Imam Muda - Legasi Sebuah Kemerdekaan Wacana Perdana: Anak Muda Belum Merdeka
Tarikh: 8 Oktober 2010, Jumaat
Tempat: Perkarangan Kulliyyah Perubatan, UIAM Kuantan
Ahli Panel:
1) Prof Dr Abdul Aziz Bari (Pensyarah UIAM)
2) Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man (Naib Presiden PAS)
3) Amin Idris (Motivator)
4) Lokman Nor Adam (Exco Pemuda UMNO)
Moderator: Dr Wan Azizi (Pensyarah UIAM)
Rumusan:
1) Yang dikatakan belum merdeka adalah dalam aspek minda dan akhlak sebahagian daripada anak muda.
2) Keluarga, rakan sebaya, institusi pendidikan, media dan kerajaan adalah pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk berusaha memperbaiki keadaan. Hala tuju dan jalan penyelesaiannya mestilah kembali kepada pendekatan Islam.
3) Tujuan pengutusan Nabi SAW adalah menyempurnakan akhlak yang mulia.
4) Akhlak adalah nilai yang perlu ada dalam aqidah, sosial, ekonomi, politik dan seumpamanya.
5) Runtuh atau kekal sesuatu tamadun adalah bergantung kepada akhlak masyarakatnya.
6) Hala tuju hidup anak muda perlu jelas dan diperjelaskan. Contohnya dalam program PLKN, apa halatuju, motif dan natijahnya?
7) Jika elemen yang merosakkan melebihi eleman yang mendidik ke arah kebaikan, usaha mendidik boleh gagal. Analogi: 1 orang mengecat rumah manakala 10 lagi menconteng. Cantikkah rumah itu?
8) Dalam aspek keluarga sekarang, kebanyakannya gagal membina model ikutan. Model ini boleh jadi ibu ayah, adik-beradik atau sesiapa sahaja di kalangan ahli keluarga.
9) Sikap yang ditonjolkan lebih memberi kesan daripada sekadar kata-kata. Contoh: orang yang bercakap agama tetapi dialah kaki ponteng, mungkir janji dan tidak menepati masa, tidak akan berjaya mengajak orang ke arah kebaikan.
10) Masa depan negara terletak pada anak-anak muda. Mereka adalah legasi terbaik yang ditinggalkan oleh sesuatu generasi.
11) Islam diutus dalam masyarakat yang teruk tetapi berjaya melahirkan tokoh-tokoh anak muda yang berakhlak mulia dan beriman seperti Ali, Zubayr, Talhah, Al-Arqam, Abdullah bin Mas’ud, Sa’ad bin Abi Waqas, Jaafar bin Abi Talib, Zaid bin Harithah, Mus’ab bin Umair, Umar Al-Khattab dan Abu Bakr.
12) Jangan terlalu asyik mencari salah orang walaupun itulah hakikat yang terpaksa kita hadapi dalam sistem demokrasi yang ada pada hari ini.
13) Orang tua juga bermasalah tapi fokus diberi kepada orang muda kerana merekalah penyambung perjuangan.
14) Dalam konteks undang-undang, ia sebenarnya adalah cara mengawal atau pencegahan dan dalam sesetengah keadaan, undang-undang adalah panduan. Contohnya: undang-undang jalan raya.
15) Undang-undang bukan penyelesaian mutlak. Pendidikan atau tarbiyyah adalah 1st line manakala undang-undang atau hukuman adalah 2nd line kerana manusia biasanya akan ada juga yang jenis tak dengar kata walaupun sudah diberi didikan.
16) Ada 2 aspek dalam undang-undang. 1) peruntukan undang-undang dan 2) penguatkuasaan. Kedua-dua mesti berfungsi dengan baik. Biasanya yang pertama sudah baik tetapi realitinya yang kedua itu banyak yang bermasalah.
17) Orang muda dan sesiapa sahaja perlu bertindak berdasarkan keilmuan, bukan sentimen. Semangat orang muda mesti dipandu oleh ilmu.
18) Pendedahan kepada kepemimpinan negara perlu jika kita ingin melihat anak muda sebagai generasi pelapis yang baik.
19) Apa sahaja perkara baik yang diperjuangkan, mestilah atas dasar kepentingan umat, bukan kepentingan individu.
20) Corak kebangkitan anak muda hampir sama di kebanyakan tempat di seluruh dunia kerana merekalah yang paling dekat dengan sumber maklumat dan paling agresif ingin mengetahuinya.
21) Dalam isu demonstrasi, kuasa digunakan setelah usaha demi usaha dilakukan melalui saluran yang betul tetapi tidak diendahkan. Tabiat anak muda, mereka akan cuba mencari jalan lain apabila disekat.
22) Generasi awal Islam berjaya kerana: 1) yakin dengan Islam (aqidah) yang dibina melalui ilmu dan 2) zuhud dengan dunia.
23) Takrif hak berpolitik bagi mahasiswa perlu diperjelas. Sejauh mana? Boleh memegang jawatan ke? Boleh menghadiri ceramah ke? Semua orang boleh atau ada syarat-syarat tertentu supaya akademik mereka tidak terabai?
24) Pastikan kita betul-betul tahu dan pasti tentang sesuatu dari sumber yang betul, bukan sekadar mendengar dari pihak lain atau anggapan kita semata-mata. Banyak yang memberi pandangan mengikut pengetahuan ‘surface’ tentang sesuatu sehingga berlaku salah faham.
25) Peranan mahasiswa di negara maju dan negara membangun berbeza. Di negara maju, hak-hak rakyat banyak diambil berat manakala di negara membangun, masih banyak aspek-aspek yang perlu diperbaiki dalam sistem pentadbiran.
26) ‘Good government and good opposition’ adalah suatu sistem ‘check n balance’ yang baik untuk kepentingan rakyat.
27) Politik diam tidak membina pemikiran dan tindakan yang matang kepada anak-anak muda. Mereka perlu ada budaya menyuarakan pandangan.
28) Dalam bertindak, 1) jadikan ilmu sebagai dasar & amalkan agama dengan kefahaman dan penghayatan, bukan sekadar warisan , 2)tengok realiti semasa (waqi’), 3)dengan matlamat nak bina umat, 4) pandang jauh ke depan
29) Pendidikan seks yang cuba diketengahkan oleh sesetengah negara lebih bersifat health-related (yang lebih menekankan soal elak penyakit itu dan ini) dan bukannya spiritual-related (rabbaniyyah)
30) Sekularisme atau memisahkan agama daripada urusan hidup berlaku dalam dua aspek. Luar masjid dan dalam masjid. Untuk luar masjid, itu biasa disebut. Namun, bila sekularisme wujud dalam masjid, masjid akan gagal berfungsi untuk memberi kekuatan kepada umat.
Akhir kalam…masih teringat kata-kata seorang senior kepadaku…jangan buat program untuk ajak orang dekat pada Allah sehingga menyebabkan kita sendiri jauh dari Allah (bukan maksudnya tak boleh berprogram langsung). Bersemangat mesyuarat, atur program dan follow up itu ini sampai terabai solat berjemaah, tak sempat baca al-Quran, tak tanya khabar mak ayah dan buat lebih kurang dalam akademik. Betulkan definisi pengorbanan dan utamakan yang utama di sisi Allah.
Juga kata-kata seorang tokoh ulama' - kita mestilah fundamental dari segi prinsip, contemporary dari segi pendekatan dan futuristic dari segi misi dan visi