Wednesday, August 29, 2012
Cadangan Untuk Persijilan DQ-UIA
Tuesday, August 28, 2012
Friday, February 10, 2012
Tenang Pahala & Gelisah Dosa
"Orang yang beriman akan melihat dosanya umpama gunung yang menghempap, manakala ahli maksiat pula akan melihat dosa itu umpama lalat yang hinggap pada hidung.”
Hadith riwayat Bukhari
Bagaimana rasa kita pada dosa dan pahala adalah tanda-tanda bagaimana keadaan hati kita..
Jadi...kalau masih tiada rasa tenang dengan pahala atau gelisah dengan dosa, ISTIGHFAR, jumpa orang-orang soleh dan minta nasihat dan doa mereka pada kita. Dalam pada itu, bacalah al-Quran dan terjemahannya walaupun diri kita malas...PAKSA!
Wallahu a'lam...Sallallahu 'Ala Muhammad, Sallallahu 'Alaihi Wasallam
Wednesday, February 8, 2012
Kepada Harian Metro & Yang Seangkatan Dengannya
Sudah lama aku tengok kecenderungan surat-surat khabar tertentu yang suka bawa isu yang sensasi dan memilih tajuk yang sensasi (dan kerap kali lucah).
Tujuannya nak buat pendedahan supaya masyarakat sedar. Tapi setakat yang aku tengok dari cara sesuatu isu diulas, lebih kepada nak tarik pembaca. Kadang-kadang jadi macam promosi percuma plak. Bila dah banyak kali sangat cara ulasan isu-isu yang merosakkan ini dibuat, masyarakat jadi lali, terbiasa. Yang dasyat jadi biasa. Nak dedah jadi dokong melalui publisiti akhbar.
Jadi, aku rasa wartawan dan editor biarlah bawa isu-isu negatif ni dengan ulasan yang mendidik. Bukan maksudnya nak kena jadi macam buku agama, tapi orang surat khabar kan kreatif, sebagaimana kreatifnya mereka menyusun cerita-cerita artis dengan ayat, grafik dan susun atur teks yang bermacam-macam dalam sisipan hiburan.
Lepas ni, teruskanlah buat pendedahan...tapi biarlah yang MENDIDIK, bukan MENDEDAH sama ada secara literal mahupun grafik!
LAW KAANA BAINANAA SALLALLAAHU 'ALAIHI WASALLAM...
Monday, January 30, 2012
Rumusan Cinta Rasul di TV Al-Hijrah
Tajuk: Cinta Rasul: Ke Arah Pembangunan Ummah.
Ahli Panel:
1) Dr Asyraf Wajdi Dusuki (Ketua Penyelidik, International Shari'ah Research Academy for Islamic Finance, ISRA)
2) Dr Farid Shahran (Fellow Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia, IKIM)
3) Dr Maszlee Malik (Pensyarah Kulliyyah Ilmu Wahyu & Sains Kemanusiaan UIAM).
Moderator: Saudara Amin Idris
Antara isi-isinya:
Sulaiman An-Nadwi (Penulis Kitab Siratunnabi) meletakkan 4 ciri penting dalam sirah Nabi SAW yang tidak ada dalam sejarah pemimpian-pemimpin lain:
1) SAHIH...melalui jalan periwayatan yang dijaga kebenarannya
2) LENGKAP/KOMPREHENSIF...dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besarnya
3) PRAKTIKAL...untuk semua golongan dan peringkat umur
4) REALISTIK...perkara yang memang boleh dibuat oleh orang dan bukan terlalu ideal
Jangan 'selective' dalam mencontohi Nabi SAW dengan hanya melihat aspek 'spiritual & ritual'. Contohnya melihat aspek fizikal dan pakaian tapi tidak mengambil berat aspek asas seperti kebersihan. (contoh lain, melihat aspek ibadah khusus seperti solat dan haji tapi mengabaikan aspek pengurusan masa, organisasi dan negara)
Aku pergi ke Barat, aku lihat Islam tanpa Muslim. Tetapi bila aku pergi ke Timur, aku lihat Muslim tanpa Islam (kata-kata Syed Qutb, tapi ahli panel tadi kata ni disebut oleh penyair terkenal Muhammad Iqbal. Setakat yang dicari, ni kata-kata Syed Qutb). Tentang ini, aku ambil ulasan Ustaz Pahrol Md Juoi, "Mengapa? Dilihatnya semua amalan-amalan Islam seperti menjaga kebersihan, mengurus masa, menepati janji dan lain-lain telah diamalkan oleh orang-orang Barat. Sayangnya, amalan-amalan itu tidak berlaku di kalangan orang Islam sendiri di Timur. Sikap pengotor, tidak menepati janji dan membuang masa masih berakar umbi dalam masyarakat Islam sendiri."
Aku pasti ramai yang tahu bahawa Nabi SAW diletak di tempat pertama dalam buku "The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History" oleh Michael H. Hart (1978). Nabi SAW memang tidak layak dibandingkan dengan manusia biasa kerana baginda adalah Rasulullah SAW. Namun, apa yang boleh kita ambil dari analisa Hart ialah, daripada aspek PENGARUH sahajapun, Nabi SAW sudah menandingi pemimpin lain, apatah lagi dari aspek-aspek yang lain.
Tentang Piagam Madinah, apa yang menarik perhatian aku ialah apabila Dr Maszlee menyebut tentang konsep UKHUWWAH, menjawab soalan Amin Idris berkenaan adanya 23 fasal berkenaan orang Islam dan 24 fasal berkenaan orang bukan Islam dalam perjanjian itu. Ukhuwwah Islamiyyah (sesama Muslim) dan ukhuwwah insaniyyah (sesama manusia yang lain). Masyarakat Madinah yang berbeza bangsa, keturunan dan agama (misalnya Bilal dari Habsyah yang gelap warna kulitnya, Salman yang berasal dari Parsi, dan Bani Israel) dapat disatukan di bawah satu pemerintahan. (sebab itulah Madinah boleh jadi model negara Islam yang ada rakyat dari pelbagai kaum seperti Malaysia).
Berkenaan sambutan Maulidul Rasul SAW seperti berarak dan sebagainya: asanya ialah kita buat sambutan dengan ada pelan TINDAKAN. (Biar bila habis je majlis sambutan, masyarakat tahu apa patut buat dan bagaiman nak buat. Apa dan bagaimana ni kita kukuhkan melalui pendidikan berterusan melalui masjid, sekolah, media dan sebagainya. Contohnya, kita edar kad-kad poket yang ada zikir-zikir dan doa yang Nabi SAW baca. Pasal pendidikan berterusan tadi, apa kata kita buat handout cantik-cantik yang senaraikan rancangan-rancangan agama yang ada di TV dan Radio yang masyarakat boleh tengok dari semasa ke semasa)
Hidupkan budaya ilmiah. Tahu sesuatu perkara melalui kajian, soal-jawab. (Contohnya kita galakkan orang untuk ada penasihat agama yang dia simpan nombor telefonnya).
Bagi pendakwah (tak semestinya ustaz-ustaz, para wartawan pun pendakwah), kita kena ada prioriti, sunnah mana yang kita kena tekankan dalam masyarakat. Bukan kita nak 'selective', tapi kita nak ikut awlawiyyat (keutamaan) supaya apa yang penting didahulukan. (Contohnya galakkan masyarakat hidupkan amalan salam, selawat pada Nabi bila dengar orang sebut nama Nabi, amalkan zikir pagi dan petang, berbudi bahasa dan sebagainya)
Nak cinta Nabi, kena kenal Nabi SAW. Nak kenal Nabi SAW, bacalah sirah baginda. (Jadi, biarlah sebuah keluarga, ada sebuah buku sirah sekurang-kurangnya. Tak payah yang tebal-tebal, ambil yang ringkas pun takpe. Contohnya macam Sirah Nabawiyyah oleh Dr Mustafa as-Siba'ie. Takpun lazimkan keluarga tengok rancangan seperti Law Kaana Bainanaa).
WALLAHU A'LAM..ALLAHUMMA SOLLI 'ALA MUHAMMAD, WA 'ALA AALI MUHAMMAD
Thursday, January 12, 2012
Selamat Hari Lahir Buatmu
Surah an-Nahl, ayat 78
"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan, dan tempoh menceraikan susunya adalah dalam masa dua tahun, Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu
dan (ingatlah) kepada Aku jualah tempat kembali"
Surah Luqman, ayat 14
Tuesday, January 10, 2012
Peluang Kedua
Jika kita masih membuka mata pada hari ini, segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kita setelah mematikan kita dan hanya kepadaNYAlah kita akan kembali. Hari yang baru ini tidak lain merupakan peluang seterusnya yang diberi oleh Allah kepada kita untuk mensyukuri apa yang telah kita dapat dan memohon kemaafan atas kesilapan kita selama ini.
Maafkan hamba-hambaMU ini ya Allah...
Waktu susah dahulu, kami meminta kepadaMU. Bukan itu sahaja, malah kami berjanji menjadi hambaMU yang baik. Tetapi kami lalai kemudiannya. Hanyut dengan kehidupan. Kosong rasa jiwa. Solat dan bacaan Quran menjadi tawar. Lama selepas itu, datang lagi kesedaran dalam diri, lantas kami kembali. Tetapi, selepas itu kami tewas lagi.
Namun, ENGKAU masih terus memberi peluang.
Hari ini, kami membuka mata lagi untuk umur yang semakin bertambah...telah hampir 30 tahun perjalanan hidup ini. Jantung masih berdenyut. Udara masih dapat dihirup. Hari-hari semalam penuh dosa yang kami sedar mahupun tidak. Solat yang hanya menjadi rutin biasa tanpa keinsafan. Bacaan Quran yang hanya meniti di bibir sekali sekala.
Maafkan hamba-hambaMU ini ya Allah....
Wad-wad seperti ICU (Intensive Care Unit) dan HDW (High Dependency Ward) menyedarkan ramai orang bahawa insan ini sangat lemah dan kerdil lalu menginsafi diri akan betapa besarnya kurniaan Allah s.w.t. Hanya doa dan linangan air mata mengiringi sesiapa yang pernah merasainya. Seorang ibu tidak akan meninggalkan hospital walau sepenat mana sekalipun dia menunggu anaknya. Begitu juga seorang isteri atau suami. Disebalik wajah sugul mereka, sangat tinggi kebergantungan kepada Allah s.w.t. agar memberi peluang kedua buat mereka walaupun mungkin sebelum ini mereka tidak pernah mengharap sebegitu rupa kepadaNYA.
Ya Allah, perbaikilah bagi kami agama kami....
Bimbinglah kami menjadi hambaMU yang taat di kala susah dan senang....
Jauhilah kami dari perkara yang melalaikan....
Sunday, December 11, 2011
Saturday, November 26, 2011
SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH!
KEPADA SEMUA!
Saturday, November 19, 2011
Apa Ada Pada Nama

Akhirat disebut dan disifatkan oleh Allah dengan beberapa nama antaranya hari kebangkitan, hari perhimpunan, hari perhitungan dan hari pembalasan. Ada orang terkesan dengan nama hari kebangkitan. Mungkin ada juga yang terkesan dengan nama hari pembalasan. Terkesan untuk buat dia berfikir bahawa itulah siri-siri kiamat, suatu saat yang pasti akan berlaku dan nak tak nak, dia akan lalui fasa tu sama ada bersedia atau tidak.
Lain orang lain asbab kesedaran dalam dirinya.
Ada orang terkesan dengan cara jumpa dengan orang yang dia cukup hormat.
Ada orang terkesan bila baca kisah orang lain yang sudah berubah dan hidup dengan lebih bermakna
Ada orang terkesan bila dia pergi ke tempat-tempat berkumpulnya orang-orang soleh dan dia melihat betapa tenangnya hidup dalam suasana mereka
Ada orang terkesan bila melihat sendiri di depan mata apa yang selama ini dia belajar misalnya melihat sejarah hidup Nabi SAW dan sahabat bila ke Makkah.
Ada orang terkesan dengan ditimpa musibah dalam hidup
Ada orang terkesan bila dia mengadu pada Tuhan
Ada orang terkesan dengan hanya melihat gambar
Ada orang terkesan bila melihat hebatnya dan indahnya alam ciptaan Tuhan
Ada orang terkesan bila membaca Al-Quran atau diterjemahkan Al-Quran atau mendengar Al-Quran
Membaca, menonton, berborak tentang kisah-kisah mereka yang terkesan boleh membuatkan kita terkesan insya Allah
Aku sekadar menyebut beberapa nama yang aku tahu:
Prof Dr Muhd Kamil (Pensyarah)...dianugerahkan taraf Profesor dan diberi peluang menunaikan haji
Sham Kamikaze (Artis)...musafir masjid ke masjid bersama sahabat lama dan pertemuan dengan Sheikh As-Sudaisi
Yusuf Islam (Cat Stevens, Artis)...terselamat daripada lemas
Bro Lim Jui Soon (Pendakwah)...menonton CD debat Ahmed Deedat
Malik Noor (Ahli Sukan)...mendengar azan Masjid KLCC
Dan nama-nama lain yang aku tidak pasti dengan teliti kisah hidup mereka seperti Dr Danial Zainal Abidin (Doktor Perubatan), Bob Lokman (Artis), Catriona Bahrin Ross (Artis) dan ramai lagi.
Cerita mereka hanyalah asbab hidayah. Hanya DIA yang mengurniakannya bila hambaNYA berusaha untuk dekat padaNYA.
Jadi, bilakah lagi giliran kita? Marilah kita mulakan hidup baru, hidup yang penuh ketenangan dan kedamaian dalam rahmat Tuhan...
Mulakan sekarang, mulakan sikit demi sikit, mulakan terus menerus, mulakan dengan apa yang membuat kita TERKESAN!
Thursday, November 17, 2011
Apabila Agamawan Menagih Kemegahan
Bila orang tanya kita soalan yang kita memang tahu banyak dan kita pun terangkan satu persatu dengan lancar lantas ditanya lagi dan lagi. Kemudian kita dapat tahu pulak orang lain sebut pasal kehebatan ilmu kita. Lalu kita rasa hebat, kagum pada diri
Bila imam datang lambat dan tengok orang lain naik jadi imam lalu tak puas hati dan pandang rendah pada orang tu. Pada waktu lain plak, dia ditegur oleh makmum atau orang kampung kerana kesilapannya lalu terbit dalam hati, "sedap hati nak tegur imam..."
Bila penceramah menyebut dan mengungkit (bukan niat menasihati) pasal orang tak dengar kuliah dia dan bangkit pulang terus
Bila seorang yang rasa dia tahu banyak dan pandang semacam bila tengok orang lain beri kuliah. Kadang-kadang, tak nak pun dengar orang lain menyampaikan ilmu
Bila tok bilal atau imam yang bertugas dan berbetulan dengan ada orang besar datang solat kat masjid dia, tiba-tiba bilal atau imam yang lain ambil alih.
Bila diri dipandang sebagai orang agama dalam kampung tetapi tak diberi peluang untuk mengetuai majlis seperti tahlil, imam solat jenazah dan sebagainya kerana dia datang lambat atau orang lain kesuntukan masa untuk menunggu
Bila ada orang meminta sumbangan lalu diberi tapi dengan ungkitan dan kata-kata yang tak puas hati
Bila orang besar besar, Dato' Datin, Tan Sri Puan Sri di depan, cakapnya teratur, permintaan dipenuhi tanpa banyak soal, didahulukan, berjaga-jaga dengan semua perkara yang berkaitan dengan dia, tapi bila pakcik tua atau orang biasa di depan, layanan biasa biasa sahaja
Awas penagih kemegahan dan hormat manusia....!
Jangan dicari hormat dan pandangnya orang pada kita dalam hal agama, nescaya rosak binasalah!!!
Saturday, November 12, 2011
Because Love Is A Verb
Cerita di bawah mengisahkan apa yang disebut oleh beliau itu yang aku kira sangat mendidik jiwa...
Sumber: Harian Metro
“BANYAK sudah wang dihabiskan bagi mengubati penyakit isteri saya, sehingga kini sudah mencecah ribuan ringgit namun dia tetap begini,” kata warga emas, Mamat Endut 67.
Isterinya, Salmah Ali ,76, mengalami strok yang teruk disebabkan pendarahan dalam otak dan kini, dia yang menjaga isterinya yang terlantar sakit sejak lebih 11 bulan lalu.
Keadaan isterinya bertambah teruk sejak beberapa bulan kebelakangan ini sehinggakan tidak lagi mampu menguruskan diri sendiri.
“Dulu semasa dia mula-mula sakit, dia mampu berjalan perlahan-lahan dan makan sendiri. Namun sejak beberapa bulan lalu, bertambah teruk malah dia tidak dapat bangun langsung jika tiada bantuan daripada orang lain,” katanya semasa ditemui di rumahnya di Jalan Datuk Onn Mersing Kanan, baru-baru ini.
Mamat mengakui segala tanggungjawab menjaga isterinya dilakukan seorang diri termasuk memandikan isterinya serta tugas lain.
“Dulu semasa sihat, dia sangat rajin. Namun sekarang dia tidak mampu berjalan dan bercakap akibat penyakit dihidapinya,” katanya yang mempunyai lima anak yang semuanya sudah berkeluarga.
Selepas Salmah disahkan berpenyakit, dia terpaksa berhenti kerja sebagai nelayan kerana tiada siapa menjaga isterinya yang terlantar.
Isterinya itu juga terpaksa menggunakan lampin pakai buang kerana tidak lagi mampu menguruskan diri sendiri.
“Saya menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 kerana saya menghidap penyakit berkaitan hati dan selalu pengsan.
“Akibatnya saya tidak boleh melakukan kerja berat manakala duit yang diberikan JKM saya beli lampin pakai buang dan susu untuk isteri.
“Dalam sebulan, perbelanjaan untuk membeli lampin pakai buang sekitar ratusan ringgit dan dalam sehari, isteri saya memakai tiga hingga empat helai lampin,” katanya.
Segala takdir itu diterima dengan reda dan menganggap ia tanggungjawab suami menjaga isteri walau apa juga yang berlaku.
“Air mata berlinangan apabila memandikan dan memberikannya makan. Sayu melihat keadaan isteri dulu yang kuat dan tabah akhirnya terlantar sakit.
“Hanya Tuhan saja yang tahu perasaan seorang suami. Namun, semua ini saya terima dengan hati yang terbuka dan akan menjaganya sehingga ke akhir hayat saya,” katanya.
...............................
Buat para suami dan isteri, kasih sayang itu anugerah Allah...sebagaimana perasaan itu wujud sejak dari lafaz aku terima nikahnya, pupuklah sehingga ke akhir usia...
Dengan kasih sayang, tiada bezanya rupa dan kudrat, lantaran pengorbanan yang tidak terhitung dan cinta yang telah dicurahkan sejak sekian lama
Thursday, November 10, 2011
Moga Doa Lebih Bererti
Cuba ingat kembali apa yang selalu kita minta dalam doa sama ada lepas solat atau di mana-mana tempat yang lain.
Biasanya berkaitan dengan perkara-perkara hidup di dunia seperti kejayaan dalam sesuatu, kemudahan dalam melakukan sesuatu, dikurniakan apa yang dihajati dan sebagainya.
Pembaca sekalian,
Selalu tak kita doa untuk akhirat? Perkara-perkara yang berkisar tentang akhirat antaranya syurga Allah, hisab, naungan Allah, bersama Rasulullah SAW dan lain-lain.
Atau doa sesuatu yang Allah minta dari kita antaranya keikhlasan dalam beribadah, menjadi orang yang bersyukur pada Allah waktu susah dan senang (kerana amat sedikit orang yang bersyukur sebagaimana yang disebut dalam Al-Quran), keteguhan iman kepada Allah dan lain-lain.
Jangan lalai dalam doa sebagaimana jangan lalai dalam solat.
Perhatikan doa kita...perhatikan setiap perkataan dalam doa kita.
Biarlah ringkas tapi bermakna. Biarlah tidak Arab tapi diminta dengan penuh pengharapan.
Berdoalah sebagai ibadah dan ketaaatan, bukan semata-mata kerana memohon sesuatu daripada Allah.
Apa yang dipohon (yang semestinya kebaikan) itu penting. Tetapi yang lebih utama ialah perbuatan MEMOHON KEPADA ALLAH itulah yang lebih penting.
Sudah pasti doa yang terbaik ialah apa yang diajar oleh Allah dan RasulNYA.
Lihatlah doa dari ayat Al-Quran dan yang diajar oleh Nabi SAW.
Penuh dengan adab. Dimulakan dengan susun kata yang menginsafkan.
Cuba lihat doa ini, baca dan hayati:
Tiada Tuhan selain Engkau
Engkau telah menciptakan aku, dan aku adalah hambaMu
Dan aku selalu berusaha menepati ikrar dan janjiku kepadaMu dengan segenap kekuatan yang aku miliki
Aku berlindung kepadaMu dari keburukan perbuatanku
Aku mengakui betapa besar nikmat-nikmatMu yang tercurah kepadaku
Dan aku tahu dan sedar betapa banyak dosa yang telah aku lakukan
Maka ampunilah aku
Tidak ada yang dapat mengampuni dosa selain Engkau
(Hadith riwayat Al-Bukhari No. 5831)
Wednesday, October 19, 2011
Saturday, October 15, 2011
Imarah Masjid - Kemaskini

Beliau mengajar secara syarahan umum menggunakan Al-Quran yang ditayangkan di skrin besar. Ada 4 sesi: membaca, menerangkan hukum tajwid, terjemahan dan tafsir. Diselit juga Bahasa Arab dalam sesi terjemahan dan tafsir.
Malam itu beliau membaca Surah Al-'Aadiaat. Kuliah beliau menumpukan juzu' amma terlebih dahulu memandangkan itu yang lazim di kalangan masyarakat. Secara purata, bolehlah dikatakan untuk kuliah antara Maghrib dan Isya', dapat menghabiskan sekitar 5 ayat.
Bagi aku, walaupun secara ringkas, maksudnya sampai. Sebelum-sebelum ini, biasanya bila sebut belajar Quran, banyak yang belajar membetulkan bacaan sahaja. Memandangkan ini syarahan umum yang berbentuk kuliah, mungkin ada kekurangan dari segi tidak dapat menumpukan kepada setiap orang.
Namun, cara ini boleh menjadi pendorong kepada mereka-mereka yang mungkin segan untuk belajar Quran kerana telah berusia. Bukan sekadar untuk golongan tersebut, bagi mereka yang sudah mahir pula, aspek terjemahan dan tafsir menjadi keutamaan.
Jangan hanya QARI, tapi TAK MEMAHAMI...
Takziah Buatmu Sahabat
Takziah buat sahabatku Azwadi atas pemergian ayah tercinta...tabahkan hati dan redha...
Pesan Rasulullah SAW:
Sebelum Ibrahim menghembuskan nafasnya (yang terakhir) dengan tenang, baginda SAW bersabda sambil menitiskan air mata:
"Sesungguhnya mata ini menitiskan air mata dan hati ini bersedih, (namun) kami tidak akan mengatakan kecuali apa yang diredhai oleh Tuhan kami. Dan sesungguhnya kami merasa sedih kerana berpisah denganmu wahai Ibrahim" (hadith riwayat Al-Bukhari)
"Apabila seseorang telah meninggal dunia putuslah segala amalannya kecuali tiga, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya" (hadith riwayat Muslim)
Thursday, October 6, 2011
Hudud Secara Ringkas
M.A, Shari'ah (Hons) , Univ. Al-Yarmouk, Jordan
PhD, Syariah & Islamic Finance, Univ of Wales, United Kingdom (Candidate)
(click for complete profile)
(click for website)
Setelah beberapa tahun isu hudud tenggelam dalam perbincangan arus perdana, ianya kembali hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini. Kenyataan tegas Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat Menteri Besar Kelantan terhadap komitmen untuk melaksanakan undang-undang hudud telah menimbulkan polemik di kalangan masyarakat. Seiring dengan polemik ini, pelbagai pihak telah mengambil kesempatan dalam isu ini sama ada untuk menimbulkan persoalan atau bantahan mahupun pernyataan sokongan terhadap perlaksanaan undang-undang Hudud di Malaysia.
Melihat kepada isu ini secara lebih jujur dan adil, pandangan yang bersandarkan kepada ruang lingkup undang-undang, realiti masyarakat, bidang kuasa dan kehendak rakyat umum perlu diberikan perhatian serius. Respons yang beremosi dan tidak sensitif tanpa ilmu hanya akan memburukkan lagi keadaan bahkan akan mengakibatkan kesalahfahaman masyarakat pada isu yang sepatutnya diselesaikan secara hikmah.
Seiring dengan hasrat untuk membincangkan isu ini secara ilmiah dan jujur, penulis telah meninjau dan membuat analisis ringkas terhadap kenyataan dan pandangan ahli politik, agamawan, peguam serta orang awam terhadap isu hudud ini. Di samping itu, penulis juga berkesempatan menemubual Pakar Undang-undang Perlembagaan Malaysia, Profesor Andrew James Harding, Profesor Undang-undang Universiti Victoria, Kanada baru-baru ini.
Berdasarkan kepada sorotan literatur, analisis kenyataan dan pandangan pakar perlembagaan ini, penulis merumuskan bahawa perlaksanaan undang-undang Hudud di Malaysia boleh dilaksanakan dengan beberapa pendekatan. Bagi membincangkan topik ini, artikel ringkas ini dibahagikan kepada empat bahagian iaitu pendahuluan, analisis kenyataan di akhbar, pandangan pakar perlembagaan dan kesimpulan.
2.0 Analisis Kenyataan Akhbar
Sebelum analisis dibuat, penulis menyenaraikan kenyataan dan pandangan pimpinan kerajaan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, Agamawan, Peguam dan Orang Awam yang dilaporkan di akhbar arus perdana. Ringkasan yang dimuatkan dalam artikel ini akan dapat memperlihatkan komitmen dan tasawwur individu ataupun parti politik dalam berbicara mengenai undang-undang hudud di Malaysia.
(a) Kenyataan Ahli Politik Barisan Nasional
Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak: Kerajaan tidak akan laksanakan hukum hudud. Elemen undang-undang Islam telah pun dilaksanakan di Malaysia
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin: Malaysia tidak bersedia untuk laksanakan hudud
Presiden MCA, Dato Chua Soi Lek: MCA akan keluar BN jika UMNO laksanakan hudud.
Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Zahid Hamidi: Hukum hudud belum dapat dilaksanakan kerana masalah kesesuaian dalam masyarakat majmuk negara ini.
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin: Gesa agar kerajaan pusat meminda perlembagaan bagi membolehkan kerajaan Kelantan melaksanakan hudud.
Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong: Mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat berkenaan hudud sebagai usaha yang tidak berguna kerana setiap parti anggota pakatan itu mempunyai pendirian dan ideologi berbeza dalam pelaksanaan hukum hudud.
Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang: Pemimpin PAS mempunyai “impian peribadi” untuk melaksana undang-undang tersebut. PAS harus sedar bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum dan agama. Adalah tidak wajar PAS memaksa pandangan mereka ke atas semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
(b) Kenyataan Ahli Politik Pakatan Rakyat
Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim: Hasrat Negeri Kelantan mahu melaksanakan hudud sewajarnya dihormati.
Pengerusi DAP, Karpal Singh: Tidak bersetuju dengan pendirian Dato’ Nik Abdul Aziz yang mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat: Tetap dengan pendirian untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada DAP
Ketua pemuda PAS, Nasrudin Hassan: Mempertahankan hak PAS untuk melaksana undang-undang berkenaan – Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 serta Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003.
Pakatan Rakyat: Pakatan Rakyat menghormati inisiatif PAS untuk laksanakan Hudud. Untuk melaksanakannya, ia perlu capai kata sepakat dan seterusnya pinda perlembagaan.
(c) Kenyataan Agamawan
Presiden Catholic Bishops Conference of Malaysia, Dr Paul Tan Chee Ing: Tiada bantahan untuk melaksanakan hudud selagi mana terpakai kepada Muslim sahaja.
Mantan Mufti Perlis Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin: Pelaksanaan hukum hudud memerlukan ijtihad ataupun tafsiran baru dengan mengambil kira aspek perubahan zaman dan tempat.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria: Menyokong hasrat Pas mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan
Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya: Melaksanakan hukum hudud adalah kewajipan orang Islam dan tidak boleh dipersoalkan
(d) Kenyataan Peguam dan Orang Awam
Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee: Hudud tidak boleh dilaksanakan dalam kerangka Perlembagaan Malaysia dan undang-undang sedia ada.
Mantan Presiden Majlis Peguam, Haji Sulaiman Abdullah: Hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia pada waktu ini berdasarkan kepada status Malaysia yang tidak berciri Islam sepenuhnya.
Pengerusi Kelab Penyokong Pas, Hu Phang Chaw: Menyeru kerajaan Kelantan untuk membuat referendum bagi meninjau kehendak rakyat terhadap undang-undang Hudud.
2.1 Analisis Ringkas Kenyataan dan Pandangan
Secara umumnya melalui pemerhatian dan pembacaan berdasarkan kepada kenyataan pelbagai di atas, kesimpulan yang boleh dirumuskan adalah seperti berikut:-
(i) Pimpinan Barisan Nasional konsisten menolak perlaksanaan hudud dalam kerangka undang-undang dan realiti masyarakat. Walaupun Khairy Jamaludin menyatakan pendirian untuk menggesa kerajaan meminda undang-undang untuk membolehkan perlaksaan hudud di Kelantan, ianya mungkin tidak boleh diambil kira untuk mewakili kerajaan Barisan Nasional atas dasar pandangan peribadi dan juga kedudukan beliau di dalam kerajaan.
(ii) Pimpinan Pakatan Rakyat PKR dan PAS nampak seia sekata dalam isu ini dengan menghormati hasrat kerajaan Kelantan untuk melaksanakan undang-undang Hudud. Namun begitu, DAP tetap konsisten dengan pendirian mereka menolak sebarang idea perlaksanaan hudud termasuk penubuhan negara Islam. Dalam ketidaksefahaman dan perbezaan ideologi ini, Pakatan Rakyat telah bersepakat untuk menghormati pendirian masing-masing dan bersetuju untuk mendahulukan agenda yang disepakati.
(iii) Menarik untuk diperhatikan ialah tatkala ada juga pimpinan Islam yang mempersoalkan perlaksanaan hudud, pandangan Paderi Paul jelas memperlihatkan bahawa sekiranya ada kefahaman yang baik dalam memahami isu ini, perlaksanaan hudud bukanlah satu perkara yang boleh menimbulkan keresahan di kalangan bukan Islam di Malaysia. Para Mufti pula amat konsisten dan sangat bertegas kepada keperluan melaksanakan hudud di Malaysia keranya ianya merupakan tuntutan akidah.
(iv) Merujuk kepada pandangan peguam dalam isu ini, mahu tidak mahu kita perlu akui bahawa sebarang usaha ke arah perlaksanaan hudud di Malaysia mempunyai halangan dari segi ruang lingkup undang-undang. Isu halangan undang-undang ini perlu diberikan perhatian kerana sekiranya tiada pindaan dan perubahan pada beberapa undang-undang sedia ada, hudud tidak akan dapat diimplementasikan di Malaysia.
(v) Pandangan dari Kelab Penyokong Pas, Hu Phang Chaw menunjukkan kematangan dari segi memahami realiti masyarakat di Malaysia. Idea yang menggesa referendum tinjauan kemahuan dan kehendak rakyat di Kelantan boleh dijadikan kayu ukur dan penentu kepada hasrat rakyat serta penerimaan masyarakat terhadap perlaksanaan hudud.
3.0 Pandangan Pakar Perlembagaan
Berkesempatan menemubual Profesor Andrew Harding di mana karya penulisannya menjadi buku teks wajib undang-undang perlembagaan kebanyakan fakulti undang-undang di Malaysia, pandangan beliau yang lebih bersifat ‘legalistic’ dan tidak berbau politik sangat baik untuk dimanfaatkan. Walaupun banyak isu-isu yang dibincangkan semasa sesi dialog dengan beliau, penulis hanya ingin menyatakan pandangan beliau berkenaan dengan perlaksanaan hudud di Malaysia.
Amat menarik perbincangan kami apabila beliau dengan tegas menyatakan bahawa Perlembagaan Malaysia tidak bersifat sekular. Ini menunjukkan bahawa terdapat pengiktirafan pada Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan. Bahkan tidak ada perkataan yang menyatakan Islam sebagai agama rasmi negara tetapi apa yang termaktub ialah Islam adalah agama persekutuan.
Namun begitu, beliau berpandangan peruntukan ini tidak boleh dianggap sebagai mutlak bagi membolehkan perlaksanaan hudud di Malaysia. Implementasi hudud memerlukan pindaan perlembagaan dan beberapa undang-undang sedia ada yang sekiranya dilihat dalam konteks komposisi kerajaan dan pembangkang sedia ada agak sukar untuk dimaterialisasikan.
Menurut pemerhatian beliau, kebanyakan pandangan yang dilaporkan diakhbar adalah bersifat politik dan ini tidak banyak memberikan manfaat. Beliau lebih cenderung untuk membicarakan isu hudud ini dari aspek perundangan dan disesuaikan dengan realiti masyarakat di Malaysia. Walaupun ada pandangan yang melihat bahawa Perlembagaan sedia tidak perlu dipinda untuk melaksanakan hudud, beliau sangat tidak bersetuju dengan pandangan ini.
Beliau dengan serius menyatakan bahawa perlembagaan harus difahami secara menyeluruh dengan mengambil kira faktor aspirasi penggubal perlembagaan, pentakrifan, penafsiran dan banyak faktor perundangan yang lain. Idea ‘simplistic’ yang mengambil pendirian bahawa hudud boleh dilaksanakan di Malaysia berdasarkan kepada peruntukan Islam sebagai agama persekutuan adalah tidak tepat.
4.0 Kesimpulan
Polemik hudud di Malaysia telah menimbulkan pelbagai spekulasi dan isu yang membelenggu rakyat Malaysia hingga kini. Isu ini dijuarai oleh ahli politik walaupun sepatutnya ia dibicarakan secara jujur, ilmiah, ikhlas oleh segenap lapisan masyarakat terutama mereka yang pakar dan berautoriti. Walaupun tidak dinafikan polemik hudud ini memberikan kesan negatif kepada persepsi masyarakat kepada undang-undang Islam, tetapi dalam masa yang sama ianya boleh menjadi pencetus kepada usaha ke arah penanaman pemahaman masyarakat.
Ini dibuktikan dengan sokongan paderi Paul dan Hu Hu Phang Chaw, wakil kelab penyokong Pas berbangsa cina yang secara terang-terangan tidak mempunyai sebarang masalah atau kegelisahan kepada idea perlaksanaan hudud di Malaysia. Hal ini juga dibuktikan di Switzerland di mana Daniel Streich, seorang ahli politik yang anti-Islam membantah pembinaan menara masjid dan sebagainya, akhirnya memeluk Islam dan kini menjadi aktivis yang sangat aktif bergiat memperjuangkan Islam di Eropah.
Semoga dengan perbincangan ringkas di dalam artikel ini akan dapat memberikan kefahaman yang sewajarnya dalam memahami dan menghadami isu perlaksanaan hudud di Malaysia. Bagi orang-orang Islam, mereka tiada pilihan kerana perlaksanaannya adalah tuntutan akidah. Manakala bagi orang bukan Islam, mereka perlu menghormati ideologi dan akidah umat Islam seperti mana Muslim menghormati agama mereka dan ini termasuk dalam hak-hak untuk melaksanakan undang-undang Islam. Sikap hormat-menghormati, berlapang dada, tidak emosi, bersandarkan kepada ilmu dan realiti masyarakat merupakan faktor penentu kepada keharmonian beragama di Malaysia.
Disediakan oleh: Dr Zulkifli Hassan, Exco Shariah & Kewangan Islam
Sumber: ABIMTuesday, October 4, 2011
Induksi Sikap
Saya rasa mesej terpenting yang dapat disimpulkan dari kursus ini ialah JANGAN SOMBONG, AMANAH dan PRIHATIN. Bunyinya macam slogan skema yang boleh dilihat dalam banyak motto dan logo organisasi. Tapi sebenarnya, banyak cerita-cerita yang berlegar dalam bidang kesihatan dan perkhidmatan awam ada disebalik slogan tersebut.
JANGAN SOMBONG
Tak dinafikan, orang-orang yang bekerja di hospital mudah nak rasa angkuh dan sombong. Maklum aje lah, kata-kata kita didengar dan diikuti oleh pesakit (walaupun ada pesakit yang degil tak dengar kata hehe). Kita juga dirujuk oleh ramai orang, lebih-lebih lagi kalau kita seorang pakar, perunding atau yang mempunyai latar belakang akademik dan prestasi kerja yang cemerlang. Bila berjalan atau dalam majlis-majlis, orang 'address' kita. Kalau kita seorang bos, kita dihormati oleh staf-staf bawah.
Walau apapun pangkat kita dalam sesuatu organisasi, jangan kita sombong dan berasa besar diri dengan kedudukan tersebut. Hormatilah orang bawahan, hormatilah staf-staf sokongan, hormatilah pengawal-pengawal keselamatan, hormatilah tukang cuci kerana mereka semua berperanan dalam menjadikan hospital berfungsi dengan baik.
Pangkat dan kedudukan, semuanya adalah anugerah dan pinjaman dari ALLAH. Sebesar mana pun pangkat kita, kita akan bersara suatu hari nanti dan kemudiannya bersara terus dari hidup di dunia ini. Waktu itu, siapalah kita....
AMANAH
Amanah berkait dengan keberkatan gaji yang kita dapat pada setiap akhir bulan. Bahkan, berkait juga dengan keberkatan hidup. Dalam perkara apa? Macam-macam antaranya bidang tugas, masa kerja, pemilihan kontrak, tuntutan perbelanjaan dan penggunaan harta kerajaan. Saya percaya ramai yang tahu kisah Umar Al-Khattab dengan pelita cahaya milik kerajaan. Fikir-fikirkanlah...
PRIHATIN
A patient's profile is not just merely pieces of papers with words and numbers. It reflects a personality, a person with family and friends, a person who deserves respect and caring no matter who they are. Treat your patients like your family.
Kalau ahli keluarga kita masuk hospital, bagaimana harapan kita kepada staf-staf hospital tersebut? Terbalikkan harapan itu pada keluarga pesakit. Lihat end result. Don't just define achievement by looking at improving lab results, vital signs and compliance to medications, but look also at improving family relations and happiness signs that will insya ALLAH come up as a result of good services by us.
Nota Kaki 1:
Rujuklah orang-orang yang lebih berpengalaman kerana banyak pengajaran berharga yang boleh kita dapat daripada mereka, yang disampaikan dengan cara yang sangat mudah untuk kita faham. Smart person simplify difficult things.
Nota Kaki 2:
Satu perkara yang perlu diambil berat dalam alam pekerjaan ialah menghindarkan diri daripada tabiat mengumpat. Agak berleluasa juga. Nampak gaya macam tak rasa bersalah bercakap sesuatu yang tidak elok tentang orang lain.
Mengumpat ialah bercakap sesuatu yang betul berlaku tetapi tidak disukai oleh orang yang diumpati. Kalau bercakap sesuatu yang tidak berlaku, itu fitnah namanya. Sama ada fitnah atau umpat, kedua-duanya dosa dan besar balasan buruknya di sisi ALLAH.
Lebih baik cakap direct kat tuan empunya badan. Cakap direct tak semestinya cakap dengan mulut depan-depan orang tu, boleh je bagi pesanan bertulis. Apapun, jauhi mengumpat! FULL STOP
Thursday, September 22, 2011
Monday, September 19, 2011
Redha Dengan Qadha' dan Qadar
Tambahan:
Bila ditimpa sesuatu yang menekan dan membuat kita mengeluh tentangnya sama ada kesusahan hidup, cabaran kerja dan apa jua dugaan, nasihat tentang redha' dengan qadha' dan qadar Allah menyedarkan diri dari kealpaan. Allah tidak memberatkan seseorang melainkan sesuatu yang mampu dia hadapi. When Allah bring you to it, He will bring you through it!
Aku masih ingat nasihat seorang sahabat...apa yang Allah susun untuk kita adalah yang terbaik buat kita!
