Saturday, May 9, 2009

Kembara Pantai Barat 2 - Misi Ilmu dan Islah

"Dio tok gi smaye jumaat ustaz," Awang (bukan nama sebenar) menjawab pertanyaanku. Kami dalam perjalanan ke masjid untuk solat Jumaat pada waktu rehat tengahari. Selepas beberapa kali bertembung di kilang, Awang dan rakan-rakannya terus menerus memanggilku ustaz. Agaknya sebab aku dari UIAM.

Kelibat rakan-rakannya di pondok pengawal membuatkan aku tertanya-tanya kerana waktu tu sudah hampir masuk waktu Jumaat. Rupa-rupanya, apa yang diguraukan waktu rehat pagi tadi memang benar. "Dio jenis tok maye nii...lamo doh tok kenal maye," guraunya. "2 kali doh tok gi jumaat ni, kali ni kena gi la. Dok leh lebih sapa 3 kali," tambahnya dalam loghat Kelantan selepas mengetahui aku ada asal usul Kelantan.

Aku terus memandu sambil mengingati perbualan pagi tadi itu. Berkerut juga dahi dibuatnya.

Surau di kilang HOE memang kecil. Hanya mampu memuatkan 2-3 orang jika berjema'ah. Alhamdulillah, sempat juga berjemaah dengan beberapa staff. Kalau di Ain Medicare Kota Bharu, staff atasan pun turun berjemaah berdasarkan apa yang diceritakan oleh kawanku Raja yang membuat latihan industri di sana. Jadi, suraunya mesti agak besar dan selesa.

"Agaknya dorang solat di luar," aku cuba bersangka baik. Wallahu a'lam. Masih mengkaji dan melihat-melihat dalam tempoh seminggu yang lepas. Kebanyakan pekerja bawahan datang dari Sabah, majoriti Islam. Ada segelintir orang tempatan. Orang-orang atas pula banyak dari kalangan non-Muslim bangsa Cina.

Mungkin ini peluang dakwah yang baik. Sebelum ini, kita sentiasa berada di kalangan rakan-rakan yang komited dengan tuntutan syara'. Tiba masanya kita terjun dalam masyarakat dan merasai sebahagian realiti kehidupan. Harap-harapnya dapat menyumbang sesuatu walaupun sedikit. Yang pastinya, mereka senang didekati. Itu akan menjadi suatu kelebihan yang baik sebagai permulaan.

Keadaan ni kalau nak dibandingkan dengan apa yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. di Thaif bagai langit dan bumi. Jiwa besar pendakwah yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. sangat mengagumkan. Datang kita bersambut dan dilayan. Tinggal lagi nak sampaikan mesej Islam secara berhikmah. Namun, datangnya Rasulullah s.a.w. ke Thaif disusuli dengan penghinaan dan luka darah. Moga kita terus dapat mendidik diri untuk merasai pahit manis perjuangan menegakkan Islam.

Wednesday, May 6, 2009

Kembara Pantai Barat

“Betul ke ni?” terpinga-pinga aku membaca mesej dari nombor yang tak dikenali yang meminta aku mengesahkan untuk menerima atau tidak tawaran HOE Pharmaceuticals Sdn. Bhd. untuk latihan industri. Sambil terhuyung hayang dalam lori yang membawa aku dan kawan-kawan, aku masih tak mempercayainya. “Tersilap faham kot”. Ketika itu, kami sedang dalam perjalanan ke sekolah menengah yang menempatkan anak-anak orang asli untuk sesi motivasi. Program ini adalah tambahan dalam aturcara COHSAS 2009 (Community and Health Services for Aborigines) anjuran Biro Kebajikan, Persatuan Pelajar-Pelajar Farmasi UIAM.

Akhirnya, selepas pulang dari COHSAS, aku mengesahkan dengan Kak Yani, PA Dr Kausar Ahmad iaitu Course Coordinator bagi subjek tersebut dan Miss Mala, Assistant Human Resource Manager, HOE. Syukurlah, memang benar aku berjaya. Rasa terkilan juga apabila 2 orang lagi rakanku, Syafiq dan Latfi tidak berjaya mendapat tempat. Mujurlah Ejad diterima sekali. Kalau tak, seorang diri la jawabnya dari UIAM. Ada 5 lagi pelajar daripada IPT lain, 4 UKM dan seorang CUCMS. 7 orang kesemuanya. Aku yang melapor diri paling awal, 4 Mei yang lalu. UKM akan masuk minggu depan, 11 Mei, Ejad 25 Mei dan CUCMS 1 Jun.

Aku menetap di Shah Alam buat sementara waktu bersama adik dan kawan-kawan serumah sewanya. Akhirnya, dapat juga aku datang ke rumah sewa mereka. Sudah lama memendam hajat untuk datang.

Hari pertama

Memandangkan aku masih tak kenal sangat jalan, adik tolong hantarkan. Miss Mala cuti. Jadi, sampai-sampai di HOE, selepas menunggu agak lama di pondok pengawal, aku menunggu lagi di pejabat pentadbiran. Akhirnya Mr David, Assistant Factory Manager memperkenalkan dirinya dan meminta seorang staff, Kak Hasliza (penyelia pengeluaran) untuk membawa aku ke Bahagian Pengeluaran (Production Department). Tiba di situ, terus sahaja aku diperkenalkan kepada Pengurus Pengeluaran, Mr Tan Koh Ho yang juga merupakan salah seorang daripada 3 (sahaja!) ahli farmasi di syarikat tersebut. Menyusul sesi ta’ruf ialah Aqilah (eksekutif pengeluaran, muda setahun dari aku) dan Kak Farhana (kerani kanan pengeluaran, tua dua tahun dari aku). 2 orang ni yang akan banyak membimbing aku di jabatan pengeluaran. Selepas itu, Mr Tan terus sahaja meletakkan aku di bahagian pembungkusan. Senyum sajalah kepada makcik-makcik dan adik-adik dan yang sebaya dengan aku.

“You boleh bagi training kan untuk public speaking. Boleh buat kat sini tak?” Tanya Mr Tan. Tergamam aku. “Untuk staff ke?” aku buat-buat tak tahu pula (untuk staff la, untuk siapa lagi muzani oi). Memang aku ada nyatakan dalam resume, aku pernah memberi latihan pengucapan awam…tetapi itu untuk pelajar sekolah. Kalau untuk staff ni, rasa macam berat juga. Bukannya tahu sangat pun. Lagi-lagi dalam English, berbelit nanti lidah. “Will you accept this challenge?” pinta Mr Tan. “I’ll try to look at the materials that I have 1st”. Rasa nak cabar diri untuk buat benda baru tetapi bimbang juga kalau tak kesampaian pula nanti. Sampai harini tak buat keputusan lagi….

Lepas tu, aku diberi 2 fail; SOP dan GMP n PIC/S. SOP tu untuk jabatan pengeluaran. Setiap jabatan ada SOP masing-masing. Ada juga SOP yang sama tetapi untuk beberapa jabatan. Memang tebal betul. Sampai mengantuk aku membelek satu persatu. Untuk hari pertama ni, aku diminta untuk memahami tentang cream, ointment, gel, lotion; pendek kata semua semi-solid dosage forms dan type of water for pharmaceuticals.

Hari ke-2

Hari untuk mesin dan peralatan yang digunakan. Antaranya Ink Jet Coder Imaje untuk mencetak maklumat seperti expiry date, manufacturing date dan batch number, Schinder Shrinkwrap Tunnel untuk membungkus plastic nipis lutsinar kat luar kotak tu dan Labelling Machine. Pastu ada juga tengok packing procedures dalam SOP.

Tiba-tiba Mr Tan panggil aku dan bagi satu fail tentang GMP examination. Dia minta aku review soalan-soalan yang ada dan tengok kesesuaian. Kalau nak cadangkan soalan baru atau format baru pun boleh. “Jadi penggubal soalan ke aku ni?” bisik diri sendiri.

Hari ke-3

Aku diperkenalkan kepada Abg Saiful, (seorang lagi eksekutif pengeluaran). Dia menjaga bahagian dispensing dan manufacturing. Walaupun nampak pendiam, tetapi sangat bagus respon pada soalan bila kena pada tempatnya. Aku berpeluang untuk masuk ke bahagian dispensing dan manufacturing tetapi cuma penerangan ringkas sahaja. Minggu depan akan lebih diperincikan.

Hari ke-4

Hari untuk documentation yang ada di production department. Weekly & Monthly Production Schedule menyenaraikan jadual pengeluaran produk-produk untuk seminggu dan sebulan, macam jadual kelas la. Jadual ni disusun oleh Production Planning & Inventory Control Department (PPIC). Job Sheet pula menyenaraikan semua bahan-bahan mentah dan pembungkusan untuk satu-satu produk sekali dengan berat, kuantiti, nombor stok dan lain-lain. Batch Manufacturing Record (BMR) amat penting kerana BMR akan dirujuk ketika audit. Packing Records dan IPQC for Packing adalah berkaitan dengan pembungkusan produk.

Hari ke-5.

Belajar tentang salah satu kerja dalam bahagian pengeluaran iaitu Reconciliation dan Redressing. Reconsiliation ni macam pengiraan semula. Bahan-bahan seperti label, PIL (patient information leaflet), meditag yang terlebih akan dibungkus balik dan dihantar untuk reconciliation. Redressing ni pula untuk barang-barang yang asalnya untuk pasaran Malaysia, tetapi dibuat pengubahsuaian untuk pasaran negara lain, biasanya melibatkan label luar.

Hari ni juga berpeluang untuk solat Jumaat di Masjid Bandar Sultan Sulaiman. Besar juga masjidnya. Pertama kali merasai pengalaman solat Jumaat pada hari ‘bekerja’. Sempat juga berkenalan dengan lebih dekat dengan Hamka, Hanif dan Salam, staff yang menumpang kereta aku untuk ke masjid.

Beginilah sedikit sebanyak sorotan minggu pertama latihan industri aku. Terima kasih

Pertemuan Yang Sejahtera

“Camni aku ye,” aku membelek gambar-gambar lama waktu kecil dahulu. Banyak juga yang dikirim oleh Che’ Su. Tak sangka pula gambar-gambar zaman kanak-kanak aku lebih banyak berada dalam koleksi ibu saudaraku. Mencuit hati juga melihat gambar mak dan abah waktu muda. Itulah manusia, kecil, remaja, dewasa, tua…kitaran hidup yang pasti dilalui oleh semua insan.

“Gini la Kak Siti, kalau dibuatnya sakit atau demam…tak tidur la kita sampai ke pagi”, rungut mak sepupuku kepada mak tentang anak-anak kecil mereka. Aku tersenyum. Mak lebih memahami. Dia menjaga 5 orang anak lelaki dan itu pastinya bukan tugas yang senang.

Ya Allah, kami adik-beradik memang nakal habis masa kecil-kecil. Sampai ke harini aku masih geram bila teringat bagaimana kami berlima boleh menaiki motorboat dan aku mengawalnya bersama dengan seorang lagi orang kampungku yang terkenal dengan penyakit seakan-akan sawan. Seingat aku, waktu tu aku berusia dalam lingkungan 7-10 tahun. Kami langsung tak fikir tentang bimbangnya mak dan abah. Dan aku sedikit pun tak risau dengan adik-adikku yang kecil-kecil lagi.

Firman Allah s.w.t.

“Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur”. (Surah an-Nahl, ayat 78).

Ya…rendahnya, lemahnya kita. Lahir kita kosong. Tidak tahu apa-apa. Setinggi mana pangkat kita, sehebat mana kebolehan kita, itulah kita di kala lahir. Makan disuap, berjalan dipimpin, buang air kecil dan besar dibasuh. Dimandikan. Sakit kita menangis..menangis dan menangis. Nah, di mana sombong hatimu wahai diri. Siapalah kamu waktu itu. Belas kasihan Allah memberi kita ilmu, tahu berdikari, tahu bergerak sana dan sini.

Ibu kita pula tak pernah kenal erti penat. Biar tak tidur, biar tak makan, untuk kita…segalanya dikorbankan.

Duhai apakah gerangan budi bahasa
Bagi insan melahirkan membesarkan
Bercucuran air mata bila mengenangkan
Betapakah besar budi ibunda berikan

Siang malam menderita hingga entah bila
Sungguh besar pengorbanan ibunda berikan

(Petikan lagu Syurga Di Bawah Telapak Kaki Ibu, nyanyian Aishah)

Aku selalu tak tahan mendengar lagu di atas. Sebak. Liriknya cukup menyentuh. Walau apapun latar belakangnya, drama atau sekadar lagu, terlalu dalam maknanya.

24 tahun berlalu…banyak yang berubah. Setiap kali balik cuti, aku perhatikan betul-betul mak dan abah. Aku perhatikan juga gambar-gambar lama. Raut wajah mereka semakin berubah ke usia tua. Bila memikirkan mereka, hati memang selalu sebak. Sebagai anak, terlalu banyak kesilapan yang telah dilakukan. Moga-moga kita jadi anak yang soleh. Mungkin ramai antara kita yang lain perwatakan antara sesama kawan dengan sesama mak ayah. Walau apapun, sesama kawan kita bergurau seadanya, sesama ibu dan ayah kita ukirlah senyum mereka. Biar sejuk hati mereka. Andai mereka telah tiada, istiqamahlah berdoa. Andai kita merasa mereka tidak memahami kita, bersabarlah, jasa mereka terlalu banyak kepada kita. Didiklah mereka perlahan-lahan. Anggaplah semua tu ujian dan peluang yang Allah berikan pada kita untuk berbakti kepada mereka.

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan "ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia.” (Surah al-Isra’, ayat 23).

Rasulullah s.a.w. juga berpesan kepada kita…”Apabila mati anak Adam, terputuslah bagi mereka segala perbuatan mereka melainkan 3 perkara. SEDEKAH JARIAH, ILMU YANG BERMANFAAT DAN ANAK SOLEH YANG MENDOAKAN MEREKA.”

Hanya 3 ini wahai diri. Yang terakhir itulah satu-satunya sumbangan anak kepada ibu dan ayah sebelum tiba saat dan waktu yang berat.

“Dan apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkakala yang kedua), pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dari ibu dan bapanya, dari isteri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya.” (Surah ‘Abasa, ayat 33-37).

Moga hati kita tetap taat atas agama yang suci ini. Kita tidak sempurna, terlalu banyak bergurau, ketawa. Tetapi janganlah kita biarkan umur ini berlalu begitu sahaja kerana sesal pada hari pertemuan denganNya sangat perit dan pedih...jauh dari gelak dan tawa.

“Pada hari yang harta dan anak-anak tidak berguna, kecuali orang-orang yang mengadap Allah dengan hati yang bersih.” (Surah asy-Syu’ara’, ayat 88-89)

“Dan, jika sekiranya kamu melihat mereka, ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin.” (Surah as-Sajdah, ayat 12).


Saturday, May 2, 2009

Terima Kasih Semua

"Alhamdulillah...lulus semua". Daripada musim peperiksaan lagi aku tak dapat nak mengelak perasaan cuak. Dah bermacam-macam nasihat dan motivasi diberikan kepada diri sendiri tetapi rasa takut tu tetap ada. Walaupun hanya keputusan peperiksaan, semester ni amat penting bagi aku. Mengharungi semester penentuan kadang-kadang membuat aku tertekan. Bukan sekadar berjuang untuk lulus atau gagal, tetapi untuk melayakkan diri ke tahun akhir dan sekaligus memberi kesan kepada beberapa perkara penting yang lain.

Masih segar dalam ingatan ketika melihat keputusan peperiksaan Semester I 08/09. Terkedu, rasa macam pucat lesi muka ni. Aku seolah-olah berputus asa dengan Bachelor of Pharmacy. Tambah-tambah ketika itu sebagai Presiden IPhA. Malunya tak terkira. Dalam keadaan terkejut, sedih dan hampir putus asa begitu, aku paksakan diri ke Shah Alam untuk hadir ke mesyuarat MyPSA ke-3 di UiTM bersama-sama Syafiq (Presiden IPhA sekarang). Berjumpa rakan-rakan (Iqa, Nali, Shifa' dan Apip yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut), berjalan-jalan di Masjid Negeri Selangor, ronda-ronda Putrajaya (terima kasih Apip). Semua tu sedikit memberi kelegaan kepadaku.

Apabila masuk ke Semester II, aku cuba untuk bersikap biasa dan senyum kepada pensyarah-pensyarah walaupun aku tahu mereka tahu bagaimana prestasi aku. Dalam Examination Board Meeting, setiap subjek akan dibincangkan oleh semua. Gagal dalam beberapa subjek, tambah-tambah lagi sebagai Presiden IPhA, nama aku memang naik dalam mesyuarat. Apapun, tindakan drastik pertama yang aku lakukan atas nasihat Student Affairs Kulliyyah of Pharmacy ialah meletakkan jawatan sebagai Presiden IPhA.

Selepas menyusun study plan yang baru untuk baki 3 semester lagi, aku meneruskan kuliah seperti biasa. Study plan yang baru tidak banyak berubah. Cuma lebih kepada menyusun subjek-subjek yang mesti diulang dalam baki 3 semester tu. Takdir Allah menentukan segalanya. Mujurlah selepas batch aku ni, penyusunan akademik membolehkan aku menyusun subjek-subjek dalam study plan dengan teratur dan tanpa perlu menambah tahun pengajian.

Satu lagi cabaran menjelma apabila aku dimaklumkan oleh Academic Affairs yang jumlah subjek yang boleh diambil bergantung kepada bilangan subjek yang gagal. Dalam peraturan UIA, apabila seseorang pelajar gagal dalam subjek, kita perlu tengok berapa jumlah credit hour terkumpul subjek-subjek tersebut. Ada had dalam jumlah credit hour yang boleh diulang dalam satu-satu semester. Pendek kata, study plan yang telah aku buat tu memerlukan kelulusan kulliyyah. Sekali lagi berdebar aku menunggu keputusan kulliyyah. Tak senang duduk dibuatnya sampai ke petang pada hari mesyuarat tu berlangsung. Keesokan harinya, awal pagi, aku bertembung dengan Dr Razak. Dia menunjukkan isyarat bagus. Syukurlah, Kulliyyah Farmasi telah membenarkan aku meneruskan study plan yang telah dibuat tetapi dengan satu syarat...wajib lulus semua subjek yang diambil untuk semester ni. Kalau tidak, aku terpaksa mengubah semula study plan dan menambah tahun pengajian. Terlalu banyak nasihat yang Dr Razak berikan kepadaku. Insya Allah, ada kesempatan, aku kongsikan dengan semua dalam posting yang lain.

Oleh sebab itulah, apabila melihat keputusan peperiksaan Semester II 08/09 ni, terima kasih yang tak terhingga aku tujukan buat mak n abah yang selalu mendoakan, para pensyarah terutamanya Dr Razak, Dr Haniki, Dr Kausar, Dr Mohamed, Mdm Halimah, Prof Noriah dan Dr Bala yang banyak menasihatkan aku. Juga buat kawan-kawan serumah yang rajin-rajin belajar hingga buat aku tak senang duduk dan rasa hendak belajar juga hehehe; Judin, Shahmin, Solah, Wadi, Raja, Syafiq, Azwin. Terima kasih banyak nasihatkan aku secara langsung mahupun tak langsung. Terima kasih Azwin kerana belanja makan meraikan kelulusan kulliyyah untuk study plan aku. Terima kasih Raja, Syafiq dan Judin, beberapa kali juga study sama-sama. Terima kasih kepada Azreen dan Pidot untuk bimbingan dan motivasi. Terima kasih pada Wan Khairul, beberapa kali tumpang study kat bilik. Terima kasih pada Hong untuk nota respiratory dan Wadi untuk nota urinary dan list tajuk-tajuk penting untuk difokuskan. Terima kasih juga pada Syahrir, Ejad dan Adi Asraf untuk nota-nota pendek. Korang memang layak menjadi pembuat buku teks and top students. Juga terima kasih pada sister-sister untuk nota-nota and nasihat-nasihat. Terima kasih juga kepada junior-junior terutamanya Abu, Amin, Mat Min, Mat Sharil, Din, Tohiri, Fikri, Yob, Helmi yang banyak tolong dalam subjek-subjek 2nd year. Terima kasih kepada Kak Wan dan Kak Syerina yang banyak tolong dalam perkara teknikal macam pendaftaran, jadual exam. Kak Wan ni dah kenal benar nama aku sebab dah selalu ada dalam jadual tambahan.

Kesimpulannya, TERIMA KASIH SEMUA! Moga Allah membalas jasa kalian dengan sebaik-baik balasan.