenang-kenangan masih jauh.Sebab umurmu masih muda, mudahlah bagimu menjadikan mimpi menjadi kenyataan yang sebenarnya.

Kalau engkau telah tua, senangkan pulalah hatimu! Kerana engkau telah terlepas dari medan pertempuran dan perjuangan yang sengit, dan engkau telah beroleh beberapa ilmu yang berguna di dalam sekolah hidup. Engkau telah tahu firasat, mengerti gerak geri manusia dan tahu ke mana tujuan jalan yang ditempuhnya. Oleh sebab itu segala pekerjaan yang engkau kerjakan itu kalau engkau suka lebih banyak akan membawa faedah dan lebih banyak tersingkir daripada bahaya. Satu detik daripada umurmu di masa tua, lebih mahal harganya daripada bertahun-tahun di zaman muda, sebab semuanya telah engkau lalui dengan pandangan yang terang dan pengalaman yang pahit.


oleh Al-Anisah Mai, dipetik dalam Prof. Dr. Hamka (1996). Tasawuf Moden. Kuala Lumpur: Darul Nu’man. Halaman 337-343.

Kredit to Blog Suluh Hati