Monday, May 31, 2010

Serangan Israel ke Atas Misi Bantuan Gaza!

KITA MENGECAM SEKERAS-KERASNYA TINDAKAN BACUL ISRAEL YANG TERBARU KE ATAS KONVOI MISI BANTUAN KEMANUSIAAN KE GAZA (LIFELINE4GAZA).

KECAMAN INI SEHARUSNYA DIIKUTI DENGAN DOA DAN TINDAKAN UNTUK MEMBERI KESEDARAN KEPADA MASYARAKAT SEKELILING TENTANG ISU INI.


SEMOGA ALLAH MEMBERI KEKUATAN DAN KESELAMATAN KEPADA SEMUA YANG MEMBANTU DALAM USAHA MELAWAN REJIM ZIONIS LA'NATULLAH.


IKUTI PERKEMBANGAN DARI SEMASA KE SEMASA MELALUI
(sila klik)

LIFELINE4GAZA


PALESTINKINI


AL-JAZEERA

HALUAN PALESTIN

PANDUAN QUNUT NAZILAH

(Terima kasih buat kawan-kawan yang memaklumkan melalui Facebook dan berkongsi video: Ramadhan Awang, Hafidz Joe, Zulkifli Ahmad, Ariffin & Atiqah, Azwin, Badri, Fakhrurrazi, Rashidah, Sheth, Ihsan, Syahrir dan Mujahid Amar)

Sunday, May 23, 2010

SOAL JAWAB: Kedudukan Hadith 7 Golongan Yang Mendapat Naungan Allah Pada Hari Kiamat

SOALAN: Apakah kedudukan hadith 7 golongan yang mendapat naungan Allah pada hari Kiamat?

JAWAPAN: Sambil menjawab soalan ini, disertakan sekali matan (teks) dan syarah (penjelasan) hadith ini untuk manfaat kita bersama.


عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ رَضِى اللهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:
سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِى ظِلِّهِ يَوْمَ لاَظِلَّ إِلاَّ ظِلُّهُ:
إِمَامٌ عَادِلٌ، وَشَابٌ نَشَأ فِي عِبَادَةِ رَبِّهِ، وَرَجَلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِى الْمسَاجِدِ،
وَرَجُلاَنِ تَحَابَّا فِى اللهِ، اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ،
وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ: إِنَّى أخَافُ اللهَ،
وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأخفَاهَا حتَّى لاَ تَعْلَمُ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِيْنُهُ،
وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللهَ خَلِيْلً فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ.


Terjemahan:

Daripada Abi Hurairah (ra) bahwa Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) bersabda: Ada tujuh golongan yang akan mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali perlindunganNya:

1. Imam (pemimpin) yang adil.
2. Pemuda yang taat kepada Allah sejak kecil.
3. Lelaki yang terpaut hatinya dengan masjid.
4. Dua orang yang saling kasih-mengasihi kerana Allah.
5. Lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik, lalu dia
berkata: “Aku takut kepada Allah”.
6. Orang yang bersedekah secara sembunyi sehingga tidak mengetahui tangan kirinya apa yang diberi oleh tangan kanannya.
7. Orang yang bermunajat kepada Allah sambil berlinangan air matanya.

[Hadis Sahih Riwayat Bukhari (No. 629) dan Muslim (No. 1031)]


Huraian Al-Hadis:

Di dalam hadis di atas baginda Rasul (sallallahu alaihi wasalam) menjelaskan tentang tujuh golongan manusia yang berada di bawah naungan ‘arasy Allah pada Hari Kiamat. Mereka akan terhindar dari terik panas matahari dan bahangnya ketika di Padang Mahsyar. Merekalah golongan yang akan mendapat kebahagiaan di akhirat kerana memiliki salah satu daripada tujuh sifat di bawah ini:


1. Imam yang adil:

Yang dimaksudkan dengan imam di sini ialah sultan atau hakim atau qadi atau siapa saja yang menjadi pemimpin samada pemimpin ‘am atau pemimpin khas. Adapun yang dimaksudkan dengan adil ialah menghukum dengan adil dan saksama, tidak berdasarkan hawa nafsu dan tidak pula menerima rasuah.

Oleh itu seorang pemimpin mestilah bersih daripada sifat zalim sebab tugas utama para pemimpin adalah untuk membasmi kezaliman. Barangkali inilah yang diisyaratkan oleh Allah dalam ayat berikut:

قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِي قَالَ لاَ يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ

Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku akan menjadikanmu imam bagi seluruh manusia” Ibrahim berkata: “(Dan saya mohon juga) dari keturunanku”, Allah berfirman: “JanjiKu (ini) tidak mengenai orang-orang yang zalim”. (Al Baqarah 2:124)


2. Pemuda yang taat beribadat kepada Allah sejak kecil:

Remaja yang taat beribadah kepada Allah sejak umur muda lagi. Mereka telah dilatih untuk menghormati hukum-hakam Allah sejak kecil iaitu dengan melaksanakan suruhanNya dan menjauhi laranganNya. Golongan inilah yang boleh diharapkan untuk menjadi pemimpin masa depan yang akan membawa negara ke arah negara makmur yang diredhai Allah (Baldatun thaiyibatun Wa Rabbun Ghafuur).

Allah SWT memuji pemuda-pemuda Ashhaabul Kahfi dalam firmanNya:

إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى

Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk. (Al-Kahfi 18:13)

Dan setelah kita memahami akan hakikat ini maka sangat tepatlah sekiranya pengisian program “Rakan Muda” (dan "Program Latihan Khidmat Negara" serta program-program lain yang melibatkan belia di negara ini-tambahan penulis) lebih mengarah kepada pembentukan muda-mudi yang bertaqwa kepada Allah. Mereka bukan hanya mahir dalam bidang sains dan teknologi tetapi juga patuh dan taat kepada undang-undang Allah.


3. Lelaki yang terpaut hatinya dengan masjid:

Masjid adalah tempat yang paling mulia di atas muka bumi. Sebaliknya tempat yang paling buruk di atas muka bumi adalah pasar. Ini memberi gambaran bahawa orang yang hatinya selalu teringat kepada masjid adalah orang yang soleh. Mereka pastikan setiap hari dapat melakukan solat wajib secara berjamaah. Ini tidak bermakna setiap waktu mereka mesti berada di dalam masjid.

Diriwayatkan bahawa baginda Rasul (sallallahu alaihi wasalam) segera membina pasar Madinah setelah beliau selesai membina masjid Nabawi. Ini memberi gambaran bahawa manusia yang sempurna mestilah membuat keseimbangan antara keperluan jasmani dan rohani. Fungsi masjid bukan hanya untuk beribadat kepada Allah dalam pengertiannya yang khusus tetapi juga berperanan untuk mencerdaskan minda umat melalui majlis ilmunya dan memperkukuh perpaduan umat melalui solat berjamaahnya dan lain-lain lagi.


4. Dua orang yang saling kasih-mengasihi kerana Allah:

Islam adalah agama yang berteraskan cinta kepada Allah dan bersama-sama mengharap keredhaan Allah berdasarkan kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam). Oleh yang demikian, jika persahabatan kita dengan seseorang berdasarkan perinsip itu maka kita akan mendapat kemuliaan di sisi Allah kelak di akhirat.

Sikap saling kasih-mengasihi kerana Allah hendaklah dibuktikan dengan menghidupkan semangat amar ma’ruf nahi munkar terhadap sesama kita. Sifat saling nasihat-menasihati dan saling tegur-menegur kepada kebenaran mestilah diwujudkan untuk bersama-sama mentaati ajaran Allah. (Watawaashau Bil Haq).

Atas dasar ini, kita dilarang oleh agama menjalin persahabatan sesama kita hanya atas dasar kepentingan dunia semata-mata umpamanya menjalin hubungan dengan seseorang hanya ingin mendapat kemudahan duniawi di balik persahabatan itu.


5. Lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik, lalu dia berkata: “Aku takut kepada Allah”.

Wanita selalu diperalat oleh syaitan untuk menggugat ketaqwaan seorang lelaki. Lebih-lebih lagi kalau mereka yang mengajak lelaki membuat perkara serong. Sungguh banyak lelaki yang goyah imannya jika mendapat pelawaan tersebut kecuali mereka yang mendapat rahmat dan perlindungan Allah.

Lelaki yang benar-benar takut kepada Allah akan menolak rayuan syaitan betina itu atau sebaliknya, wanita yang benar-benar bertaqwa akan menolak godaan syaitan jantan tersebut. Mereka akan berkata: “Aku takut kepada (azab) Allah”.

Manusia jenis inilah barangkali yang ingin digambarkan oleh Allah SWT melaui kisah Nabi Yusuf dengan perempuan yang dikenali dengan nama Zulaikha:

قَالَ رَبِّ السِّجْنُ أَحَبُّ إِلَيَّ مِمَّا يَدْعُونَنِي إِلَيْهِ
وَإِلاَّ تَصْرِفْ عَنِّي كَيْدَهُنَّ أَصْبُ إِلَيْهِنَّ وَأَكُن مِّنَ الْجَاهِلِينَ


Yusuf berkata: Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan daripadaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh”. (Yusuf 12:33)


6. Orang yang bersedekah secara sembunyi-sembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberikan oleh tangan kanannya.

Rasul (sallallahu alaihi wasalam) menggambarkan manusia yang ikhlas ketika bersedekah seperti tangan kanan. Walaupun jaraknya sangat dekat dengan tangan kiri (manusia) namun dia tidak mengetahui apa yang tangan kanan nafkahkan.

Gambaran ini menyatakan kepada kita bahawa manusia yang ikhlas beramal semata-mata mengharap keredhaan dan ganjaran daripada Allah, bukan sanjungan dan pujian manusia lain. Ini tidak bermakna kita tidak dibolehkan bersedekah secara terang-terangan tetapi bersedekah secara senyap adalah lebih baik daripada terang-terangan sebab ia lebih selamat daripada riya' dan takabbur.

Ini sebagaimana firman Allah:

إِن تُبْدُواْ الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاء فَهُوَ خَيْرٌ لُّكُمْ

“Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikannya itu lebih baik bagimu”. (Al-Baqarah 2:271)


7. Orang yang bermunajat kepada Allah sambil berlinangan air matanya.

Rasul (sallallahu alaihi wasalam) menyatakan dalam bahagian ini betapa besarnya ganjaran yang Allah akan berikan kepada orang yang menangis kerana takut kepada azab Allah. Lebih-lebih lagi ketika sujud atau sedang membaca Al-Quran atau ketika berdoa memohon ampun kepada Allah pada dua pertiga malam atas dosa masa silam.

Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam) pernah menggambarkan hakikat ini di dalam hadisnya:

Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka, iaitu mata yang menangis kerana takut (azab) Allah dan mata yang berjaga ketika berjihad pada jalan Allah”.

[Hadis Riwayat Tarmidzi]


Sumber:


7 Golongan Yang Bahagia di Akhirat oleh Ustaz Dr. Abdullah Yasin

Friday, May 21, 2010

SOAL JAWAB: Azan dan Iqamah

SOALAN: Bagaimanakah tatacara azan dan iqamah?

JAWAPAN:

Sebelum kita pergi ke tatacara azan dan iqamah, ada baiknya kita mengetahui beberapa perkara berkenaannya.

Firman Allah s.w.t:

"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata: "Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?" (Surah Fushshilat:33)

Aisyah radhiyallahu 'anha menafsirkan ayat,"…orang yang menyeru (manusia) kepada Allah", dengan katanya "Dia ialah muazin. Ketika dia mengucapkan, "Hayya 'alash shalaah" maka dia sedang menyeru kepada Allah."

Ibnu Umar dan Ikrimah juga menafsirkan ayat tersebut dengan muazin, meskipun ayat tersebut umum mengena pula kepada orang yang mengajak manusia kepada Allah (iaitu pendakwah).


Ta'rif (Pengertian) Azan

Bahasa: Memberitahu sesuatu.

Istilah: Pemberitahuan tibanya waktu shalat dengan lafaz tertentu yang disyari'atkan.


Hukum Azan

Azan hukumnya fardhu kifayah bagi laki-laki untuk shalat lima waktu; bukan bagi wanita. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w, "Fa idzaa hadharatish shalaatu fal yu'adzdzin lakum ahadukum…." (ertinya: Jika tiba waktu shalat, maka hendaknya salah seorang antara kamu mengumandangkan azan….").


Keutamaan Azan

1. Sebagai orang yang paling panjang lehernya pada hari kiamat (Shahih Muslim no.
387).

Tentang maksud "paling panjang lehernya" ada beberapa tafsiran, antaranya:
a) Lehernya paling panjang di antara manusia yang lain (secara hakiki)
b) Sebagai orang yang paling rindu mengharap rahmat Allah
c) Sebagai orang yang mendapat banyak pahala
d) Ketika manusia dibanjiri oleh keringat mereka sampai ada yang tenggelam oleh keringatnya, maka para muazin dipanjangkan lehernya sehingga tidak tenggelam, wallahu a'lam. (rujuk Syarah Shahih Muslim).

2. Mengusir syaitan. Rasulullah s.a.w. bersabda, "Apabila azan dikumandangkan, maka syaitan akan kabur sehingga membuang angin agar tidak mendengar suara azan…." (hadith riwayat Muslim)

3. Tidak ada sesuatu pun yang mendengarkan suara azan, kecuali akan menjadi saksi untuknya. (Shahih Bukhari no. 609)

4. Akan diberi ampunan sejauh terdengar suara azannya. Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya bershalawat kepada shaf terdepan. Muazin akan diampuni dosanya sejauh terdengar suaranya, akan dibenarkan oleh yang mendengarnya baik sesuatu yang basah maupun yang kering, dan dia akan memperolehi pahala seperti pahala orang yang shalat bersamanya." (hadith riwayat Ahmad dan Nasa'i, Shahih At Targhib wat Tarhib 1/99)

5. Nabi s.a.w mendoakan ampunan untuknya.

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Imam adalah penjamin. Muazin adalah seorang yang diamanahi. Ya Allah, tunjukilah para imam dan ampunilah para muazin." (hadith riwayat Abu Dawud, Tirmidzi, dan Ibnu Khuzaimah, Shahihut Targhib 1/100)

6. Menghapuskan dosa dan memasukkan ke surga.

Rasulullah s.a.w bersabda, "Tuhanmu kagum kepada pengembala kambing yang berada di atas bongkahan bukit. Dia menyerukan shalat dan melakukannya. Allah Azza wa Jalla berfirman, "Lihatlah kepada hamba-Ku ini; dia melakukan azan dan iqamat, dia takut kepada-Ku. Sungguh, Aku ampuni hamba-Ku dan Aku akan memasukkannya ke syurga." (hadith riwayat Abu Dawud dan Nasa'i, rujuk Ash Shahihah no. 41)


Tatacara Azan

Tatacara azan ada beberapa cara:

1. Menyebut empat kali takbir yang pertama dan menyebut dua kali untuk kalimah-kalimah selepasnya, sehingga jumlahnya 15 kalimah, iaitu:

Allahu akbar 4X
Asyhadu allaailaahaillAllah 2X
Asyhadu anna muhammadar rasuulullah 2X
Hayya ‘alash shalaah 2X
Hayya ‘alal falaah 2X
Allahu akbar 2X
Laailaahaillallah 1X

Tatacara seperti ini berdasarkan hadits Abdullah bin Abdi Rabbih yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Dawud, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah, dan Tirmidzi. Tirmidzi berkata tentang hadits tersebut, "Hasan shahih."

2. Menyebut empat kali takbir dan mentarji’ dua kalimah syahadah (mengulang dua kalimah syahadah dengan suara keras setelah sebelumnya dengan suara rendah), sehingga jumlahnya 19 kalimah. Tatacara seperti ini berdasarkan hadits Abu Mahdzurah, bahawa Nabi s.a.w mengajarkan azan kepadanya dengan jumlah 19 kalimah (hadith riwayat lima ahli hadits, Tirmidzi berkata, "Hadits hasan shahih.")

Contoh dengan tarji' adalah mengucapkan “Asyhadu alllaailaahaillallah, asyhadu allaailaahaillallah, asyhadu anna muhammadar rasuulullah, asyhadu anna muhammadar rasuulullah" dengan suara rendah, kemudian diulangi lagi dengan suara keras.

3. Menyebut dua kali takbir dengan mentarji’ dua kalimah syahadah, sehingga jumlahnya 17 kalimah iaitu:

Allahu akbar 2X
Asyhadu allaailaahaillAllah 2X
Asyhadu anna muhammadar rasuulullah 2X
(Lalu dua kalimah syahadah di atas ditarji’).
Hayya ‘alash shalaah 2X
Hayya ‘alal falaah 2X
Allahu akbar 2X
LaailaahaillAllah 1X

Tatacara seperti ini berdasarkan hadits Abu Mahdzurah yang diriwayatkan oleh Muslim.


Syarat Azan dan Muazin

Syaikh Dr. Sa'id Al Qahthani menyebutkan syarat-syarat azan sebagaimana berikut:
1) Lafaznya tertib (berurutan)
2) Tidak dipisah lama antara lafaz-lafaz azan.
3) Sudah masuk waktu shalat.
4) Dalam mengucapkan, tidak sampai lahn (salah) yang mengubah erti, seperti memanjangkan kata "akbar" menjadi "akbaaar".
5) Mengeraskan suara, yakni tidak perlahan yang hanya terdengar oleh diri sendiri.

Manakala syarat muazin adalah:
1) Dilakukan oleh seorang; tidak dua orang.
2) Muslim
3) Mumayyiz (sudah mampu membezakan atau dapat memahami pembicaraan orang lain dan menjawabnya), usianya 7 tahun ke atas.
4) Berakal
5) Laki-laki
6) Adil; bukan orang fasik.

Catatan: Namun jika wanita melakukan azan di tengah-tengah kaum wanita, maka menurut pendapat yang rajih, hal ini disyari'atkan. Inilah pendapat Imam Syafi'i, Ahmad, Ibnu Hazm dan sebagainya. Tentunya tanpa mengeraskan suara dan bukan di tempat tinggi (seperti di menara).


Adab Bagi Muazin


1) Dianjurkan azan dalam keadaan suci dari hadats kecil dan besar, kerana azan merupakan dzikr.

2) Hendaknya muazin melakukan azan karena mengharap wajah Allah, oleh kerana itu hendaknya dia tidak meminta upah.

3)
Hendaknya muazin berdiri dan menghadap kiblat, kerana mu'azzin Rasulullah s.a.w. ketika azan selalu menghadap ke kiblat.

4)
Hendaknya muazin ketika sampai pada kalimah “Hayya ‘alash shalaah” menoleh ke arah kanan (tanpa memutarkan badannya) dan pada kalimah “Hayya ‘alal falaah” menoleh ke arah kiri. Demikianlah yang dilakukan Bilal, muazin Rasulullah s.a.w.

5) Hendaknya muazzin memasukkan jari telunjuk ke dalam telinga, berdasarkan
hadits Bilal juga.

6) Disyari’atkan mencari mu'azzin yang suaranya bagus, sebagaimana Rasulullah s.a.w memilih Abu Mahdzurah sebagai muazin kerana suaranya yang bagus.

7) Disyari'atkan atau disunnahkan pada saat hujan lebat atau dingin sekali, baik
ketika perjalanan mahupun tidak, bagi mu'azzin mengumandangkan "Shalluu fii buyuutikum" atau "Shalluu fii rihaalikum" atau "Ash Shalaatu fir rihaal" (ertinya sama, yaitu: "Shalatlah di rumah-rumah kamu.") sebagai ganti "Hayya 'alash shalaah". Ini berdasarkan hadits Ibnu Umar, bahawa Nabi s.a.w memerintahkan muazin menyerukan "Shalluu fii rihaalikum" pada malam yang dingin atau malam yang sedang turun hujan ketika perjalanan." (hadith riwayat Bukhari dan Muslim).

Letaknya ucapan tersebut pada tiga tempat:

a) Di dalam azan menggantikan hayya 'alash shalah. Berdasarkan hadits Ibnu Abbas yang diriwayatkan oleh Bukhari.

b) Setelah selesai azan. Imam Nawawi berkata, "Akan tetapi, mengucapkannya setelah azan lebih baik, agar susunan azan seperti biasanya."

c) Di dalam azan setelah mengucakan hayya 'alal falaah (dengan menyebut
hayya 'alash shalah sebelumnya). Hal ini berdasarkan hadits seseorang yang berasal dari daerah Tsaqif, bahwa dia mendengar muazin Nabi s.a.w pada malam hari yang sedang turun hujan ketika perjalanan mengucapkan, "Hayya 'alash shalaah, Hayya 'alal Falah, kemudian, "Shalluu fii rihaalikum." (hadith riwayat Nasa'i)


Kekeliruan Dalam Azan

1) Azan menggunakan radio atau kaset.

2) Mendahului azan dengan bacaan-bacaan tertentu, seperti bacaan "Innallaha wa malaa'ikatahu yushalluuna 'alan nabi…." atau "Subhaanallah,walhamdulillah…."

3) Mendahului azan dengan memukul beduk. Padahal Rasulullah s.a.w menolak memanggil manusia untuk shalat dengan cara seperti yang dilakukan oleh orang Yahudi yang memakai trompet, orang Nasrani yang memakai lonceng dan orang Majusi yang memakai api.

4) Mengumandangkan azan secara duet.

5) Melafazkan puji-pujian antara azan dan iqamat. Hal ini sudah tentu mengganggu
orang yang sedang shalat sunat, padahal haram hukumnya mengganggu orang yang sedang shalat. Sungguh aneh, ketika anak kecil dimarahi bersuara keras di masjid ketika ada yang sedang shalat, namun orang yang melafazkan puji-pujian dibiarkan, fa innaa lilahi wa innaa ilaihi raaji'uun.


Rujukan

1. Tafsir Al Qur'anil 'Azhiim (Ibnu Katsir),
2. Al Adzaan wal Iqamah (Dr. Sa'id Al Qahthani),
3. Fiqhus Sunnah (Sayyid Sabiq),
4. Syarh Shahih Muslim (Imam Nawawi),
5. Azan, Keutamaan, Ketentuan dan 100 Kesalahan (Abu Hazim Muhsin)
6. Dan lain-lain rujukan.


Sumber

1.Fiqih Azan oleh Marwan bin Musa (http://tarbeyah.blogspot.com/2009/07/fiqih-azan.html)


Bacaan Tambahan

Azan dan Iqamah: Hukum dan Kelebihannya oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Bahagian 1
Bahagian 2
Bahagian 3
Bahagian 4
Bahagian 5
Bahagian 6

Slot Baru

Insya Allah, saya akan memulakan satu slot baru dalam blog saya iaitu SOAL JAWAB. Akan tetapi, saya tidak bermaksud untuk memberikan perkhidmatan menjawab kemusykilan kerana pengetahuan saya yang terhad. Slot ini lebih kepada perkongsian soalan-soalan yang ditanya kepada saya oleh orang-orang di sekeliling saya berkaitan pelbagai bidang terutama farmasi dan al-Quran yang sebahagian jawapannya saya rujuk kepada mereka-mereka yang lebih arif.

Persoalan yang diutarakan, ada yang mampu saya jawab secara terus dan ringkas dan ada pula yang memerlukan rujukan yang teliti terutamanya apabila berkaitan dengan agama kerana pendidikan rasmi saya bukan dalam bidang agama. Sebelum ini, saya sekadar menjawab lebih kurang dan banyak yang tidak tahu. Jadi, slot ini diwujudkan untuk membantu saya membuat kajian yang lebih bersungguh dalam menjawab soalan-soalan orang yang bertanya. Wallahu a'lam.

Wednesday, May 19, 2010

Jangan Pernah Merasa Jemu

Sudah lama saya tidak menulis di blog. Banyak perkara dalam senarai menunggu yang ingin ditulis tapi entah kenapa semangat menulis tidak ada. Tambahan pula, sambungan Internet agak bermasalah bila berada di rumah. Walaupun sedang bercuti, ada beberapa perkara penting yang perlu saya selesaikan. Moga Allah permudahkan dan beri kekuatan serta semangat untuk menghadapi hari-hari yang mendatang.

Jangan pernah merasa jemu dengan Allah. Inilah pengajaran yang saya terima sewaktu berada di Tanah Suci beberapa minggu yang lalu. Dalam menghadapi apa sahaja dugaan dalam hidup kita, sama ada sebagai seorang anak, abang atau adik, saudara, kawan, jiran, suami atau isteri, kita ingatlah dua perkara: SABAR DENGAN DUGAAN dan JANGAN JEMU DENGAN ALLAH.

Saya ambil contoh keluarga. Semua orang nak keluarga bahagia, berkasih sayang, hormat menghormati, hidup dengan amalan Islam TETAPI tidak semua orang sama. Ada yang ditakdirkan lahir dalam keluarga yang sederhana pengamalan Islamnya atau mungkin kurang. Bila mana Allah pilih kita melalui didikan dari DIA, syukurlah banyak-banyak dan cubalah sedaya upaya untuk mendidik keluarga. Dalam tempoh mendidik, kita kena banyak SABAR.

Memang diakui, kita manusia ada sifat nak marah, sakit hati, terkilan atau sedih melihat keadaan yang tidak seperti yang kita hajati. Tapi syukurlah sebab Allah pilih kita untuk merasa sedikit dari apa yang dihadapi oleh para Rasul alaihimussolatuwassalam. Apa perasaan Nabi Nuh bila anak dia tak mahu beriman. Apa perasaan Nabi Lut bila isteri dia tidak bersama taat pada Allah. Apa perasaan Nabi Ibrahim melihat keadaan ayah dia. Bayangkan kita berada di tempat mereka. Siapa yang tidak sedih. Allah bawa cerita-cerita tersebut supaya kita beringat.

“Oleh itu berikanlah sahaja peringatan kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya, kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang pemberi ingatan; Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu).” (Surah al-Ghasyiah, Surah ke-88, Ayat 21-22, Juzu' 30 m/s 592).

Barangkali kita rasa seperti nak berputus asa bila kita telah usahakan perubahan diri atau orang lain tapi hasilnya tidak seperti yang kita harapkan. Fikiran masih berserabut. Jiwa bercelaru. Hati rasa kosong. Jika ada, ingatlah...

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)Ku dan beriman kepadaKu, agar mereka beroleh kebenaran." (Surah Al-Baqarah, Surah ke-2, Ayat 186, Juzu' 2, m/s 28).

Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan (solat) itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu'. (Surah Al-Baqarah, Surah ke-2, Ayat 45, Juzu' 1, m/s 7)

Dan tidaklah sama kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, sehingga orang yang ada rasa permusuhan antara kamu dan dia akan seperti teman yang setia. Dan (sifat-sifat yang baik itu) tidak akan dianugerahkan kecuali kepada orang-orang yang sabar dan tidak akan dianugerahkan kecuali kepada orang-orang yang mempunyai keberuntungan yang besar. (Surah Fussilat, Surah ke-41, ayat 34-35. Juzu' 24, m/s 480)

Yakinlah, kalau tidak esok atau lusa, mungkin 5 atau 10 tahun lagi mereka akan ingat nasihat-nasihat kita dan sedar. Mungkin waktu tu kita sudah tiada lagi di bumi Allah ini dan zuriat mereka pula yang akan membimbing mereka untuk insaf. Membaca kisah-kisah insan yang sedar dari kesilapan lalu seperti
Malek Noor, Prof Muhd Kamil Ibrahim, dan Karim (sahabat Ustaz Hasrizal) memberi kita kekuatan insya Allah untuk terus berusaha.

Jangan Jemu

Seperkara lagi dalam usaha kita mendidik, jangan pernah rasa jemu untuk minta dan mengadu kepada Allah. Manusia, kalau kita selalu minta tolong, lama-lama mereka akan jemu. Tapi ALLAH tidak sekali-kali. Semakin kita minta, semakin kita rasa dekat dengan ALLAH. Saya teringat kata-kata guru saya di UIA,
Ustaz Hasbullah. Bagi seorang wanita yang terlanjur, dihalau oleh keluarga, dipandang hina oleh masyarakat, di saat hampir semua orang menolaknya, sehingga tidak ada arah lagi yang boleh dituju, tapi ALLAH yang Maha Pengasih, Penyayang dan Maha Mendengar rintihan hamba-hambaNYA yang benar-benar insaf dan nak kembali kepada DIA akan tetap sudi mengampunkan dosa-dosanya dan menerimanya. Itulah ALLAH s.w.t...

"Wahai manusia! Kamulah yang memerlukan Allah, dan Allah Dialah yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu), Maha Terpuji." (Surah Faatir, Surah ke-35, Ayat 15, Juzu' 22, m/s 436)

Moga kita tidak lupa kata-kata Nabi s.a.w. “Wahai manusia, lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehingga kamu jemu. Amalan paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).