Friday, April 29, 2011

Imarah Masjid - Sedikit Kemaskini


Saya diketemukan dengan satu kaedah yang menarik untuk menghidupkan kuliah-kuliah di masjid dan surau terutama bagi yang agak sukar untuk mendapatkan tenaga pengajar. Rasanya sudah banyak juga masjid dan surau yang menggunakan LCD projector dan skrin untuk memasang kuliah yang disampaikan oleh para alim ulama' yang boleh didapati dari banyak sumber. Cuma kena keluar duit sikit la dulu untuk beli alat tu tapi kalu ikutkan, ianya berbaloi untuk jangka masa panjang daripada asyik beria-ria menulis jumlah kutipan bulanan dan membaca laporan kewangan masjid yang banyak simpanan tapi tak guna-guna.

Satu lagi masalah yang biasa terjadi ialah bagi kuliah-kuliah yang hidup segan mati tak mahu. Bila ada jemaah, ustaznya takde. Bila ada ustaz, jemaahnya pula takde. Salah satu puncanya ialah bila ustaz datang tak datang. Kadang-kadang berduet pun ada. Ustaz sorang, jemaah pun sorang. Dua-dua pihak jadi penyumbang. Macam ni lah, AJK masjid atau surau, ambil la nombor telefon semua jemaah tetap. Senang nak promosi apa-apa. Kalau ada pertukaran mengejut pun, boleh maklum. Kalau tak, kesian plak kat jemaah yang datang dan bersiap untuk hadir program, tup tup tak jadi plak. Seperkara lagi, kalu nak betul-betul istiqamah, bersedia dengan backup plan. Kalau ustaz yang telah dijadualkan tak dapat datang, terus biar ada pengganti. Kalau tak ada jugak pengganti, gunalah LCD+laptop+skrin...senang cerita.

Okei, nanti update lagi. Buat pembaca, kalau ada idea-idea menarik, bagitau la. Dibuatnya idea kita tu okei dan boleh dilaksanakan, banyak pahala dapat tu..

WALLAHU A'LAM

Sunday, April 3, 2011

Memori Darul Quran

Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Bharu, Selangor

Segalanya bermula apabila aku dan rakan-rakan dimaklumkan oleh ustaz kami tentang permohonan untuk ke Darul Quran. Waktu tu, aku tidak tahu sangat tentang institusi tersebut. Hanya ada dua orang seniorku yang sedang belajar di situ iaitu Abang Hasmadi dan Bazli.

Bila mana disebut tentang menghafaz al-Quran, aku masih ingat akan seorang senior yang mewakili sekolah kami ke Ihtifal SMKA Peringkat Kebangsaan, yang kami panggil Abg Sedi. Aku sangat mengaguminya. Untuk Hafazan Ihtifal SMKA, surah yang mesti dihafaz ialah Surah Al-Baqarah yang merupakan surah terpanjang dalam Al-Quran dan merangkumi dua juzu’ lebih.

Di SMKA, ada Kelas Al-Quran. Pelajar-pelajar yang mengambil kelas ini akan belajar tentang Al-Quran dari beberapa aspek seperti Tafsir, Tajwid, Qiraat, Tarannum dan Hafazan. Surah-surah yang perlu dihafaz ialah surah-surah pilihan yang berbeza mengikut tingkatan antaranya Surah Al-Jumu’ah, Al-Munafiqun, As-Sajdah, Ar-Rahman, Al-Waqi’ah dan lain-lain. Kelas Al-Quran ini dijalankan pada sesi petang.

Berbalik kepada cerita Darul Quran tadi, tiba waktunya, sesi temuduga dijalankan. Seingat aku, inilah temuduga pertama dalam hidup aku. Ada dua bahagian temuduga, satu dengan wakil Darul Quran dan satu lagi wakil UIA. Untuk wakil Darul Quran, kami perlu membaca satu muka surat Al-Quran yang telah diberitahu untuk dihafaz dalam masa sejam sebelum itu, manakala untuk wakil UIA pula lebih kepada soalan-soalan berkaitan pengajian UIA.

Dalam keghairahan aku yang berhajat untuk berehat sepuas hati lepas SPM, akhir Disember 2002, dengan izin Allah s.w.t., aku berjaya dan ditawarkan untuk belajar di Darul Quran. Cuak pun ada . Gembira pun ada. Rasa tak nak pergi lagi pun ada (sebab nak cuti lagi hehe). Rasa sedih pun ada kerana ada beberapa sahabat baikku yang tidak berjaya. Walaupun ada suara-suara yang membangkitkan tentang aku akan lambat setahun lebih untuk masuk university jika aku ke sana, tapi tak mengapalah.

Takdir mengatasi tadbir…

Pagi itu suasana sangat lain. Aku, mak dan abah datang awal ke Lapangan Terbang. Mak dan abah mengiringiku berangkat ke Kuala Lumpur. Kami pergi bertiga. Suasana pagi itu sangat menyentuh perasaan memandangkan penerbangan kami bersama-sama dengan ramai jemaah haji yang akan ke KL juga (waktu tu belum ada penerbangan terus dari Kuala Terengganu ke Arab Saudi).

Dari tingkap kapal terbang, aku dapat melihat begitu ramai sanak-saudara yang menunggu di sepanjang pagar lapangan terbang untuk melambai kepada keluarga mereka yang menunaikan haji. Terasa seperti aku sendiri yang akan berangkat ke Mekah (alhamdulillah, Allah telah mengizinkan aku dan sahabat-sahabat ke Mekah pada April 2010 yang lalu).

Labbaikallah…Aku menyahut seruanMu Ya Allah

Penerbangan itu menjadi satu tazkirah yang amat menyentuh hati. Melihat langit dan awan yang sangat luas dan saujana mata memandang. Melihat jalanraya, hutan, bangunan yang bagaikan titik kecil. Melihat laut yang membiru. Kita adalah orang yang paling mengenali diri kita sendiri dan sejarah hidup kita. Sepanjang perjalanan itu penuh dengan rasa hiba mengenangkan diri sendiri serta mak dan abah.

Akhirnya aku, mak dan abah tiba juga ke Darul Quran JAKIM, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

....bersambung