Saturday, July 31, 2010

Friday, July 30, 2010

Ramadhan Ini

Pendirian: Mana-mana pengajaran tentang agama yang saya kira baik dan bermanfaat, saya akan ambil tanpa mengira apa-apa fahaman politik sama ada PAS, UMNO, KeADILan atau lain-lain. Marilah kita saling hormat menghormati dalam menuntut ilmu. Peace! :)


Bahagian 1



Bahagian 2



Bahagian 3



Bahagian 4



Bahagian 5



Bahagian 6



Bahagian 7



Bahagian 8


Sunday, July 25, 2010

Tiga Hari Di Serambi Mekah

Saya baru pulang dari Kelantan. Hampir tiga hari di sana. Saya dan keluarga menginap di rumah ibu saudara di Kg. Cherang Sepulai, Melawi, Bachok. Balik kali ni agak lama kerana ada perjumpaan keluarga. Adik-beradik mak berhajat nak buat tahlil untuk arwah datuk dan nenek.

Saya sudah biasa dengan perjalanan Kuala Terengganu-Bachok. Jalan pilihan sudah tentu jalan pantai melalui Tok Bali. Ada beberapa selekoh tajam. Juga beberapa jalan lurus yang boleh dipecut semahunya hehe. Biasanya, tempoh perjalanan 2 jam. Pengguna jalan tersebut akan berjumpa dengan Jambatan Tok Bali di Pasir Puteh, Kelantan. Rasa macam tinggi juga bila melaluinya. Pemandangan muara laut jelas kelihatan.

Setiap kali raya, biasanya akan beraya di Terengganu dulu sebelum pulang ke Kelantan. Zaman kanak-kanak dulu, bila balik Kelantan, saya mesti muntah-muntah. 'Mabuk air-cond'. Sampai sekarang pun agak alah dengan air-cond kalau dipasang ketika tidur. Air-cond kereta or bilik kuliah tu okei lagi la.

Ada beberapa kenangan zaman kanak-kanak di Bachok. Saya tidak sempat mengenali arwah datuk kerana dia meninggal sewaktu mak masih budak-budak lagi. Arwah datuk dikenali dengan panggilan Pok Ngoh Haji, merupakan seorang penyokong tegar parti 'hijau'. Bila diberitahu arwah datuk ialah anak Hj Ahmad Abdullah Tahir Pondok Bunut Payung, saya terkejut juga. Abdullah Tahir yang ada dalam buku sejarah tu ke? Arwah nenek pula saya ingat-ingat lupa kerana saya masih kecil waktu tu. Mujurlah ada gambar-gambar lama yang disimpan. Arwah nenek dikenali dengan panggilan Mok Bachok. Itu istilah yang saya tahu sejak kecil.

Arwah Mok Bachok sangat sayangkan saya, kata mak (angkat bakul ke ni? haha). Nak buat macam mana, cucu sulung. Saya masih ingat, suatu hari kami balik Kelantan. Mak menangis di rumah Mok Bachok. Ramai orang datang. Saya masih tak mengerti apa-apa waktu tu. Siap pergi makan cili api di pokok cili yang ditanam di halaman. Meraung sepuas hati kerana pedas bibir. Bila dah besar baru ingat balik, itulah hari Mok Bachok meninggal dunia dan saya sebagai budak-budak menjadikan suasana yang sedih dan suram menjadi 'gamat'. Memang nak kena budak ni!

Sekarang, rumah tu dah takde orang duduk lagi dan diubahsuai menjadi kedai hardware milik ibu saudara saya. Memandangkan dindingnya masih dikekalkan dan tak berubah, setiap kali datang ke kedai tu, memang saya akan teringat zaman kanak-kanak.

Kenangan lain yang saya masih ingat tentang rumah tu ialah saya hampir-hampir terjun ke dalam sebuah telaga yang ada berhampiran rumah semasa bermain sembunyi-sembunyi. Dah angkat sebelah kaki nak terjun. Bukan apa, saya ingatkan bongkah bulat tu macam bongkah yang selalu digunakan untuk buat longkang. Bila teringat balik, ya Allah, umur masih panjang. Tak tahulah apa yang akan jadi kalau saya terus lompat.

Di Bachok, antara yang sinonim dengan saya ialah Cabang Tiga Melawi. Zaman budak-budak dulu, bila sampai di situ, memang gembira sangat sebab tahu dah nak sampai. Sekarang, simpang tu nampak moden sikit la dan ada bangunan baru berhampiran.

Selain majlis tahlil tu, saya berhajat juga nak pergi beberapa tempat, tapi nampaknya banyak yang tak kesampaian. Antaranya Pasar Jelawat (dah selalu tengok tapi tak pernah masuk dalam), Masjid Bunut Payong (keluarga sebelah arwah datuk ramai kat kawasan tu), Simpang 4 Panji (nak makan sate Kg Baung haha), Tanah Perkuburan Kg Badak (kubur arwah datuk dan nenek), Pusat Pengajian Darul Kautsar di Kubang Kerian (yang diasaskan Ustaz Asri Yusof, sepupu mak), dan Pengkalan Kubor (family nak beli barang sikit).

Yang tak kesampainnya tu ada sebabnya. Plan berubah bila mak saudara saya kena masuk wad kerana luka pada kaki akibat Diabetes. Jadi, berkampunglah kami di HUSM Kubang Kerian. Waktu menunggu memang menguji sabar. 3 jam sebelum dipanggil doktor kerana kes diklasifikasikan sebagai tidak kritikal + kes-kes kritikal dan separa kritikal yang agak banyak. HUSM ni pilihan ke-2 bertugas. Ai, boleh ke ni kerja. Wallahu a'lam.

Malam baru lah bertolak balik ke Terengganu. Jadi, pendek cerita, Kelantan ni memang familiar dengan saya. Selain kerana keluarga, kawan-kawan pun ramai. Pesanan penaja: Carilah waris dan saudara mara anda! The End!

Wednesday, July 21, 2010

Masjid Itu Di Mana-Mana

Ada orang mengutarakan satu persoalan: kenapa orang yang selalu pergi ke masjid pun perangainya masih entah apa-apa dan lebih teruk, mengalahkan orang yang tidak pergi ke masjid?

Kenapa agaknya?....

Saya ada 2 'point' yang mungkin sesuai sebagai jawapan.

1) Kita pergi ke masjid. Kemudian kita solat, berzikir, membaca Quran, berdoa dan lain-lain. Masalahnya, sebaik sahaja kita melangkah keluar daripada masjid, aktiviti-aktiviti itu ataupun falsafah dan hikmahnya tidak dibawa bersama. Di masjid kita hormat imam, kita tegur silapnya, kita dekat dengan kenalan kita dalam saf, kita tenang dalam iktikaf, kita angguk nasihat penceramah dan lain-lain. Tapi, di rumah, di pejabat, di jalan raya, di bilik kuliah, dalam mesyuarat, di cafe, di farmasi satelit (pharmacy input skit hehe), di komplek sukan dan mana-mana tempat yang kita pergi, kita mungkin lupa membawa 'masjid' kita bersama. Ini sama keadannya dengan orang yang pergi umrah atau haji tanpa membawa bersama 'umrah dan hajinya' pulang ke Malaysia. Tengok apa yang kita buat di masjid. Ingat apa yang kita buat semasa umrah. Kenang apa yang kita lakukan dalam puasa. Bawalah itu semua dalam hidup. Barulah datang kehidupan! Barulah orang masjid sejuk mata memandang di mana-mana. Bukan dibuat-buat. Tapi itulah orangnya. Orang yang hatinya sentiasa tergantung di masjid ke mana-manapun dia pergi.

2) Ustaz Pahrol Md Juoi pernah menulis dalam satu artikel tentang masalah suasana rumah tangga yang porak poranda. Orang selalu menyebut kahwin ni umpama membina masjid. Sekarang ni kita boleh tengok banyak masjid yang cantik-cantik. Di Terengganu ni, ada je projek menaik taraf masjid lama ke masjid baru. Sebagaimana masjid yang perlu diisi dengan aktiviti ibadah untuk menghidupkan kemasjidannya, begitulah juga rumah tangga. Rumah perlu dihidupkan dengan ibadah. Barulah makna sebenar membina masjid itu ada. Ibadah ada yang khusus dan ada yang umum. Hidupkan berjemaah, hidupkan membaca Quran dan meneliti maknanya, hidupkan salam, hidupkan tegur menegur ibarat menegur imam solat yang tersilap, hidupkan senyuman. Biar senyum seindah suria, kata lirik lagu yang saya pun tidak ingat tajuknya. Barulah murni rumah tangga!

Bukankah Nabi berpesan, "Aku diberi lima perkara yang tidak diberi kepada mana-mana Nabi sebelumku...(salah satu lima itu)...dan dijadikan bumi dan seluruh tanahnya masjid dan suci. Maka di mana sahaja aku berada, aku akan menunaikan solat padanya" - Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Jadi, wahai ahli masjid/surau, pulanglah dengan membawa 'masjid dan surau'mu ke mana-mana sahaja.

Terlalu ideal? Mungkin, tapi ingatlah, orang-orang bijak pandai menyebut, "Kalau tidak boleh buat semua, jangan tinggalkan semua"

Tarbiyyah yang berjaya itu 'evolution' yang diusahakan dengan hikmah dan doa pada Allah, bukannya 'revolution' yang dipaksa-paksa!

Tuesday, July 20, 2010

Kenangan Kursus Penghayatan Ibadah Solat

Alhamdulillah, saya berkesempatan mengendalikan Kursus Penghayatan Ibadah Solat pada 17 Julai 2010 yang lalu bertempat di balairaya kampung saya. Ini merupakan kali ke-2 kursus ini dibuat. Pertama kali dulu masa tahun 2007 sewaktu saya masih di UIA. Pesertanya pula semua pelajar sekolah rendah. Kali ini, ia agak mencabar kerana melibatkan semua peringkat umur dari kanak-kanak, remaja, dewasa dan orang tua. Serba salah dibuatnya. Nak jadi seperti kanak-kanak, takut orang tua nampak pelik pula. Nak jadi macam orang dewasa dan orang tua, takut kanak-kanak dan remaja boring. Akhirnya, dicampur-campur haha.

Tujuan kursus ini ada 2: 1) Mengetahui kaedah solat yang betul dan 2) Menghayati ibadah solat. Seramai lebih kurang 40 orang menyertainya. Rujukan utama saya ialah Buku Formula Solat Sempurna karangan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman. Siri Pertama kursus ini dulu menggunakan Modul Sifat Solat Nabi Muhammad SAW, juga karangan Ustaz Zaharuddin. Waktu tu buku Formula Solat Sempurna belum diterbitkan. Untuk kali ini, ringkasan dibuat daripada buku tersebut untuk memudahkan peserta mengetahui isi-isi penting sahaja tanpa dimuatkan perbincangan panjang lebar. Namun, saya masih mengekalkan sumber rujukan hadith seperti yang digunakan ustaz. Selain itu, ada juga ditambah beberapa bab dalam ringkasan tersebut antaranya doa-doa pilihan selepas solat, tafsir surah Al-Fatihah, syarah Doa Qunut dan solat-solat sunat pilihan. Semuanya telah digabungkan dalam satu buku. Sesiapa yang berminat dengan buku tu dan slide presentations yang saya gunakan, boleh minta daripada saya melalui email (jangan bimbang, percuma).

Sekadar perkongsian yang barangkali boleh digunakan untuk program-program berbentuk sebegitu, saya telah 'upload' video-video yang digunakan semasa program tersebut di saluran YouTube saya (sila klik di sini). Sebahagiannya adalah video yang sudah ada di YouTube dan ada juga yang telah diubahsuai. Video-video tersebut boleh dimuat turun menggunakan mana-mana perisian download online yang ada.

Selain itu, ada juga dibuat softcopy banting yang boleh dicetak di kedai-kedai percetakan:

a) Zikir Selepas Solat (bersaiz 2 x 5.5 kaki. Harga lebih kurang RM 33 jika dikira RM3 sekaki. Boleh download di sini)

b) Doa Selepas Solat (bersaiz 1.3 x 6 kaki. Harga lebih kurang RM23 jika dikira RM3 sekaki. Boleh download di sini),

Idea banting ni datang bila teringat semasa pergi umrah dengan kawan-kawan dulu. Di beberapa masjid dan musolla yang kami singgah di sana, ada banting zikir selepas solat yang diletak di depan saf yang boleh dibaca dengan jelas oleh jemaah yang solat.

Itulah serba sedikit kenangan berkursus. Di sini, saya letakkan beberapa gambar kenangan:



Peserta kanak-kanak yang datang seawal 8.00 pagi. Tahniah!




Sebahagian peserta perempuan




Saya bersama sebahagian peserta lelaki

Sunday, July 18, 2010

Dialog Yang Mungkin Kita Biasa Dengar

"Wah...canggih ringtone pak aji"

"Allah....anak-anak la ni ejas letak lagu macam-macam"



"Banyak bil telefon pakcik ni..business ke?" tanya petugas kaunter

"Entah la...anak-anak la ni guna telefon. Dah ada telefon pun masih ambil senyap-senyap telefon kita", rungut seorang pakcik.



"ASTRO rumah saya pun takde channel HBO ni bang mat"

"Anak-anak la tu. Duit habis ke ASTRO je sebulan-sebulan"



"Eh..banyak saman encik ni. Nak tak nak kena bayar jugak ni"

"Ya Allah...sampai beribu. Anak-anak la ni bawa kereta ikut sedap je. Tak fikir dah"



"Tu anak pak su ke?" tanya orang kampung

"Hmm...gitu la Din. Maaf la, Pak Su pun malu dengan orang kampung. Dah puas nasihat. Anak-anak sekarang susah"



"Larat ke pakcik nak bayar kereta bulan-bulan ni?"

"Anak la ni duk suruh kita beli jugok"



"Mak Ngah...rajin betul berniaga. Dah pencen pun masih kuat ni"

"Takpe la....nak tanggung anak-anak. Sekarang ni susah. Lepas universiti pun belum tentu dapat kerja terus"



JADI, WAHAI ANAK-ANAK...KORANG TAK SELAMANYA MUDA. APA YANG DILAKUKAN KEPADA IBU DAN AYAH SEKARANG, ESOK-ESOK ANAK-ANAK KORANG PULA YANG AKAN BUAT PERKARA YANG SAMA PADA KORANG...FIKIR-FIKIRKANLAH...

Monday, July 12, 2010

Mereka Menasihati Kita Tentang Solat

“Solat telah mengambil daripada fahaman Komunisme makna persamaan hak dan persaudaraan iaitu dengan mengumpulkan manusia dalam satu tempat yang tidak ada yang memilikinya kecuali Allah iaitu masjid.

Solat juga telah mengambil daripada fahaman Diktatorisme makna displin dan semangat iaitu dengan adanya komitmen untuk berjemaah mengikut Imam dalam setiap gerak dan diamnya. Jadi, barang siapa yang menyendiri dan tidak berjemaah, maka dia akan menyendiri dalam neraka.

Solat juga mengambil daripada fahaman Demokrasi suatu bentuk nasihat, musyawarah dan wajibnya mengembalikan Imam ke arah kebenaran apabila dia salah dalam keadaan apa pun.

Solat dapat membuang segala sesuatu yang buruk yang terdapat pada semua ideologi tersebut seperti kekacauan Komunisme, penindasan Diktaktorisme dan kebebasan tanpa batas Demokrasi, sehingga solat merupakan minuman yang siap diteguk dari kebaikan yang tidak keruh di dalamnya”.

Imam Hassan Al-Banna


"Bukanlah masyarakat Islam itu masyarakat yang membiarkan orang-orang bergabung dengan Islam dalam keadaan mereka hidup tanpa ruku' kepada Allah SWT tanpa mereka mendapat hukuman atau pengajaran dengan alasan bahawa manusia itu mempunyai hak kebebasan untuk berbuat.

Bukan pula masyarakat Islam itu masyarakat yang menyamakan antara orang-orang yang solat dan orang-orang yang tidak solat apatah lagi mengutamakan orang-orang yang tidak solat dan menjadikan mereka sebagai pemimpin.

Bukan pula masyarakat Islam itu masyarakat yang membangunkan bangunan, pejabat, sekolah dan lain-lain, yang di dalamnya tidak ada masjid yang boleh digunakan untuk solat dan mengumandangkan azan.

Bukanlah masyarakat Islam itu masyarakat yang sistem kerjanya tidak mengenal waktu solat, sehingga sesiapa sahaja daripada kakitangannya yang tidak menepati peraturan itu (iaitu menjaga waktu solat) akan dikenakan tindakan yang sesuai dan akan dikira sebagai melakukan kesalahan.

Bukanlah masyarakat Islam itu masyarakat yang ketika mengadakan seminar, majlis, perjumpaan dan ceramah, sementara ketika masuknya waktu solat, tidak ada suara azan dan tidak didirikan solat.

Sebagai asas kepada perkara-perkara tersebut, bukanlah dikatakan masyarakat Islam itu masyarakat yang tidak mengajarkan solat kepada anak-anak di sekolah-sekolah dan di rumah-rumah sejak dari kecil. Maka, ketika mereka berusia tujuh tahun mereka harus diperintahkan, dan ketika berusia sepuluh tahun mereka dipukul apabila meninggalkan solat.

Bukanlah masyarakat Islam itu masyarakat yang tidak menjadikan solat termasuk dalam kurikulum pendidikan, pengajaran dan penerangan yang perlu dititikberatkan dalam agama Allah dan dalam kehidupan kaum Muslimin".

Dr Yusuf Al-Qardhawi


(Dengan sedikit pengubahsuaian perkataan dan frasa kerana sumber asalnya dalam Bahasa Indonesia)

Thursday, July 1, 2010

Selamat Bertugas Kawan-Kawan


SELAMAT BERTUGAS! diucapkan kepada kawan-kawan Batch ke-5 Farmasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang melapor diri hari ini 1 Julai 2010 sebagai Provisional Registered Pharmacist (PRP) di hospital masing-masing. :)