Thursday, January 27, 2011

Rangkum!

Dah lama tak menulis artikel sendiri di blog ni. Asyik copy paste dan letak video je. Nak kata sibuk, takdela mane pun. Sekarang ni rutin kerja macam biasa. Tengah duk kat Farmasi Bekalan Wad yang urus bekalan ubat untuk wad-wad di hospital. Tugas utama...screening atau semak preskripsi yang doktor tulis. Balik petang biasanya lebih kurang pukul 6 sampai la kat rumah. Dah banyak kali hampir terlelap dalam kereta. Bahaya betul. Sebab tulah setiap kali berhenti kat lampu isyarat, aku free gear dan tarikh hand break. Langkah pencegahan takut-takut terlelap. Radio tak usah cerita la, kuat juga volume. Awal-awal kerja dulu rajin la jugak riadhah. Sekarang ni jadi malas plak. Macam mana ni kerja bidang kesihatan. Biasa la macam tu. Ahli farmasi pun kadang-kadang orang yang agak susah nak makan ubat.

....................

Bagi kawan-kawan kenalan Kuala Kubu, apa cerita sekarang? Sejak meninggalkan Ampang Pecah, tak pernah lagi aku menjenguk kembali tempat tu. Bila dah kerja ni, teringat juga projek mega yang pernah dibincangkan dulu. Rasanya sekarang dah ramai dari kalangan kita yang kerja. Apapun, core business kita yang paling utama tetap kena jadi yang paling utama. Aku pun segan kalau bercakap pasal ni, sebab cabaran besar. Dari dulu sampai sekarang, aku hanya boleh rasa suasana seperti dulu bila jumpa dengan orang yang memang duduk dalam bidang tu. Waktu tu la, malu muka beb. Dulu waktu baru-baru keluar dari sana, biasanya orang duk sebut, berapa jam atau berapa juzu' mengulang? Aku akui, cabarannya sangat besar...Bagi aku, seperti yang aku tulis tadi, kekuatan tu ada bila jumpa dengan mereka yang benar-benar gigih dalam bidang tu, ditambah dengan sejauh mana kehendak dan usaha kita sendiri.

...................

"Dalam hidup, kita mesti ada matlamat dan perancangan", jelas aku kepada budak-budak tu. Nasihat tu terkena atas diri sendiri. Ibarat pelempang! Ada atau tak ada, itu satu perkara. Melaksanakan apa yang ada, itu juga satu perkara, tapi banyak karenah dan penyedap hatinya yang diberi oleh diri sendiri. Dalam program itu, aku buat persediaan untuk bercakap dengan budak-budak peringkat sekolah menengah dan belia, tetapi bila yang berada di hadapan, majoritinya budak-budak sekolah rendah + tahap 1 plak tu. "Ya Allah ,camane nak terang pasal menda ni kat budak-budak kecil ni?". "Okei, abang nak semua tulis cita-cita masing-masing dan kenapa nak jadi camtu?". Akhirnya aku gunakan cita-cita sebagai contoh untuk jelaskan tentang matlamat. "Petang-petang selalu buat apa?" tanya aku pada seorang budak. "Main basikal" jawabnya. "Haa, sebelum pergi main, ada tak ajak kawan? Beritahu tak pukul berapa, nak round kat mana? Tulah perancangan...Hari tu, aku terpaksa menjadi budak-budak. Biarlah mereka kenal dengan perkataan-perkataan itu dahulu, kelak mereka akan lebih memahaminya.

...............

Pernah dengar nama Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman dan Ustaz Pahrol Mohd Juoi? Kalau tak pernah, atau macam pernah, aku cadangkan korang semua pergi la ke laman web mereka. Banyak benda yang boleh kita belajar untuk hidup dengan tenang dan berjaya di dunia ni dan akhirat insya Allah.

Ustaz Hasrizal - www.saifulislam.com
Ustaz Zaharuddin - www.zaharuddin.net
Ustaz Pahrol - www.genta-rasa.com
..............

Jumpa lagi!

Thursday, January 20, 2011

Monolog Sebuah Impian

Ketika lepas bebas di alam remaja,
Impianku tidak mengenal batasan - aku ingin mengubah DUNIA.

Apabila usia meningkat dewasa dan aku semakin matang,
kusedari...rupanya dunia tidak akan berubah.

Lalu aku bataskan jangkauan.

Memadailah jika aku dapat mengubah NEGARA,
namun ini juga tidak kesampaian.

Di usia senja, pilihan terakhirku ialah untuk mengubah KELUARGA, dan mereka yang terdekat,
malangnya...mereka juga tidak mampu kuubah.

Kini, di perbaringan menanti maut,
baru ku sedari (mungkin buat pertama kali).

Andainya dahulu yang pertama kuubah adalah DIRI SENDIRI,
dengan menunjukkan teladan yang baik,
pasti aku dapat mengubah KELUARGA.

Lantas...dengan sokongan dan dorongan semangat mereka,
aku pasti mampu mengubah NEGARA.

Dan siapa tahu...mungkin juga aku mampu mengubah DUNIA.


Dipetik dari Buku Mukmin Profesional karangan Ustaz Pahrol Mohamad Juoi

Sunday, January 2, 2011

Jadilah Anak Yang Soleh

Sumber: Darulkautsar.net


عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ


Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila seseorang itu meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh mendoakan untuknya.[1]


Hadis ini termasuk di bawah makna ayat 39 surah al-Najm, iaitu bagi menegaskan bahawa manusia mesti berusaha untuk dirinya. Hadis ini juga sebagai perincian kepada ayat tersebut supaya manusia melakukan amalan yang pahalanya tidak terputus selepas meninggal dunia. Rasulullah s.a.w. menunjukkan tiga bentuk amalan yang menjamin pahala yang terus menerus diperolehi walaupun setelah meninggal dunia. Tiga perkara ini adalah amalan seseorang itu sendiri bukan amalan orang lain. Pada asalnya apabila seseorang itu meninggal dunia, catatan amalan ditutup kecuali tiga perkara ini sahaja yang pernah dilakukannya semasa masih lagi hidup. Walaupun orang lain yang beramal dia turut sama memperolehi ganjaran pahala. Ini kerana, dia mempunyai peranan dalam amalan yang dilakukan oleh orang lain. Hakikat ini diperjelaskan lagi oleh hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Majah:


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي قَتَادَةَ عَنْ أَبِيهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْرُ مَا يُخَلِّفُ الرَّجُلُ مِنْ بَعْدِهِ ثَلَاثٌ وَلَدٌ صَالِحٌ يَدْعُو لَهُ وَصَدَقَةٌ تَجْرِي يَبْلُغُهُ أَجْرُهَا وَعِلْمٌ يُعْمَلُ بِهِ مِنْ بَعْدِهِ


Daripada Abu Qatadah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sebaik-baik perkara yang ditinggalkan oleh seseorang selepas (setelah meninggal dunia) tiga perkara: anak soleh yang berdoa untuknya, sedekah yang berkekalan yang menyampaikan pahalanya kepadanya dan ilmu yang diamalkan selepasnya.” [2]


Perkara pertama yang disebutkan dalam hadis pertama ialah sedekah jariah iaitu sedekah yang berterusan dan berkekalan manfaatnya untuk masyarakat umum. Semasa hidup di dunia si mati melakukan amalan tertentu yang dia tetap memperolehi pahala walaupun dia telah meninggal dunia seperti mendirikan masjid, sekolah dan menggali telaga. Begitu juga amalan-amalan lain yang terus menerus mendatangkan manfaat kepada orang lain seperti membina hospital, membina jambatan, mewakafkan buku-buku agama dan sebagainya.


Jika seseorang itu tidak berkesempatan melakukan kebajikan dalam bentuk tersebut semasa hidup dan dia mewasiatkan kepada warisnya supaya mengambil hartanya untuk membina sekolah agama, pusat jagaan anak-anak yatim dan lain-lain maka ini juga termasuk dalam kategori sedekah jariah. Dari segi fiqh ia lebih dikenali dengan wasiat iaitu sesuatu muamalah harta yang berkait dengan kematian seseorang dan berkuatkuasa dengan meninggalnya orang yang mewasiatkan.


Apa yang penting si mati mempunyai niat, kehendak dan usaha untuk beramal soleh. Dalam masalah wasiat, si mati sememangnya mempunyai niat dan niat itu sendiri merupakan asas kepada amalannya. Harta diwasiat pula hartanya, maka sewajarnya dia tetap mendapat pahala daripadanya.


Sebaliknya jika si mati langsung tidak mempunyai kehendak dan niat semasa di dunia dan tidak pernah berdetak di hati untuk bersedekah lalu dia meninggal dunia kemudian orang lain bersedekah untuknya maka ini tidak dipanggil sedekah jariah yang dilakukannya tetapi dilakukan oleh orang lain. Dengan itu, tidak mungkin dia memperolehi bahagian pahala daripada sedekah itu.


Tegasnya, peranan dan penglibatan seseorang dalam apa-apa amalan amatlah penting dan niat menjadi syarat kepada penerimaan amalan. Bukankah Rasulullah s.a.w. menegaskan:


إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى


“Sesungguhnya amalan-amalan itu dikira dengan niat dan setiap orang memperolehi apa yang dia niatkan.”[3] (al-Bukhari, no: 1)


Pandangan ini berasaskan kepada ayat-ayat al-Qur`an yang telah kita bincangkan sebelum ini iaitu balasan amalan mengikut amalan sendiri dan manusia hanya memperolehi apa yang diusahakannya. Perkara yang kedua yang disebutkan oleh hadis ini ialah ilmu yang bermanfaat. Ilmu dipelajari oleh seseorang kemudian disebarkan dan diajarkan kepada orang lain yang mendapat faedah duniawi atau ukhrawi. Dengan cara ini, pahala orang yang mengamalkan ilmu yang diajarkannya juga diperolehinya tanpa mengurangkan pahala orang yang melakukannya.

Imam Ibn Majah mengemukakan sebuah riwayat:


عَنْ سَهْلِ بْنِ مُعَاذِ بْنِ أَنَسٍ عَنْ أَبِيهِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ عَلَّمَ عِلْمًا فَلَهُ أَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهِ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الْعَامِلِ


Daripada Sahl bin Mu’az bin Anas daripada ayahnya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesiapa yang mengajarkan satu ilmu maka dia memperolehi ganjaran pahala orang yang mengamalkannya tanpa dikurangkan sedikitpun pahala orang yang melakukannya.”[4]


Perkara ketiga yang disebutkan oleh hadis ialah anak si mati yang soleh yang mendoakan untuknya. Si mati mendidik anaknya dengan didikan Islam dan akhlak mulia sehingga dia membesar dalam ketaatan kepada Allah dan berbakti kepada ibu bapanya. Apa yang diajarkan oleh si bapa itulah yang diamalkan dan menjadi amalan si anak. Ini menyambungkan lagi suratan amalan si mati. Setiap amalan soleh yang dilakukan anak tetap dikira sebagai pahala buat ibu bapanya yang mendidiknya. Oleh kerana usaha mendidik dan membesarkan anaknya, ibu bapa akan terus mendapat pahala selepas meninggal dunia. Anak tidak perlu meniatkan apa-apa pahala untuk ibu bapanya kerana amalannya itu akan dikira sebagai dalam catatannya dan tidak disyariatkan pula menghadiahkan pahala untuk si mati. Tambahan pula, terdapat hadis yang menyokong perkara ini:


عَنْ عَائِشَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ وَلَدُ الرَّجُلِ مِنْ كَسْبِه


Diriwayatkan daripada ‘Aishah daripada Rasulullah s.a.w. bahawa baginda bersabda: “Anak seseorang itu termasuk dalam usahanya.”[5]


Kesimpulan hadis ialah Rasulullah s.a.w. menekankan kepada umatnya supaya memberi perhatian kepada amalan yang menjamin pahala yang berterusan. Baginda menyarankan kita supaya berusaha mencari harta supaya dapat bersedekah dengannya dengan cara terbaik iaitu yang berterusan dan berkekalan. Baginda juga menggalakkan umatnya menuntut ilmu yang bermanfaat dan menyebarkannya dalam apa cara sama ada melalui pengajaran, pembinaan pusat pengajian, penulisan, penerbitan dan lain-lain. Akhir sekali baginda menggesa umat ini supaya berkahwin dan memperolehi zuriat yang soleh yang membesar dalam didikan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah.


Disediakan oleh Muhammad Hanief bin Awang Yahaya untuk darulkautsar.net


[1] Hadis Muslim, Kitab al-Wasiyyah, Bab Ma Yalhaq al-Insan Min al-Thawab, Abu Daud, Kitab al-Wasaya, Bab Ma Ja`a Fi al-Sadaqah ‘An al-Mayyit, al-Tirmizi, Kitab: al-Ahkam ‘An Rasulillah s.a.w. Bab Fi al-Waqf.


[2] Ibn Majah, Kitab Muqaddimah, Bab Thawab Mu’allim al-Nas al-Khair.


[3] Al-Bukhari, Bab Kayfa Kana Bad` al-Wahy.


[4] Ibn Majah, Kitab Muqaddimah, Bab Thawab Mu’allim al-Nas al-Khair.


[5] Abu Daud, Kitab al-Buyu’, Bab Fi al-Rajul Ya`kul Min Mal Waladih


"Buat mereka yang bergelar anak, dalam kesibukan bekerja, belajar, bertemu rakan taulan dan apa sahaja yang engkau lakukan, kenanglah pesanan Nabi s.a.w. ini agar engkau tidak lupa dan terus istiqamah mendidik diri. Lihatlah wajah ayah ibu, walaupun sekadar sekeping gambar, moga engkau tidak lupa mendoakan mereka dan mengingatkan dirimu dan anak-anakmu kelak.

Hari-hari, sudah pun berlalu, usiamu makin bertambah, seorang ibu sudah semakin tua, namun terus berkorban untuk sesuap rezeki, agar sempurna hari depanmu.

Hanyalah anak-anak yang soleh, bisa memberikan kasih sayangnya. Hanyalah anak-anak yang soleh, bisa mendoakan hari akhiratmu"