Tuesday, September 28, 2010

Bahan-Bahan Kursus Solat


Ada permintaan untuk bahan-bahan yang boleh digunakan untuk mengendalikan kursus solat. Jadi, di sini saya telah muat naik bahan-bahan tersebut, ditambah dengan 1 design banner solat. Untuk video, gunakan mana-mana perisian muat turun untuk memuat turunnya dari channel YouTube.


Untuk makluman, hasil bahan tersebut saya telah ringkaskan dan pilih dari sumber asal. Jadi, mungkin ada kesilapan yang tak disedari atau di luar kemampuan saya untuk memahaminya. Apapun, rujuklah para ustaz atau ustazah yang lebih arif.

Selamat menyampaikan!

Monday, September 27, 2010

Takziah...


Saya baru mendapat berita dari kampung tentang kembalinya ke rahmatullah, salah seorang guru Al-Quran saya semasa kecil yang dikenali sebagai Che De Wok. Saya sempat menziarahi arwah semasa cuti lepas habis UIA tempoh hari. Sangat kurus dan kecil jadinya. Semoga Allah merahmati beliau atas jasa-jasanya mendidik saya dan rakan-rakan mengenal Al-Quran.

Selain beliau, sewaktu kecil, saya mengaji Al-Quran dengan arwah datuk saya, Hj. Mohd Said dan arwah nenek, Hjh Wan Selamah. Selain itu, sempat juga mengaji sikit-sikit dengan arwah ayah bapa saudara saya, Hj. Abdul Razak. Tak berani nak baca lama-lama kerana arwah Hj. Abdul Razak yang kami panggil Ayah Ngah sangat tegas dalam bab tajwid. Berulang-ulang kali saya membaca isti'azah pun masih tak betul. Biasa la, budak-budak, nak cari guru yang mudah habis. Isteri dan anak beliau yang masih mengajar Al-Quran sehingga ke hari ini juga merupakan guru-guru saya dulu.

Kemudian bila ke SMKA Tok Jiring, dapat pula berkenalan dengan ustaz dan ustazah kelas Al-Quran di sana antaranya Ustaz Ramli Muda, Ustaz Yusof, Ustaz Abdul Rahman, Ustazah Fatimah dan Ustazah Zuladaini.

Kemuncak dari semua itu ialah pengalaman di Kuala Kubu Bharu di bawah bimbingan Ustaz Taufiq Hussein. Saya letakkan di sini lirik sebuah nasyid yang cukup sinonim dengan budak-budak di sana iaitu SABAR ITU INDAH...

Alangkah besar nikmatnya anugerah Allah,

Memuliakan dirimu dengan kitabNya,

Siang dan malam kau bermujahadah,

Bersusah payah menghafaznya.


Jangan lekas berputus asa,

Ia kan berbalas juga,

Kerana setiap yang susah ada hikmahnya,

Berusahalah, berdoalah dan bertawakkallah.


Bukan semua orang mendapat apa yang dicita,

Sedangkan Allah punya kuasa mengurniakannya,

Bersabarlah dalam mujahadah,

Kerana sabar itu terlalu indah.

Friday, September 24, 2010

Kenangan Buat Bekalan

Takdir mengatasi tadbir..

22 September 2010...9.00 pagi, aku memulakan perjalanan ke Kuantan, destinasi yang sudah biasa bagi pelajar UIA Kuantan, tetapi kali ini dengan tugas dan suasana hidup yang baru sebagai PEKERJA.

Besar harapan dan cita-cita aku untuk dapat bertugas di Kuala Terengganu. Apapun, perancangan Allah pasti yang TERBAIK! Barangkali banyak hikmah-hikmah yang perlu lagi dikutip di sini. Zaman belajar dulu sedikit sebanyak lalai dari mengambil peluang-peluang yang ada.

Meninggalkan rumah dan kampung halaman bererti meninggalkan beberapa perkara yang menjadi harapan besar dalam diri. Berat rasa hati untuk meninggalkan abah dan mak yang selama ini bersusah payah bekerja, meninggalkan adik-adik yang selama ini terbiasa dengan kehidupan di universiti dengan kawan-kawan, meninggalkan budak-budak muda yang mula berjinak-jinak dengan masjid dan surau, meninggalkan makcik-makcik yang tekun menghadiri kuliah, meninggalkan individu-individu yang begitu menghargai nilai ilmu dan meninggalkan para ustaz yang tekun mendidik...

Masih teringat kata-kata pertama aku setelah tiba di KLIA selepas pulang dari umrah bersama-sama dengan rakan-rakan...

"Mok dok gi kerja ke?"

"Laa...mok dok kerja doh..Mok brenti doh minggu lepas"

Aku rasa nak menangis...tapi aku tahan. Itulah janji mak. Dia akan berhenti kerja sebaik sahaja aku menamatkan pelajaran. Penantian selama 4 bulan cukup menguji diri. Ianya sesuatu yang sangat besar bagi aku. Bukan soal senioriti, gaji atau pangkat. Selama ini mereka bersusah payah bekerja. Pergi seawal pagi dan pulang lewat petang. Semenjak aku kecil hinggalah besar. Kini, mereka sudah tua....

Ya Allah...sampai juga masanya...

"Kekgi bila tua, gitu la agoknya", kata mak bila melihat anak-anak membawa ibu dan ayah mereka untuk menjalani rawatan di hospital..Aku hanya diam..

Semoga segalanya dipermudahkan Allah. Setiap yang susah itu ada senangnya.

Buat adik-adikku, walaupun mungkin aku tidak mampu untuk memberi nasihat kepada kalian, sepertimana aku menasihatkan orang lain, atau menjenguk dan mendidik kalian di depan mata, tetapi ingatlah, kita telah dewasa....dan suatu hari nanti kita akan kembali pulang kepada ALLAH.. Hargailah segala-galanya yang ada di sekeliling sebelum semua itu dikembalikan kepadaNYA. Aku harapkan segala yang mampu ditulis selama ini membuatkan kalian berfikir dan merenungnya...kalau tidak hari ini, esok, lusa atau suatu hari nanti..., yang mungkin aku sudah tiada lagi pada waktu itu...mengertilah wahai adik-adikku!

Friday, September 10, 2010

SELAMAT HARI RAYA!

Selamat Hari Raya Aidilfitri...

Taqabbalullahu minna wa minkum!

Saya tujukan kepada keluarga yang tercinta dan saudara mara di Terengganu, Kelantan dan Selangor. Tidak dilupakan, guru-guru dan rakan-rakan Tadika KEMAS Kg Jeram (1990-1991), SK Banggol Peradong (1992-1997), SMKA Tok Jiring (1998-2002), Darul Quran JAKIM (2003-2004), Pusat Matrikulasi UIAM (2004-2006) dan Kulliyyah Farmasi UIAM Kampus Kuantan (2006-2010). Juga buat tenaga penggerak Tuisyen Sarjana Kg Pak Katak, Pusat Tutorial Durian Burung (Cikgu Razak), Ma'had Tahsin Al-Quran Pasir Panjang dan Kelas Bahasa Arab Kg Manir.

Maafkan segala salah silap yang mungkin pernah membuat sesiapa sahaja berkecil hati dengan tingkah laku dan percakapan saya. Setiap anak Adam itu melakukan kesilapan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan ialah orang yang kembali bertaubat kepada Allah s.w.t.

Sambutan Aidilfitri mengingatkan kita akan fitrah manusia yang asal, iaitu Muslim. Cuti lama saya pada kali ni juga telah menemukan saya dengan beberapa anak muda yang ingin dan telah kembali kepada fitrah yang sebenar. Daripada tidak mengendahkan agama kepada cukup menghargai setiap patah nasihat agama yang diberikan. Kadang-kadang, segan pula kita dibuatnya. Bila diperhatikan apakah yang menjadi nadi penggerak kepada kesungguhan mereka, saya menyedari sesuatu.

Sikap mereka terhadap Al-Quran...saya tabik!

Walaupun hanya boleh membaca beberapa surah lazim dan surah-surah tertentu seperti yasin dan masih merangkak-merangkak untuk belajar ayat Al-Quran yang lain, tapi kesungguhan mereka dalam menelaah ayat-ayat yang sedikit itu benar-benar telah membuka mata hati mereka. Sampai satu ketika, saya merasakan mereka lebih mujahadah (bersungguh-sungguh) daripada orang yang ahli dalam Al-Quran yang pernah saya jumpa.

Benarlah Al-Quran ini mukjizat dan sumber hidayah.

Salah seorang imam di kampung saya pernah menasihatkan saya tentang Al-Quran dengan katanya, "Kalau nampak seorang budak cepat mengenal Al-Quran, didiklah dan bimbinglah dia, kerana budak macam tu ada potensi yang sangat besar untuk berjaya".

Oleh sebab itulah, ulama'-ulama' besar yang namanya dikenang sepanjang zaman, bila kita baca kisah hidup mereka, semuanya bermula dengan menguasai Al-Quran.

Belajar membaca...

Membaca...

Mengetahui terjemahannya...

Belajar tafsirnya dan memahami....

Mengamalkan dalam hidup...

Mengajarkan kepada orang lain...

Itulah sikap yang harus ada dalam diri Muslim terhadap Al-Quran. Itulah tajuk yang ALLAH nak kita fikir, minat, rungsing, bincang, sembang, tulis, bentang, persembahkan, yang ALLAH telah tekankan dalam bulan Ramadhan yang baru sahaja berlalu.

Kalau kita hendak mengajak diri kita dan orang lain untuk kembali kepada fitrah, ajaklah kepada Al-Quran...

Pesanan buat rakan-rakan Kuala Kubu Bharu: Ustaz Taufik Husein pernah mengungkapkan nasihat Sheikh Abdul Rahman As-Sudaisi bila ditanya bagaimana dia menjaga Al-Quran, ringkas betul jawapannya..."Katsratul muroja'ah (banyakkan mengulang). Kenang-kenangkan nasihat guru!"

Tuesday, September 7, 2010

Tazkirah Ramadhan 4 - Allah Mendidikmu Dengan Kesusahan


Seperti menonton drama pilu.


Itulah antara frasa yang saya boleh gunakan untuk menggambarkan keadaan ketika menemani mak menziarahi seorang sahabat baiknya yang sedang sakit beberapa hari yang lalu.


Umurnya hampir menjangkau 50 tahun. Tapi itu masih muda bila dibandingkan dengan rakan-rakan sekerja yang lain. Anak sulungnya sebaya saya manakala anak bongsunya masih bersekolah rendah.


Hidupnya berubah sekelip mata apabila doktor memaklumkan satu berita yang cukup berat untuk diterima...


Dia disahkan mengidap KANSER PARU-PARU PERINGKAT 4...


Peringkat 4 ialah peringkat yang berat, di mana sel-sel kanser telah merebak ke bahagian badan yang lain.


Sepanjang ziarah pada petang itu, linangan demi linangan air matanya bercucuran. Dia sudah lama mengenali mak, semenjak kecil lagi. Orangnya solehah. Hidup dengan masjid, kuliah agama dan Al-Quran walaupun dalam kesibukan bekerja. Dialah yang bersungguh-sungguh menyusun kuliah agama di pejabat, memaklumkan kepada pekerja-pekerja yang lain. Semua itu tinggal kenangan.


Syukur...dirinya masih gagah untuk berpuasa dan belum meninggalkannya. Solat, doa, dorongan ibu, suami, anak-anak dan rakan-rakan memberi kekuatan kepadanya untuk menghadapi ujian berat itu.


Sesekali, kisah Nabi Allah Ayub a.s. dibaca. Kesabaran Nabi Ayub menghadapi ujian penyakit menjadi pendorong kepadanya.


Saya hanya mampu mengangguk kata-katanya. Biarlah mak berbual dengannya. Moga itu dapat meredakan perasaan. Seingat saya, ketika masih belajar dulu, sewaktu praktikal hospital untuk kes ubat kemoterapi, saya serba salah untuk bertanya banyak kepada pesakit. Biarlah sister (panggilan pelajar perempuan di UIAM) yang beri kaunseling dan bertanya. Bukan apa, tak sampai hati tengok wajah pesakit. Bimbang tersalah cakap sesuatu yang menambah sedih mereka.


ALLAH tidak memberati seseorang melainkan apa yang dia mampu.


Bagi saya, dia seorang wanita yang sangat tabah dan hebat. Walaupun dalam sakit berat sebegitu, ibadah tidak ditinggalkan.


Semoga ALLAH memberi kekuatan dan menyembuhkannya dan memberi ganjaran yang besar kepadanya.


"Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan" (Surah Al-Insyirah, Surah ke 94, Ayat 5-6, Juzu' 30, m/s 596)


"Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada kami" (Surah Al-Anbiya', Surah ke 21, Ayat 35 , Juzu' 17, m/s 324)


"ALLAH tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya..." (Surah Al-Baqarah, Surah ke 2, Ayat 286, Juzu' 3, m/s 49


"Dan kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (iaitu) orang orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata, sesungguhnya kita milik Allah, dan kepadaNYAlah kita kembali. Mereka itulah yang memperoleh keampunan dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk" (Surah Al-Baqarah, Surah ke 2, Ayat 155-157, Juzu' 2, m/s 24)

Friday, September 3, 2010

Tazkirah Ramadhan 3 - Menyesal Di Sana Tiada Berguna


ALLAH s.w.t. Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang telah mengingatkan kita tentang kata-kata penyesalan yang dilafazkan oleh beberapa golongan manusia:

Dan (sungguh mengerikan azab yang bakal menimpa) sekiranya engkau melihat ketika orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (sambil merayu), "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya, maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik, sesungguhnya kami sekarang telah yakin"

Surah As-Sajdah, Surah ke 32, Ayat 12, Juzu' 21, m/s 416

Nafkahkanlah (dengan mendermakan) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya, "Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal mautku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi di kalangan orang yang soleh"

Surah Al-Munafiqun, Surah ke 63, Ayat 10, Juzu' 28, m/s 555

Menyesal tak belajar betul-betul?

Menyesal tak jaga diri baik-baik masa muda remaja?

Menyesal tak buat baik pada mak ayah yang telah pergi buat selama-lamanya?

Menyesallah sekarang, kerana kita masih hidup. Hidup yang baru pada setiap hari yang baru adalah peluang.

Jika sudah tiba masa dan ketikanya, penyesalan saat itu takkan berguna lagi...