Sunday, January 2, 2011

Jadilah Anak Yang Soleh

Sumber: Darulkautsar.net


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ


Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila seseorang itu meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh mendoakan untuknya.[1]


Hadis ini termasuk di bawah makna ayat 39 surah al-Najm, iaitu bagi menegaskan bahawa manusia mesti berusaha untuk dirinya. Hadis ini juga sebagai perincian kepada ayat tersebut supaya manusia melakukan amalan yang pahalanya tidak terputus selepas meninggal dunia. Rasulullah s.a.w. menunjukkan tiga bentuk amalan yang menjamin pahala yang terus menerus diperolehi walaupun setelah meninggal dunia. Tiga perkara ini adalah amalan seseorang itu sendiri bukan amalan orang lain. Pada asalnya apabila seseorang itu meninggal dunia, catatan amalan ditutup kecuali tiga perkara ini sahaja yang pernah dilakukannya semasa masih lagi hidup. Walaupun orang lain yang beramal dia turut sama memperolehi ganjaran pahala. Ini kerana, dia mempunyai peranan dalam amalan yang dilakukan oleh orang lain. Hakikat ini diperjelaskan lagi oleh hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah:


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي قَتَادَةَ عَنْ أَبِيهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرُ مَا يُخَلِّفُ الرَّجُلُ مِنْ بَعْدِهِ ثَلَاثٌ وَلَدٌ صَالِحٌ يَدْعُو لَهُ وَصَدَقَةٌ تَجْرِي يَبْلُغُهُ أَجْرُهَا وَعِلْمٌ يُعْمَلُ بِهِ مِنْ بَعْدِهِ


Daripada Abu Qatadah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sebaik-baik perkara yang ditinggalkan oleh seseorang selepas (setelah meninggal dunia) tiga perkara: anak soleh yang berdoa untuknya, sedekah yang berkekalan yang menyampaikan pahalanya kepadanya dan ilmu yang diamalkan selepasnya.” [2]


Perkara pertama yang disebutkan dalam hadis pertama ialah sedekah jariah iaitu sedekah yang berterusan dan berkekalan manfaatnya untuk masyarakat umum. Semasa hidup di dunia si mati melakukan amalan tertentu yang dia tetap memperolehi pahala walaupun dia telah meninggal dunia seperti mendirikan masjid, sekolah dan menggali telaga. Begitu juga amalan-amalan lain yang terus menerus mendatangkan manfaat kepada orang lain seperti membina hospital, membina jambatan, mewakafkan buku-buku agama dan sebagainya.


Jika seseorang itu tidak berkesempatan melakukan kebajikan dalam bentuk tersebut semasa hidup dan dia mewasiatkan kepada warisnya supaya mengambil hartanya untuk membina sekolah agama, pusat jagaan anak-anak yatim dan lain-lain maka ini juga termasuk dalam kategori sedekah jariah. Dari segi fiqh ia lebih dikenali dengan wasiat iaitu sesuatu muamalah harta yang berkait dengan kematian seseorang dan berkuatkuasa dengan meninggalnya orang yang mewasiatkan.


Apa yang penting si mati mempunyai niat, kehendak dan usaha untuk beramal soleh. Dalam masalah wasiat, si mati sememangnya mempunyai niat dan niat itu sendiri merupakan asas kepada amalannya. Harta diwasiat pula hartanya, maka sewajarnya dia tetap mendapat pahala daripadanya.


Sebaliknya jika si mati langsung tidak mempunyai kehendak dan niat semasa di dunia dan tidak pernah berdetak di hati untuk bersedekah lalu dia meninggal dunia kemudian orang lain bersedekah untuknya maka ini tidak dipanggil sedekah jariah yang dilakukannya tetapi dilakukan oleh orang lain. Dengan itu, tidak mungkin dia memperolehi bahagian pahala daripada sedekah itu.


Tegasnya, peranan dan penglibatan seseorang dalam apa-apa amalan amatlah penting dan niat menjadi syarat kepada penerimaan amalan. Bukankah Rasulullah s.a.w. menegaskan:


إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى


“Sesungguhnya amalan-amalan itu dikira dengan niat dan setiap orang memperolehi apa yang dia niatkan.”[3] (al-Bukhari, no: 1)


Pandangan ini berasaskan kepada ayat-ayat al-Qur`an yang telah kita bincangkan sebelum ini iaitu balasan amalan mengikut amalan sendiri dan manusia hanya memperolehi apa yang diusahakannya. Perkara yang kedua yang disebutkan oleh hadis ini ialah ilmu yang bermanfaat. Ilmu dipelajari oleh seseorang kemudian disebarkan dan diajarkan kepada orang lain yang mendapat faedah duniawi atau ukhrawi. Dengan cara ini, pahala orang yang mengamalkan ilmu yang diajarkannya juga diperolehinya tanpa mengurangkan pahala orang yang melakukannya.

Imam Ibn Majah mengemukakan sebuah riwayat:


عَنْ سَهْلِ بْنِ مُعَاذِ بْنِ أَنَسٍ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ عَلَّمَ عِلْمًا فَلَهُ أَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهِ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الْعَامِلِ


Daripada Sahl bin Mu’az bin Anas daripada ayahnya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang mengajarkan satu ilmu maka dia memperolehi ganjaran pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan sedikitpun pahala orang yang melakukannya.”[4]


Perkara ketiga yang disebutkan oleh hadis ialah anak si mati yang soleh yang mendoakan untuknya. Si mati mendidik anaknya dengan didikan Islam dan akhlak mulia sehingga dia membesar dalam ketaatan kepada Allah dan berbakti kepada ibu bapanya. Apa yang diajarkan oleh si bapa itulah yang diamalkan dan menjadi amalan si anak. Ini menyambungkan lagi suratan amalan si mati. Setiap amalan soleh yang dilakukan anak tetap dikira sebagai pahala buat ibu bapanya yang mendidiknya. Oleh kerana usaha mendidik dan membesarkan anaknya, ibu bapa akan terus mendapat pahala selepas meninggal dunia. Anak tidak perlu meniatkan apa-apa pahala untuk ibu bapanya kerana amalannya itu akan dikira sebagai dalam catatannya dan tidak disyariatkan pula menghadiahkan pahala untuk si mati. Tambahan pula, terdapat hadis yang menyokong perkara ini:


عَنْ عَائِشَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ وَلَدُ الرَّجُلِ مِنْ كَسْبِه


Diriwayatkan daripada ‘Aishah daripada Rasulullah s.a.w. bahawa baginda bersabda: “Anak seseorang itu termasuk dalam usahanya.”[5]


Kesimpulan hadis ialah Rasulullah s.a.w. menekankan kepada umatnya supaya memberi perhatian kepada amalan yang menjamin pahala yang berterusan. Baginda menyarankan kita supaya berusaha mencari harta supaya dapat bersedekah dengannya dengan cara terbaik iaitu yang berterusan dan berkekalan. Baginda juga menggalakkan umatnya menuntut ilmu yang bermanfaat dan menyebarkannya dalam apa cara sama ada melalui pengajaran, pembinaan pusat pengajian, penulisan, penerbitan dan lain-lain. Akhir sekali baginda menggesa umat ini supaya berkahwin dan memperolehi zuriat yang soleh yang membesar dalam didikan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.


Disediakan oleh Muhammad Hanief bin Awang Yahaya untuk darulkautsar.net


[1] Hadis Muslim, Kitab al-Wasiyyah, Bab Ma Yalhaq al-Insan Min al-Thawab, Abu Daud, Kitab al-Wasaya, Bab Ma Ja`a Fi al-Sadaqah ‘An al-Mayyit, al-Tirmizi, Kitab: al-Ahkam ‘An Rasulillah s.a.w. Bab Fi al-Waqf.


[2] Ibn Majah, Kitab Muqaddimah, Bab Thawab Mu’allim al-Nas al-Khair.


[3] Al-Bukhari, Bab Kayfa Kana Bad` al-Wahy.


[4] Ibn Majah, Kitab Muqaddimah, Bab Thawab Mu’allim al-Nas al-Khair.


[5] Abu Daud, Kitab al-Buyu’, Bab Fi al-Rajul Ya`kul Min Mal Waladih


"Buat mereka yang bergelar anak, dalam kesibukan bekerja, belajar, bertemu rakan taulan dan apa sahaja yang engkau lakukan, kenanglah pesanan Nabi s.a.w. ini agar engkau tidak lupa dan terus istiqamah mendidik diri. Lihatlah wajah ayah ibu, walaupun sekadar sekeping gambar, moga engkau tidak lupa mendoakan mereka dan mengingatkan dirimu dan anak-anakmu kelak.

Hari-hari, sudah pun berlalu, usiamu makin bertambah, seorang ibu sudah semakin tua, namun terus berkorban untuk sesuap rezeki, agar sempurna hari depanmu.

Hanyalah anak-anak yang soleh, bisa memberikan kasih sayangnya. Hanyalah anak-anak yang soleh, bisa mendoakan hari akhiratmu"

No comments:

Post a Comment