Saturday, August 28, 2010

Tazkirah Ramadhan 2 - Keluarga

Apabila seorang lelaki mengucapkan "Aku terima nikahnya", dia bukan sekadar menerima seorang wanita dan keluarganya, tetapi dia sebenarnya menerima satu amanah yang besar di sisi Allah.

Allah mengingatkan kita tentang hal ini dalam Al-Quran:

"Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan ahli keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintakan" (Surah At-Tahrim, Surah ke-66, Ayat 6, Juzu' 28, muka surat 560)

Allah s.w.t. tidak hanya menyuruh kita jaga diri kita seorang, tetapi juga ahli keluarga kita daripada perkara-perkara yang membawa kepada balasan neraka Allah.

Oleh sebab itula Allah menyuruh berdakwah, kerana bila sekeliling rosak, kerosakan itu, tempiasnya akan terkena pada kita juga akhirnya.

Neraka...syurga...dosa..pahala...ini semua soal aqidah.

Kalau kita beri nasihat kepada orang-orang yang tidak ada aqidah ataupun tipis iman, mereka mungkin hanya akan mempermainkan nasihat kita walaupun ia berkisar tentang balasan Allah pada akhirat yang dasyat-dasyat. Walau bagaimanapun, tidaklah pula mereka harus dipinggirkan terus. Nasihat tetap perlu diberikan dalam cara yang berhikmah.

Berhikmah bukan bermakna berlembut. Hikmah bermakna kena pada tempatnya. Ada masa berlembut, ada masa bertegas, ada masa dipuji dan ada masa diberi hukuman.

Dalam hal menjaga keluarga, penting kepada ibu dan ayah untuk didik dalam diri anak-anak nilai dosa pahala.

"Long, jangan buat gini, Allah marah"

"Ngah, tak baik buat macam tu, berdosa"

"Achik, ambil duit ni, letak dalam tabung masjid, nanti dapat pahala. Banyak pahala dapat masuk syurga"

Nasihat-nasihat seperti di atas dan seumpamanya perlu dilazimi kepada budak-budak kecil supaya terterap dalam minda mereka nilai syurga, neraka, dosa dan pahala. Aqidah perlu diajar dan dipupuk seiring dengan kita mengajar aspek ibadah seperti solat, puasa dan sebagainya.

Saya berpendapat, aspek 'reasoning' perlu juga ditekankan supaya golongan kecil ini faham kenapa mereka berbuat itu dan ini selain daripada menegaskan perlunya patuh kepada perintah Allah. 'Reasoning' tersebut biarlah bertepatan dengan syara' , yakni untuk memahami, bukan untuk mempersoalkan. Faham atau faqih penting kerana hanya orang yang faqih akan dapat menghayati apa yang diketahuinya dengan taufik dan hidayah Allah.

Dalam hal keluarga juga, menarik sekali jika kita dapat membaca kisah-kisah yang menceritakan sikap dan layanan tokoh-tokoh agama terhadap keluarga mereka. Sudah tentu contoh yang terbaik ialah Rasulullah s.a.w. Ada masa untuk berdakwah, ada masa untuk mentadbir, ada masa dengan para sahabat dan ada masa dengan keluarga.

Begitu juga dengan tokoh Islam yang hebat di Mesir, Imam Hasan al-Banna yang terkenal dengan kumpulan Ikhwan Al-Muslimin. Walaupun pengikutnya ramai, malah ada ribuan cawangan Ikhwan, tapi beliau tetap menjaga masa dengan keluarga kerana hakikatnya, sasaran dakwah yang utama dan terdekat ialah keluarga.

Dalam soal masa dengan keluarga, dan dalam apa-apa perkara berkaitan masa, biarlah kita jaga aspek kualitinya. Ada orang masanya banyak dengan keluarga, tapi tiada kualiti. Ada orang masanya terhad, tapi berkualiti. Ianya bertepatan dengan sebaik-baik amal ialah yang sedikit tetapi berkekalan. Namun, jika ada masa yang lebih, manfaatkanlah juga kerana umur yang panjang yang dipenuhi dengan amal yang baik sudah tentu lebih baik. Seperti juga orang kaya yang beriman, sudah tentu manfaatnya besar berbanding orang miskin yang beriman.

Kalau ada peluang, bacalah buku-buku yang boleh kita jadikan motivasi dan contoh ikutan. Antara yang menarik perhatian saya sekarang ialah "Cinta di Rumah Hasan al-Banna".


Akhir sekali, pesanan buat diri dan semua anak-anak:

Kalau korang boleh bergurau senda, bercakap elok-elok, bermanis muka, ber'facebook', ber'YM', ber'SMS', meraikan, bertanya khabar kawan-kawan, bos, orang bawah, jiran, orang kampung, rakan sekerja dan sesiapa sahaja yang korang jumpa atas dunia ni, kenapa korang tidak boleh lakukan itu semua untuk orang-orang yang telah, sedang dan insya Allah akan bersusah payah bersama korang sampai akhir hayat iaitu KELUARGA!

Ditujukan khas buat mereka yang bergelar ibu, ayah, anak, abang, kakak, adik yang hakikatnya tetap seorang ANAK...














Wednesday, August 18, 2010

Tazkirah Ramadhan 1 - Taqwa Itu Di Hati

Masihkah kita ingat bagaimana kita pertama kali menunggang basikal atau motosikal atau memandu kereta, van dan sebagainya?

Cukup berhati-hati!

Itulah taqwa - berhati-hati dalam melaksanakan apa yang disuruh oleh Allah dan meninggalkan apa yang dilarangNYA. Ia umpama brek yang mengawal manusia daripada terbabas dalam kehidupan.

Sejauh mana seseorang hendak berhati-hati bergantung kepada kepercayaan yang ada dalam hati mereka iaitu iman.

Iman lahir dan kuat melalui pengetahuan dan amalan.

Kanak-kanak mungkin tidak mengenal bahaya kala jengking yang boleh membunuhnya seperti mana orang dewasa kerana mereka tidak ada pengetahuan tentang binatang berbisa itu dan tidak dibiasakan dengan peringatan supaya berhati-hati dengannya.

Seseorang yang hampir lemas, jika dihulurkan tali atau kayu untuk dicapainya, pasti dia akan menggenggamnya erat-erat kerana dia tahu dan percaya dengan penuh yakin, hanya itulah yang boleh menjadi sebab terselamatnya dia daripada mati lemas.

Itulah penangan kepercayaan. Itulah analogi kepada kehebatan aqidah yang menjadi pegangan para sahabat Nabi s.a.w. walaupun diseksa dengan teruk pada peringkat awal keadatangan Islam.

Puasa membentuk taqwa dalam diri seorang Muslim. Adakah kita sudah berhati-hati dalam setiap tindak tanduk kita? Renung-renungkan dan berdoalah semoga puasa Ramadhan ini menjadikan kita seorang muttaqin.

Saturday, August 7, 2010

Bila Hati Terasa Kosong


Solat Berjemaah

Tadarus al-Quran

Solat Sunat

Al-Ma’tsurat

Sedekah

Doa

Qiam

Puasa

Baik tutur kata...


Kira cantik senarai semak harian kalau boleh konsisten dengan semua di atas dan kebaikan-kebaikan yang lain.


“Tapi kenapa hati masih rasa kosong dan jauh...?”, tanya seorang kawan. Rajin beribadah tapi hati kosong. Kenapa begitu?

Mari kita kembali dulu pada asas. ‘Back to basic’.

Ada 2 syarat ibadah dalam ISLAM:

1) Ikhlas kerana Allah

2) Mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. yang sahih.

Bab mengikut sunnah Nabi boleh dipelajari. Jadi, maknanya ‘underlying cause’ bagi ‘pesakit’ hati jauh dan kosong ni kemungkinan besarnya ialah ikhlas.

Ikhlas ni soal hati.

Seorang kawan pernah memberi satu nasihat: HADIRKAN HATI!

Berusahalah dalam ibadah semampu mungkin, sambil terus menerus membaiki diri. Sedikit demi sedikit. Baiki dari segi kuantiti, kualiti dan konsistensi. TAPI dengan satu syarat: hati mesti hadir.

Kita umpamakan hati seperti pelajar dalam kelas. Pelajar yang boleh fokus ialah pelajar yang ‘hidup’ dalam kelas. ‘Happening’ kata orang muda DAN biar bertempat, nasihat orang lama. Bukan tersengguk-sengguk, bukan berfikir ke lain. Hanya badan dalam kelas, tapi tuan punya badan entah ke mana mengembara.

Pelajar yang hidup dalam kelasnya sudah pasti ada persediaan. Tidur yang cukup. Tahu jadual kelas, subjek apa, tajuk apa, pensyarah mana dan lain-lain persediaan yang lumrah.

Begitu juga hati.

Buatlah segala macam ibadah, tapi kalau hati tidak hadir, ia akan menjadi sekadar menyelesaikan kewajipan tanpa pengertian.

Bila orang bertanya kepada saya tentang khusyu’ solat, saya akan menjawab dengan 1 kata kunci iaitu PERHATIKANLAH!

Perhatikanlah apa yang kita buat, apa yang kita baca, apa yang kita fikirkan.

Perhatikanlah diri kita, dari mana, buat apa untuk hidup ini dan ke mana akhirnya.

Perhatikanlah pengaduan, doa dan tawakkal kita kepadaNYA.

Perhatikanlah kisah silam kita. ‘Zaman jahiliyyah’ kata sesetengah orang. Bukan untuk mengungkit kisah lama tetapi menyuntik kesedaran bahawa itu semua dalam catatan Yang Maha Mengetahui.

Insya Allah, moga dengan itu kita sedar hakikat diri kita ni siapa. Harapnya, selepas itu hadirlah ikhlas yang boleh memberi ketenangan hidup, jauh dari rasa kosong yang tidak bererti.

Thursday, August 5, 2010

Ihya' Ramadhan 2010 Surau Pasar Jeram

1) Kuliah Maghrib - Fiqah Ramadhan
- Bermula Pertengahan Julai 2010 sehingga bermula Ramadhan
- Setiap Ahad, Isnin dan Khamis

2) Sambutan Ambang Ramadhan
- Hari/Tarikh: Jumaat, 6 Ogos 2010

- Kuliah Pagi, 9.00-10.00 pagi
- Gotong Royong, 3.00-5.00 petang

3) Kuliah Motivasi Ramadhan
- Bermula 30 Julai 2010 hingga tamat Ramadhan

- Setiap Pagi Jumaat, 9.00-10.00 pagi

4) Tazkirah 10 Minit
- Setiap Malam Selepas Solat Tarawih & Witir

5) Halaqah Ramadhan
- Jumaat Malam Sabtu, Selepas Solat Tarawih & Witir

6) Ramadhan on Board
- Koleksi Artikel, Poster dan Lain-Lain Berkenaan Ramadhan di Papan Kenyataan Surau

7) Tadarus Al-Quran
- Setiap Malam, Selepas Solat Tarawih & Witir

8) Qiamullail
- Sekali Setiap Hujung Minggu Ramadhan

9) Iftar Jama’ie Perdana
- Hujung Minggu ke-3 Ramadhan


TAJUK-TAJUK KULIAH DAN TAZKIRAH

1) Kuliah Fiqah Ramadhan

Rujukan: Kitab Fiqh Al-Manhaji: Kitab Fikah Mazhab Syafie, Jilid 2 oleh Dr Mustafa Al-Khin, Dr Mustofa Al-Bugho & Ali Asy-Syarbaji. Terbitan Pustaka Salam.

Tajuk-Tajuk:

- Takrif Puasa, Pensyariatan dan Rahsia-Rahsianya
- Penetapan Bulan Ramadhan
- Syarat-Syarat Wajib Puasa dan Syarat-Syarat Sah Puasa
- Rukun-Rukun Puasa
- Adab-Adab Puasa dan Perkara Yang Dimakruhkan
- Qadha’ Puasa Ramadhan, Fidyah dan Kaffarah
- Iktikaf


2) Kuliah Motivasi Ramadhan Pagi Jumaat

TAJUK

RUJUKAN

TARIKH

Keistimewaan Ramadhan dan Sunnah Rasulullah SAW dalam Ramadhan

Buku Hebatnya Bulan-Bulan Islam oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus. Terbitan Karya Bestari Sdn. Bhd.

30 Julai 2010

Kesilapan Kerap Muslim Pada Bulan Ramadhan Bahagian 1

Artikel Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman (http://www.zaharuddin.net)

6 Ogos 2010

Kesilapan Kerap Muslim Pada Bulan Ramadhan Bahagian 2

Artikel Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman

13 Ogos 2010

Misteri Ramadhan

Buku Misteri Ramadhan, terjemahan oleh Juhan Che Yaman dan suntingan Dr Mohd Puzhi Usop. Terbitan Al-Hidayah Publication.

20 Ogos 2010

Nasihat Ramadhan Daripada Orang-Orang Soleh

Buku Nasihat Ramadhan Daripada Orang-Orang Soleh oleh Sulthan Hadi. Terbitan Kemilau Publika Sdn. Bhd.

27 Ogos 2010

Perpisahan Ramadhan – Istiqamah Berpanjangan

Artikel Ustaz Hasrizal Abdul Jamil (http://www.saifulislam.com)

3 September 2010



3) Tazkirah 10 Minit Selepas Solat Tarawih & Witir

Malam 1 – Taqwa Itu Di Hati
Malam 2 – Rahmat Allah Terlalu Luas
Malam 3 – Keluarga Itu Amanahmu
Malam 4 – Luasnya Ibadah
Malam 5 – Kekuatan Dalam Doa
Malam 6 – Mari Menyesal
Malam 7 – Maafkanlah
Malam 8 – Sabar Itu Indah
Malam 9 – Iktibar Ayat-Ayat Allah
Malam 10 – Bertemu Janji Allah
Malam 11 – Belajar dari Sejarah
Malam 12 – Motivasi Buat Iman
Malam 13 – Zikir Fikir
Malam 14 – Erti Hidup Pada Memberi
Malam 15 – Binalah Masjid Dalam Kehidupan
Malam 16 – Islam Itu Syumul
Malam 17 – Rahmat Ujian
Malam 18 – Muhasabah
Malam 19 – Hati Yang Tenang
Malam 20 – Hakikat Hamba
Malam 21 – Indahnya Persaudaraan
Malam 22 – Hak-Hak Muslim
Malam 23 – Betulkan Silap Dalam Ramadhan
Malam 24 – Bekal Buat Akhirat
Malam 25 – Syukur
Malam 26 – Sebarkan Salam
Malam 27 – Tafakur Sepertiga Malam
Malam 28 – Kejayaan Buat Mukmin
Malam 29 – Istiqamah Sampai Mati

Materials on Fiqh Medic

Ada kawan bertanya kepada saya tentang bahan-bahan berkenaan Fiqh Medic yang ada dalam koleksi saya. Katanya untuk membantu penubuhan/pemantapan unit agama di hospital. Jadi, saya telah kumpulkan dan ditambah dengan bahan-bahan lain yang telah dicari melalui Internet. Kepada yang berminat atau berhajatkan bahan-bahan tu, anda boleh muat turun melalui pautan ini:

Fiqh Medic (sila klik di sini)

Wednesday, August 4, 2010

Syukran Ya Ustaz!

Pelajar-pelajar Kelas Bahasa Arab di Ma'had Tahsin Al-Quran Pasir Panjang. Ustaz Engku Ibrahim duduk depan, tiga dari kiri (berbaju ungu cerah)


Semalam saya dan pelajar lain Kelas Bahasa Arab di Ma’had Tahsin Al-Quran Pasir Panjang, Kuala Terengganu meraikan ustaz kami, Ustaz Engku Ibrahim bin Engku Wok Zin. Ustaz akan menamatkan tugas mengajarnya di kelas Bahasa Arab kami kerana urusan menyambung pengajian peringkat PhD di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. Beliau kini salah seorang pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) atau nama sebelum ni Universiti Darul Iman Malaysia (UDM).

Kelas Bahasa Arab di sini dibuat sekali seminggu iaitu pada hari Selasa, pukul 8.00 hingga 9.00 malam. Minggu ini juga adalah merupakan minggu terakhir sebelum Ramadhan. Sepanjang bulan puasa, semua kelas malam akan ditangguhkan sehingga selepas Aidilfitri. Jadi, majlis meraikan ustaz dikira sebagai majlis jamuan kelas sekali la.

Kebanyakan pelajar adalah pakcik-pakcik dan makcik-makcik yang sudah bersara. Ada juga cikgu dan imam masjid. Walaupun begitu, kelas ni memang seronok sebab ustaz memang ‘cool’ bila mengajar. Pelajar-pelajar pula aktif bertanya dan memberi contoh ayat. Tak la kaku dan pasif je. Kebanyakannya dah ada asas dan perbendaharaan kata yang boleh tahan jugak.

Satu lagi yang melegakan kat sini ialah yuran yang sangat berpatutan dan sesuai untuk orang yang pokai macam saya hehe. Pelajar cuma perlu bayar yuran pendaftaran RM10 dan yuran tahunan, juga RM10. Bayar setahun sekali je. Pastu terpulang nak ikut kelas mana. Ada banyak kelas. Saya cuma menyertai Kelas Bahasa Arab kerana itulah niat asal saya selain daripada kekangan masa untuk hadir ke kelas-kelas lain.

Keadaan kelas juga selesa. Ma’had Tahsin Al-Quran Pasir Panjang sebenarnya merupakan sebuah rumah banglo yang diwakafkan oleh seorang Dato’ yang merupakan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu. Rumah itu juga dikenali dengan nama Pondok Nor Mahani, sempena nama isteri beliau. Pusat pengajian ini ditubuhkan sekitar tahun 2005 dengan mengubahsuai rumah tu. Ada ruang untuk kelas, pejabat, tempat rehat, ruang solat, makan dan lain-lain. Saya rasa, ada individu yang menyumbang untuk imbuhan tenaga pengajar. Kalau tak, tak lojik pula dengan yuran RM10 setahun boleh menampung kos pengurusan dan lain-lain.

Untuk kelas ni, kaedah pengajian Bahasa Arab sistem Madinah digunakan. Sistem ini diasaskan oleh Dr V Abdul Rahim, yang merupakan bekas pensyarah Bahasa Arab di Universiti Islam Madinah dan sekarang bertugas sebagai Pengarah, Pusat Terjemahan, Kompleks Al-Quran Raja Fahd, Maklumat berkenaan sistem ini boleh didapati di laman webnya di sini atau sini. Sebenarnya, ada satu lagi kelas Bahasa Arab yang saya sertai, juga menggunakan sistem yang sama. Kelas ke-2 tu di Kampung Manir, Kuala Terengganu pada hari Sabtu, pukul 9.00 – 10.30 malam. Kat sini, guru yang mengajarnya dikenali sebagai Ustaz Muhammad, yang merupakan salah seorang pelajar kepada Ustaz Muhammad Taha Abdullah, seorang guru Bahasa Arab di Kelantan yang cukup dikenali dengan Pusat Bahasa Arabnya. Ustaz Taha berbangsa Amerika dan telah memeluk Islam pada tahun 1989. Beliau telah belajar di Universiti Islam Madinah dari tahun 1990 hingga 1993 dan merupakan antara murid kesayangan Dr V Abdul Rahim
. Berita tentang Ustaz Taha pernah keluar di Utusan Malaysia (klik di sini).

Saya tertarik dengan dua isi penting dalam pesanan Ustaz Engku Ibrahim kepada kami. 1) Tujuan utama belajar Bahasa Arab ialah untuk memahami Islam, bukan semata-mata berkomunikasi. Sekurang-kurangnya ia membantu untuk kita faham perkara-perkara asas dalam hidup kita seperti Al-Quran, zikir dan doa yang dibaca. 2) Antara contoh ikutan yang baik pada sebahagian orang Arab Muslim ialah melazimi doa kepada sesama mereka dalam komunikasi seharian. Cukup halus gaya bercakap mereka. Setiap ucapan berbentuk doa biasanya akan dibalas dengan doa.

Jadi, apa tunggu lagi, jom berbahasa Arab!

Tuesday, August 3, 2010

Seharian di Kuantan

Semalam ke Kuantan untuk urusan 'clearance'. Alhamdulillah, secara rasminya tamatlah status saya sebagai pelajar UIA setelah bercuti hampir 4 bulan. Lamanyaaaaaa....

Saya menjangkakan saya akan mula bertugas pada bulan September ni insya Allah (anggaran sahaja, tak pasti lagi) Tempat ? Wallahu a'lam. Semoga dapat Terengganu! Amin!

Mula-mula fikir nak pergi dengan bas. Pastu takut susah plak nak pergi mana-mana nanti kalau terpaksa buat clearance dua hari. Jadi saya pun pergi dengan kereta.

Walaupun seorang diri memandu, tapi itulah sebenarnya hobi saya. Rasa lega fikiran dapat memandu untuk perjalanan jauh seorang diri siang hari. Itulah jugak sebenarnya salah satu cara saya lepaskan tekanan. Hidupkan enjin dan pandulah ke mana-mana asalkan dapat bersiar-siar. Terfikir juga pasal minyak kereta, tapi tak mengapalah, asalkan boleh tenang!

Saya tak suka sangat memandu malam. Tak best, tak nampak pemandangan sekeliling. Untuk hilangkan mengantuk, bukalah radio haha. Macam-macam saluran dibuka. Asalkan ada lagu kegemaran, layan! Kadang-kadang terpaksa kuatkan bila rasa mengantuk tu agak kuat. Pernah sekali semasa dalam perjalanan jauh pulang dari kenduri kahwin kawan, memang mengantuk sangat. Kawan-kawan yang ikut plak semuanya tidur. Nescafe dah minum, tapi tak tahan jugak. Last-last, buat album dalam kereta. Apa lagu yang keluar kat radio, hentam je ikut. Asalkan suara berbunyi. Akhirnya, disebabkan masih tak tahan, kami berhenti di R&R dan tidur dalam kereta sampailah nak dekat Subuh haha.

UIA Kuantan sudah mula nampak seperti sebuah universiti, dari aspek bangunannya :) Masjid pun dah nampak rupa bentuk kubahnya, bangunan pentadbiran pun dah hampir siap, begitu juga dengan bangunan-bangunan kuliah yang lain. Waktu saya mendaftar masuk tahun 2006 dulu, memang aman damai dengan flora dan fauna haha. Tiada lagi pelajar lelaki tinggal di mahallah (kolej kediaman) dalam UIA. Saya plak pergi makan tengahari di cafe mahallah. Memang waktu tengahari waktu puncak bagi pelajar membeli makanan. Lepas habis makan baru sedar bahawa tiada lagi pelajar lelaki tinggal di dalam. Patut pun semakin ramai pelajar perempuan di cafe, yang memang sedia ada ramai.

Alhamdulillah, saya sempat menghabiskan urusan clearance sebelum waktu pejabat. Memang sedia maklum sebelum ni risiko ketiadaan kakitangan. Tapi mujurlah mereka sudah melantik pengganti masing-masing. Kalau tak, susah juga nak tunggu jika ada yang bercuti atau ada program. Cuma ada satu masalah, SYSTEM DOWN! Memang 'down' betul. Untuk clearance ni, ada 5 unit yang perlu diselesaikan. Tinggal 1 je lagi unit yang down tu. Mujurlah terfikir untuk beri nombor telefon kepada kakitangan unit tu. "Kak, kalau system ok, kak bagitau saya". Memang saya berharap sangat dapat selesaikan hari tu jugak. Alhamdulillah, lebih kurang pukul 4.15 petang, sistem komputer pun ok.

Lepas selesai semuanya dan transkrip akademik pun dah diperolehi, saya dan beberapa kawan singgap sekejap di mahallah luar UIA untuk bertemu kawan-kawan yang ada di UIA. Kemudian , saya sempat juga menjenguk rakan sekuliah dulu, Izzuddin dan Adi di rumah sewa mereka. Dua orang ni bertugas di Hospital Tengku Ampuan Afdzan (HTAA) Kuantan. Jua sempat singgah di Masjid Tengku Ampuan Afdzan (MTAA) Kuantan, yang banyak meninggalkan kenangan bersama-sama kawan-kawan dan rakan serumah. Lepas makan malam bersama mereka, saya pun bertolak pulang ke Terengganu lebih kurang jam 9.30 malam. Seperti yang dijangka, perjalanan mengambil masa 3 jam dan saya tiba di rumah pada jam 12.30 malam. Penat! Kebetulan radio plak buat hal. Memang aman damai la pemanduan haha.

Selama cuti 4 bulan ni, saya banyak buat kerja-kerja sendiri. Pening juga melihat fail-fail dan harta benda yang dikumpulkan selama 4 tahun belajar. Ambil masa juga nak mengemas. Maklum ajelah, malas! haha. Kalau nak dikatakan aktiviti yang betul-betul rutin, ialah mengajar dan belajar. Saya mengajar secara tidak rasmi empat kali seminggu dan menghadiri kelas Bahasa Arab dua kali seminggu. Masa saya agak penuh waktu malam. Waktu siang tu terpulang. Tengok mood. Tapi, sebab nak mengajar, mesti la kena sedia sikit-sikit. Nak sampaikan pada orang, mesti kita kena faham dulu.

Sekarang ni saya jarang online. Kalau online pun biasanya nak kemaskini blog, cek email atau cari maklumat dalam Internet. Saya pun dah berhenti dari melanggan Celcom Broadband. Tak cukup duit sheikh. Walaupun Streamyx ada di rumah, tapi adik-adik biasanya yang selalu guna. Saya biasanya guna pada waktu pagi.

Begitulah cerita pasal clearance dan cuti. Ramadhan pun dah hampir tiba. Selamat Menyambut Ramadhan pada semua!