Wednesday, August 29, 2012

Cadangan Untuk Persijilan DQ-UIA

Mungkin cadangan-cadangan di bawah sudah pernah dibincangkan. Apapun, ni antara yang teringin benar saya nak tengok pelaksanaannya. Saya pasti IQRAC DQ boleh panjangkan perkara ni dalam mesyuarat kalian.
 
1) Mu'tamar Tahunan Pelajar-Pelajar Persijilan DQ-UIA
 
Ni merupakan perjumpaan tahunan semua pelajar dan bekas pelajar. Tak semestinya nama mu'tamar, boleh juga nama-nama yang lain. Maklum aje la. Pastu, tempat yang saya rasa terbaik ialah DQ sendiri. Jadi, kita hantar jemputan kepada semua tempat yang ada bekas pelajar kita (matrik uia, uia kuantan, gombak dan wakil2 negeri). Antara pengisian yang boleh dibuat ialah:
 
- Seminar (contohnya tentang al-quran, mu'min profesional dll yang berkaitan dengan perkembangan baru dalam bidang quran dan profesional). Masa ni kita boleh panggil tokoh-tokoh ulama' dan profesional, dalam dan  luar negara untuk bentangkan kertas kerja. Jadi boleh juga buat sesi dialog, bengkel bersama mereka. Pastu boleh juga pelajar atau bekas pelajar persijilan bentangkan kertas kerja. Contohnya kalau dia berkhidmat dengan agensi mana-mana dan ada perkara-perkara penting yang boleh dikongsi, saya rasa tu patut diberi ruang.
 
- AGM IQRAC saya kira boleh dimasukkan sbg pengisian. Jadi, mana2 wakil bekas pelajar yang hadir boleh bertindak selaku pemerhati luar utk AGM dan boleh beri input-input yang berguna kepada pimpinan. Selain IQRAC, utk alumni persijilan sendiri yang saya tgk banyak dibincangkan, mu'tamar ni (contohnya 1st mu'tamar) boleh diadakan satu slot utk mesyuarat ajk penaja dulu ke. tp kalau pendaftaran alumni tu boleh diselesaikan sebelum mu'tamar, ok juga kalau dibuat AGM waktu mu'tamar. Betul, perbincangan perlu dibuat dari semasa ke semasa, cuma bagi saya dalam kes alumni ni, bila dapat jumpa tu, benda tu lebih semangat untuk dibincangkan dan terus dibuat tindakan. Saya ambil kata-kata Us Pahrol, "kebaikan itu perlu dimulakan berkali-kali". Jadi, kita mulakan dengan apa sahaja dan siapa sahaja yang boleh, pastu kita baiki dari semasa ke semasa.
 
- Ihtifal Persijilan (pertandingan akademik dan bukan akademik) macam Ihtifal SMKA tu, sama ada debat, pidato, kuiz quran, hafazan dll. Mungkin boleh ambil bekas-bekas pelajar sebagai juri ke. Jadi, boleh berta'ruf, boleh kembangkan bakat dll.
 
- Banyak lagi pengisian lain yang boleh dimasukkan, saya pasti IQRAC boleh bincangkan
 
2) Sekretariat Persijilan Negeri
 
Saya kira perkara ni lebih mudah untuk dilaksanakan bila adanya alumni. tapi mungkin sementara menunggu penubuhan alumni, saya rasa IQRAC boleh jadi in-charge person (contohnya melalui biro perhubungan atau direct bawah mainboard sendiri) untuk lantik dulu wakil negeri (macam ajk penaja la ni) dari sape2 yang boleh dan mudah dihubungi. Jadi, ada 3,4 orang pun ok untuk permulaan sebagai sekretaria negeri. Dari segi fungsi, perkara ni boleh diperdalam kemudian. IQRAC DQ just macam pantau cmtu sbb kalau nak involve banyak mcm tak proper juga sbb bidang tugas IQRAC DQ mesti perlu lebih kepada pelajar persijilan yang ada di DQ skrg. Once alumni dah ada, alumni mesti bertindak selaku koordinator.
 
3) Persijilan Intensif
 
Waktu cuti sem universiti terutama antara sesi, agak panjang juga. Jadi, saya cadangkan mungkin boleh diberi kebenaran untuk bekas pelajar stay kat DQ untuk muroja'ah. Sepatutnya, muroja'ah ni boleh di mana-mana dan kena setiap masa, cuma saya nampak macam program seperti kembali ke DQ ni boleh jadi 'booster'. Ala-ala PLKN versi persijilan la kot. Stay 3-4 minggu di DQ. Cuma kekangan yang ada ialah dari segi resources macam asrama, tenaga guru tasmi'. Yang ni kita boleh bincang lanjut nanti.
 
4) CME Persijilan
 
CME ni saya ambil dari aktiviti mingguan hospital. Continuous Medical Education. Dalam CME mingguan, staf-staf hospital dari pelbagai disiplin akan duduk dalam satu dewan untuk dengar pembentangan dari disiplin yang berbeza untuk tambah pengetahuan mereka supaya tak lah tahu dalam bidang masing-masing sahaja. Jadi, saya nampak pelajar persijilan perlu manfaatkan pelajar diploma atau ustaz-ustaz yang mengajar pelajar diploma. kita ada qiraat, dakwah, usuluddin. Jadi, rugi kalau pelajar persijilan tak ambil peluang setahun setengah ni untuk tambah ilmu2 lain yang mengaplikasikan quran yang dihafaz. Saya cadangkan, IQRAC DQ buat CME mingguan. Semua pelajar hadir, ambil satu slot seminggu selama sejam pun takpe dah, jemput ustaz2 atau senior2 diploma untuk bentangkan tajuk2 bidang mereka dan buat soal jawab.
 
Setakat ni dahulu cadangan saya, moga-moga Allah mudahkan kita insya Allah
 

Friday, February 10, 2012

Tenang Pahala & Gelisah Dosa

Bersempena Jumaat yang mulia pada hari ini, mari kita mengingati satu pesanan Nabi SAW:

"Orang yang beriman akan melihat dosanya umpama gunung yang menghempap, manakala ahli maksiat pula akan melihat dosa itu umpama lalat yang hinggap pada hidung.”

Hadith riwayat Bukhari

Bagaimana rasa kita pada dosa dan pahala adalah tanda-tanda bagaimana keadaan hati kita..

Jadi...kalau masih tiada rasa tenang dengan pahala atau gelisah dengan dosa, ISTIGHFAR, jumpa orang-orang soleh dan minta nasihat dan doa mereka pada kita. Dalam pada itu, bacalah al-Quran dan terjemahannya walaupun diri kita malas...PAKSA!

Wallahu a'lam...Sallallahu 'Ala Muhammad, Sallallahu 'Alaihi Wasallam

Wednesday, February 8, 2012

Kepada Harian Metro & Yang Seangkatan Dengannya

Mungkin ini bunyinya prejudis, tapi biarlah...

Sudah lama aku tengok kecenderungan surat-surat khabar tertentu yang suka bawa isu yang sensasi dan memilih tajuk yang sensasi (dan kerap kali lucah).

Tujuannya nak buat pendedahan supaya masyarakat sedar. Tapi setakat yang aku tengok dari cara sesuatu isu diulas, lebih kepada nak tarik pembaca. Kadang-kadang jadi macam promosi percuma plak. Bila dah banyak kali sangat cara ulasan isu-isu yang merosakkan ini dibuat, masyarakat jadi lali, terbiasa. Yang dasyat jadi biasa. Nak dedah jadi dokong melalui publisiti akhbar.

Jadi, aku rasa wartawan dan editor biarlah bawa isu-isu negatif ni dengan ulasan yang mendidik. Bukan maksudnya nak kena jadi macam buku agama, tapi orang surat khabar kan kreatif, sebagaimana kreatifnya mereka menyusun cerita-cerita artis dengan ayat, grafik dan susun atur teks yang bermacam-macam dalam sisipan hiburan.

Lepas ni, teruskanlah buat pendedahan...tapi biarlah yang MENDIDIK, bukan MENDEDAH sama ada secara literal mahupun grafik!

LAW KAANA BAINANAA SALLALLAAHU 'ALAIHI WASALLAM...

Monday, January 30, 2012

Rumusan Cinta Rasul di TV Al-Hijrah

Sebahagaian kesimpulan yang dapat diambil daripada rancangan bual bicara sebentar tadi di TV Al-Hijrah

Tajuk: Cinta Rasul: Ke Arah Pembangunan Ummah.

Ahli Panel:

1) Dr Asyraf Wajdi Dusuki (Ketua Penyelidik, International Shari'ah Research Academy for Islamic Finance, ISRA)

2) Dr Farid Shahran (Fellow Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia, IKIM)

3) Dr Maszlee Malik (Pensyarah Kulliyyah Ilmu Wahyu & Sains Kemanusiaan UIAM).

Moderator: Saudara Amin Idris

Antara isi-isinya:

Sulaiman An-Nadwi (Penulis Kitab Siratunnabi) meletakkan 4 ciri penting dalam sirah Nabi SAW yang tidak ada dalam sejarah pemimpian-pemimpin lain:

1) SAHIH...melalui jalan periwayatan yang dijaga kebenarannya
2) LENGKAP/KOMPREHENSIF...dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besarnya
3) PRAKTIKAL...untuk semua golongan dan peringkat umur
4) REALISTIK...perkara yang memang boleh dibuat oleh orang dan bukan terlalu ideal

Jangan 'selective' dalam mencontohi Nabi SAW dengan hanya melihat aspek 'spiritual & ritual'. Contohnya melihat aspek fizikal dan pakaian tapi tidak mengambil berat aspek asas seperti kebersihan. (contoh lain, melihat aspek ibadah khusus seperti solat dan haji tapi mengabaikan aspek pengurusan masa, organisasi dan negara)

Aku pergi ke Barat, aku lihat Islam tanpa Muslim. Tetapi bila aku pergi ke Timur, aku lihat Muslim tanpa Islam (kata-kata Syed Qutb, tapi ahli panel tadi kata ni disebut oleh penyair terkenal Muhammad Iqbal. Setakat yang dicari, ni kata-kata Syed Qutb). Tentang ini, aku ambil ulasan Ustaz Pahrol Md Juoi, "Mengapa? Dilihatnya semua amalan-amalan Islam seperti menjaga kebersihan, mengurus masa, menepati janji dan lain-lain telah diamalkan oleh orang-orang Barat. Sayangnya, amalan-amalan itu tidak berlaku di kalangan orang Islam sendiri di Timur. Sikap pengotor, tidak menepati janji dan membuang masa masih berakar umbi dalam masyarakat Islam sendiri."

Aku pasti ramai yang tahu bahawa Nabi SAW diletak di tempat pertama dalam buku "The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History" oleh Michael H. Hart (1978). Nabi SAW memang tidak layak dibandingkan dengan manusia biasa kerana baginda adalah Rasulullah SAW. Namun, apa yang boleh kita ambil dari analisa Hart ialah, daripada aspek PENGARUH sahajapun, Nabi SAW sudah menandingi pemimpin lain, apatah lagi dari aspek-aspek yang lain.

Tentang Piagam Madinah, apa yang menarik perhatian aku ialah apabila Dr Maszlee menyebut tentang konsep UKHUWWAH, menjawab soalan Amin Idris berkenaan adanya 23 fasal berkenaan orang Islam dan 24 fasal berkenaan orang bukan Islam dalam perjanjian itu. Ukhuwwah Islamiyyah (sesama Muslim) dan ukhuwwah insaniyyah (sesama manusia yang lain). Masyarakat Madinah yang berbeza bangsa, keturunan dan agama (misalnya Bilal dari Habsyah yang gelap warna kulitnya, Salman yang berasal dari Parsi, dan Bani Israel) dapat disatukan di bawah satu pemerintahan. (sebab itulah Madinah boleh jadi model negara Islam yang ada rakyat dari pelbagai kaum seperti Malaysia).

Berkenaan sambutan Maulidul Rasul SAW seperti berarak dan sebagainya: asanya ialah kita buat sambutan dengan ada pelan TINDAKAN. (Biar bila habis je majlis sambutan, masyarakat tahu apa patut buat dan bagaiman nak buat. Apa dan bagaimana ni kita kukuhkan melalui pendidikan berterusan melalui masjid, sekolah, media dan sebagainya. Contohnya, kita edar kad-kad poket yang ada zikir-zikir dan doa yang Nabi SAW baca. Pasal pendidikan berterusan tadi, apa kata kita buat handout cantik-cantik yang senaraikan rancangan-rancangan agama yang ada di TV dan Radio yang masyarakat boleh tengok dari semasa ke semasa)

Hidupkan budaya ilmiah. Tahu sesuatu perkara melalui kajian, soal-jawab. (Contohnya kita galakkan orang untuk ada penasihat agama yang dia simpan nombor telefonnya).

Bagi pendakwah (tak semestinya ustaz-ustaz, para wartawan pun pendakwah), kita kena ada prioriti, sunnah mana yang kita kena tekankan dalam masyarakat. Bukan kita nak 'selective', tapi kita nak ikut awlawiyyat (keutamaan) supaya apa yang penting didahulukan. (Contohnya galakkan masyarakat hidupkan amalan salam, selawat pada Nabi bila dengar orang sebut nama Nabi, amalkan zikir pagi dan petang, berbudi bahasa dan sebagainya)

Nak cinta Nabi, kena kenal Nabi SAW. Nak kenal Nabi SAW, bacalah sirah baginda. (Jadi, biarlah sebuah keluarga, ada sebuah buku sirah sekurang-kurangnya. Tak payah yang tebal-tebal, ambil yang ringkas pun takpe. Contohnya macam Sirah Nabawiyyah oleh Dr Mustafa as-Siba'ie. Takpun lazimkan keluarga tengok rancangan seperti Law Kaana Bainanaa).

WALLAHU A'LAM..ALLAHUMMA SOLLI 'ALA MUHAMMAD, WA 'ALA AALI MUHAMMAD

Thursday, January 12, 2012

Selamat Hari Lahir Buatmu

"Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur"

Surah an-Nahl, ayat 78


"Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan, dan tempoh menceraikan susunya adalah dalam masa dua tahun, Bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu
dan (ingatlah) kepada Aku jualah tempat kembali"

Surah Luqman, ayat 14



Tuesday, January 10, 2012

Peluang Kedua

Syukur kepada Allah s.w.t yang masih memberi peluang kepada kita untuk hidup hingga ke saat ini. Selawat dan salam buat Rasul junjungan s.a.w. atas pengorbanannya yang terlalu banyak...Lau Kaana Bainana (andai baginda s.a.w. ada bersama kita)

Jika kita masih membuka mata pada hari ini, segala puji bagi Allah yang telah menghidupkan kita setelah mematikan kita dan hanya kepadaNYAlah kita akan kembali. Hari yang baru ini tidak lain merupakan peluang seterusnya yang diberi oleh Allah kepada kita untuk mensyukuri apa yang telah kita dapat dan memohon kemaafan atas kesilapan kita selama ini.

Maafkan hamba-hambaMU ini ya Allah...

Waktu susah dahulu, kami meminta kepadaMU. Bukan itu sahaja, malah kami berjanji menjadi hambaMU yang baik. Tetapi kami lalai kemudiannya. Hanyut dengan kehidupan. Kosong rasa jiwa. Solat dan bacaan Quran menjadi tawar. Lama selepas itu, datang lagi kesedaran dalam diri, lantas kami kembali. Tetapi, selepas itu kami tewas lagi.

Namun, ENGKAU masih terus memberi peluang.

Hari ini, kami membuka mata lagi untuk umur yang semakin bertambah...telah hampir 30 tahun perjalanan hidup ini. Jantung masih berdenyut. Udara masih dapat dihirup. Hari-hari semalam penuh dosa yang kami sedar mahupun tidak. Solat yang hanya menjadi rutin biasa tanpa keinsafan. Bacaan Quran yang hanya meniti di bibir sekali sekala.

Maafkan hamba-hambaMU ini ya Allah....

Wad-wad seperti ICU (Intensive Care Unit) dan HDW (High Dependency Ward) menyedarkan ramai orang bahawa insan ini sangat lemah dan kerdil lalu menginsafi diri akan betapa besarnya kurniaan Allah s.w.t. Hanya doa dan linangan air mata mengiringi sesiapa yang pernah merasainya. Seorang ibu tidak akan meninggalkan hospital walau sepenat mana sekalipun dia menunggu anaknya. Begitu juga seorang isteri atau suami. Disebalik wajah sugul mereka, sangat tinggi kebergantungan kepada Allah s.w.t. agar memberi peluang kedua buat mereka walaupun mungkin sebelum ini mereka tidak pernah mengharap sebegitu rupa kepadaNYA.

Ya Allah, perbaikilah bagi kami agama kami....

Bimbinglah kami menjadi hambaMU yang taat di kala susah dan senang....

Jauhilah kami dari perkara yang melalaikan....