Saturday, October 15, 2011

Imarah Masjid - Kemaskini


Hari tu aku berkesempatan untuk dengar satu kuliah di Masjid Saidina Umar, Cenderawasih. Bagi aku, cara penyampaian ustaz tu menarik dan boleh digunapakai sebagai salah satu cara mengajar Al-Quran.

Beliau mengajar secara syarahan umum menggunakan Al-Quran yang ditayangkan di skrin besar. Ada 4 sesi: membaca, menerangkan hukum tajwid, terjemahan dan tafsir. Diselit juga Bahasa Arab dalam sesi terjemahan dan tafsir.

Malam itu beliau membaca Surah Al-'Aadiaat. Kuliah beliau menumpukan juzu' amma terlebih dahulu memandangkan itu yang lazim di kalangan masyarakat. Secara purata, bolehlah dikatakan untuk kuliah antara Maghrib dan Isya', dapat menghabiskan sekitar 5 ayat.

Bagi aku, walaupun secara ringkas, maksudnya sampai. Sebelum-sebelum ini, biasanya bila sebut belajar Quran, banyak yang belajar membetulkan bacaan sahaja. Memandangkan ini syarahan umum yang berbentuk kuliah, mungkin ada kekurangan dari segi tidak dapat menumpukan kepada setiap orang.

Namun, cara ini boleh menjadi pendorong kepada mereka-mereka yang mungkin segan untuk belajar Quran kerana telah berusia. Bukan sekadar untuk golongan tersebut, bagi mereka yang sudah mahir pula, aspek terjemahan dan tafsir menjadi keutamaan.

Jangan hanya QARI, tapi TAK MEMAHAMI...

Takziah Buatmu Sahabat

Bersama sahabatku Salahuddin dan Azwadi di tingkat atas Masjidil Haram (April 2010)


Takziah buat sahabatku Azwadi atas pemergian ayah tercinta...tabahkan hati dan redha...

Pesan Rasulullah SAW:

Sebelum Ibrahim menghembuskan nafasnya (yang terakhir) dengan tenang, baginda SAW bersabda sambil menitiskan air mata:

"Sesungguhnya mata ini menitiskan air mata dan hati ini bersedih, (namun) kami tidak akan mengatakan kecuali apa yang diredhai oleh Tuhan kami. Dan sesungguhnya kami merasa sedih kerana berpisah denganmu wahai Ibrahim" (hadith riwayat Al-Bukhari)

"Apabila seseorang telah meninggal dunia putuslah segala amalannya kecuali tiga, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya" (hadith riwayat Muslim)

Thursday, October 6, 2011

Hudud Secara Ringkas




Ust. Zaharuddin Abdul Rahman
B.A ( Hons) , Usuluddin, Universiti Malaya dan
M.A, Shari'ah (Hons) , Univ. Al-Yarmouk, Jordan
PhD, Syariah & Islamic Finance, Univ of Wales, United Kingdom (Candidate)
(click for complete profile)




Ust. Mohd Asri Yusof
Pusat Pengajian Darul Kautsar
(click for website)


Polemik Hudud by Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Setelah beberapa tahun isu hudud tenggelam dalam perbincangan arus perdana, ianya kembali hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini. Kenyataan tegas Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat Menteri Besar Kelantan terhadap komitmen untuk melaksanakan undang-undang hudud telah menimbulkan polemik di kalangan masyarakat. Seiring dengan polemik ini, pelbagai pihak telah mengambil kesempatan dalam isu ini sama ada untuk menimbulkan persoalan atau bantahan mahupun pernyataan sokongan terhadap perlaksanaan undang-undang Hudud di Malaysia.

Melihat kepada isu ini secara lebih jujur dan adil, pandangan yang bersandarkan kepada ruang lingkup undang-undang, realiti masyarakat, bidang kuasa dan kehendak rakyat umum perlu diberikan perhatian serius. Respons yang beremosi dan tidak sensitif tanpa ilmu hanya akan memburukkan lagi keadaan bahkan akan mengakibatkan kesalahfahaman masyarakat pada isu yang sepatutnya diselesaikan secara hikmah.

Seiring dengan hasrat untuk membincangkan isu ini secara ilmiah dan jujur, penulis telah meninjau dan membuat analisis ringkas terhadap kenyataan dan pandangan ahli politik, agamawan, peguam serta orang awam terhadap isu hudud ini. Di samping itu, penulis juga berkesempatan menemubual Pakar Undang-undang Perlembagaan Malaysia, Profesor Andrew James Harding, Profesor Undang-undang Universiti Victoria, Kanada baru-baru ini.

Berdasarkan kepada sorotan literatur, analisis kenyataan dan pandangan pakar perlembagaan ini, penulis merumuskan bahawa perlaksanaan undang-undang Hudud di Malaysia boleh dilaksanakan dengan beberapa pendekatan. Bagi membincangkan topik ini, artikel ringkas ini dibahagikan kepada empat bahagian iaitu pendahuluan, analisis kenyataan di akhbar, pandangan pakar perlembagaan dan kesimpulan.

2.0 Analisis Kenyataan Akhbar

Sebelum analisis dibuat, penulis menyenaraikan kenyataan dan pandangan pimpinan kerajaan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, Agamawan, Peguam dan Orang Awam yang dilaporkan di akhbar arus perdana. Ringkasan yang dimuatkan dalam artikel ini akan dapat memperlihatkan komitmen dan tasawwur individu ataupun parti politik dalam berbicara mengenai undang-undang hudud di Malaysia.

(a) Kenyataan Ahli Politik Barisan Nasional

Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak: Kerajaan tidak akan laksanakan hukum hudud. Elemen undang-undang Islam telah pun dilaksanakan di Malaysia

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin: Malaysia tidak bersedia untuk laksanakan hudud

Presiden MCA, Dato Chua Soi Lek: MCA akan keluar BN jika UMNO laksanakan hudud.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Zahid Hamidi: Hukum hudud belum dapat dilaksanakan kerana masalah kesesuaian dalam masyarakat majmuk negara ini.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin: Gesa agar kerajaan pusat meminda perlembagaan bagi membolehkan kerajaan Kelantan melaksanakan hudud.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong: Mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat berkenaan hudud sebagai usaha yang tidak berguna kerana setiap parti anggota pakatan itu mempunyai pendirian dan ideologi berbeza dalam pelaksanaan hukum hudud.

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang: Pemimpin PAS mempunyai “impian peribadi” untuk melaksana undang-undang tersebut. PAS harus sedar bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum dan agama. Adalah tidak wajar PAS memaksa pandangan mereka ke atas semua rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

(b) Kenyataan Ahli Politik Pakatan Rakyat

Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim: Hasrat Negeri Kelantan mahu melaksanakan hudud sewajarnya dihormati.

Pengerusi DAP, Karpal Singh: Tidak bersetuju dengan pendirian Dato’ Nik Abdul Aziz yang mahu menegakkan hukum hudud dan menubuhkan negara Islam.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat: Tetap dengan pendirian untuk menegakkan hukum hudud dan penubuhan negara Islam walaupun mendapat tentangan hebat daripada DAP

Ketua pemuda PAS, Nasrudin Hassan: Mempertahankan hak PAS untuk melaksana undang-undang berkenaan – Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 serta Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003.

Pakatan Rakyat: Pakatan Rakyat menghormati inisiatif PAS untuk laksanakan Hudud. Untuk melaksanakannya, ia perlu capai kata sepakat dan seterusnya pinda perlembagaan.

(c) Kenyataan Agamawan

Presiden Catholic Bishops Conference of Malaysia, Dr Paul Tan Chee Ing: Tiada bantahan untuk melaksanakan hudud selagi mana terpakai kepada Muslim sahaja.

Mantan Mufti Perlis Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin: Pelaksanaan hukum hudud memerlukan ijtihad ataupun tafsiran baru dengan mengambil kira aspek perubahan zaman dan tempat.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria: Menyokong hasrat Pas mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya: Melaksanakan hukum hudud adalah kewajipan orang Islam dan tidak boleh dipersoalkan

(d) Kenyataan Peguam dan Orang Awam

Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee: Hudud tidak boleh dilaksanakan dalam kerangka Perlembagaan Malaysia dan undang-undang sedia ada.

Mantan Presiden Majlis Peguam, Haji Sulaiman Abdullah: Hudud tidak boleh dilaksanakan di Malaysia pada waktu ini berdasarkan kepada status Malaysia yang tidak berciri Islam sepenuhnya.

Pengerusi Kelab Penyokong Pas, Hu Phang Chaw: Menyeru kerajaan Kelantan untuk membuat referendum bagi meninjau kehendak rakyat terhadap undang-undang Hudud.

2.1 Analisis Ringkas Kenyataan dan Pandangan

Secara umumnya melalui pemerhatian dan pembacaan berdasarkan kepada kenyataan pelbagai di atas, kesimpulan yang boleh dirumuskan adalah seperti berikut:-

(i) Pimpinan Barisan Nasional konsisten menolak perlaksanaan hudud dalam kerangka undang-undang dan realiti masyarakat. Walaupun Khairy Jamaludin menyatakan pendirian untuk menggesa kerajaan meminda undang-undang untuk membolehkan perlaksaan hudud di Kelantan, ianya mungkin tidak boleh diambil kira untuk mewakili kerajaan Barisan Nasional atas dasar pandangan peribadi dan juga kedudukan beliau di dalam kerajaan.

(ii) Pimpinan Pakatan Rakyat PKR dan PAS nampak seia sekata dalam isu ini dengan menghormati hasrat kerajaan Kelantan untuk melaksanakan undang-undang Hudud. Namun begitu, DAP tetap konsisten dengan pendirian mereka menolak sebarang idea perlaksanaan hudud termasuk penubuhan negara Islam. Dalam ketidaksefahaman dan perbezaan ideologi ini, Pakatan Rakyat telah bersepakat untuk menghormati pendirian masing-masing dan bersetuju untuk mendahulukan agenda yang disepakati.

(iii) Menarik untuk diperhatikan ialah tatkala ada juga pimpinan Islam yang mempersoalkan perlaksanaan hudud, pandangan Paderi Paul jelas memperlihatkan bahawa sekiranya ada kefahaman yang baik dalam memahami isu ini, perlaksanaan hudud bukanlah satu perkara yang boleh menimbulkan keresahan di kalangan bukan Islam di Malaysia. Para Mufti pula amat konsisten dan sangat bertegas kepada keperluan melaksanakan hudud di Malaysia keranya ianya merupakan tuntutan akidah.

(iv) Merujuk kepada pandangan peguam dalam isu ini, mahu tidak mahu kita perlu akui bahawa sebarang usaha ke arah perlaksanaan hudud di Malaysia mempunyai halangan dari segi ruang lingkup undang-undang. Isu halangan undang-undang ini perlu diberikan perhatian kerana sekiranya tiada pindaan dan perubahan pada beberapa undang-undang sedia ada, hudud tidak akan dapat diimplementasikan di Malaysia.

(v) Pandangan dari Kelab Penyokong Pas, Hu Phang Chaw menunjukkan kematangan dari segi memahami realiti masyarakat di Malaysia. Idea yang menggesa referendum tinjauan kemahuan dan kehendak rakyat di Kelantan boleh dijadikan kayu ukur dan penentu kepada hasrat rakyat serta penerimaan masyarakat terhadap perlaksanaan hudud.

3.0 Pandangan Pakar Perlembagaan

Berkesempatan menemubual Profesor Andrew Harding di mana karya penulisannya menjadi buku teks wajib undang-undang perlembagaan kebanyakan fakulti undang-undang di Malaysia, pandangan beliau yang lebih bersifat ‘legalistic’ dan tidak berbau politik sangat baik untuk dimanfaatkan. Walaupun banyak isu-isu yang dibincangkan semasa sesi dialog dengan beliau, penulis hanya ingin menyatakan pandangan beliau berkenaan dengan perlaksanaan hudud di Malaysia.

Amat menarik perbincangan kami apabila beliau dengan tegas menyatakan bahawa Perlembagaan Malaysia tidak bersifat sekular. Ini menunjukkan bahawa terdapat pengiktirafan pada Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan. Bahkan tidak ada perkataan yang menyatakan Islam sebagai agama rasmi negara tetapi apa yang termaktub ialah Islam adalah agama persekutuan.

Namun begitu, beliau berpandangan peruntukan ini tidak boleh dianggap sebagai mutlak bagi membolehkan perlaksanaan hudud di Malaysia. Implementasi hudud memerlukan pindaan perlembagaan dan beberapa undang-undang sedia ada yang sekiranya dilihat dalam konteks komposisi kerajaan dan pembangkang sedia ada agak sukar untuk dimaterialisasikan.

Menurut pemerhatian beliau, kebanyakan pandangan yang dilaporkan diakhbar adalah bersifat politik dan ini tidak banyak memberikan manfaat. Beliau lebih cenderung untuk membicarakan isu hudud ini dari aspek perundangan dan disesuaikan dengan realiti masyarakat di Malaysia. Walaupun ada pandangan yang melihat bahawa Perlembagaan sedia tidak perlu dipinda untuk melaksanakan hudud, beliau sangat tidak bersetuju dengan pandangan ini.

Beliau dengan serius menyatakan bahawa perlembagaan harus difahami secara menyeluruh dengan mengambil kira faktor aspirasi penggubal perlembagaan, pentakrifan, penafsiran dan banyak faktor perundangan yang lain. Idea ‘simplistic’ yang mengambil pendirian bahawa hudud boleh dilaksanakan di Malaysia berdasarkan kepada peruntukan Islam sebagai agama persekutuan adalah tidak tepat.

4.0 Kesimpulan

Polemik hudud di Malaysia telah menimbulkan pelbagai spekulasi dan isu yang membelenggu rakyat Malaysia hingga kini. Isu ini dijuarai oleh ahli politik walaupun sepatutnya ia dibicarakan secara jujur, ilmiah, ikhlas oleh segenap lapisan masyarakat terutama mereka yang pakar dan berautoriti. Walaupun tidak dinafikan polemik hudud ini memberikan kesan negatif kepada persepsi masyarakat kepada undang-undang Islam, tetapi dalam masa yang sama ianya boleh menjadi pencetus kepada usaha ke arah penanaman pemahaman masyarakat.

Ini dibuktikan dengan sokongan paderi Paul dan Hu Hu Phang Chaw, wakil kelab penyokong Pas berbangsa cina yang secara terang-terangan tidak mempunyai sebarang masalah atau kegelisahan kepada idea perlaksanaan hudud di Malaysia. Hal ini juga dibuktikan di Switzerland di mana Daniel Streich, seorang ahli politik yang anti-Islam membantah pembinaan menara masjid dan sebagainya, akhirnya memeluk Islam dan kini menjadi aktivis yang sangat aktif bergiat memperjuangkan Islam di Eropah.

Semoga dengan perbincangan ringkas di dalam artikel ini akan dapat memberikan kefahaman yang sewajarnya dalam memahami dan menghadami isu perlaksanaan hudud di Malaysia. Bagi orang-orang Islam, mereka tiada pilihan kerana perlaksanaannya adalah tuntutan akidah. Manakala bagi orang bukan Islam, mereka perlu menghormati ideologi dan akidah umat Islam seperti mana Muslim menghormati agama mereka dan ini termasuk dalam hak-hak untuk melaksanakan undang-undang Islam. Sikap hormat-menghormati, berlapang dada, tidak emosi, bersandarkan kepada ilmu dan realiti masyarakat merupakan faktor penentu kepada keharmonian beragama di Malaysia.

Disediakan oleh: Dr Zulkifli Hassan, Exco Shariah & Kewangan Islam

Sumber: ABIM

Tuesday, October 4, 2011

Induksi Sikap

Seminggu berkampung di Kolej Sains Kesihatan (KSKB) Johor Bharu, saya dipertemukan dengan beberapa orang lama dalam perkhidmatan awam. Pengalaman puluhan tahun dikongsikan dengan para peserta. Antara 'best speakers' yang menarik perhatian saya ialah Tuan Haji Zulkifli b. Tahir, Pengarah KSKB Johor Bharu dan Encik Kalithasan a/l Kaliappan.

Saya rasa mesej terpenting yang dapat disimpulkan dari kursus ini ialah JANGAN SOMBONG, AMANAH dan PRIHATIN. Bunyinya macam slogan skema yang boleh dilihat dalam banyak motto dan logo organisasi. Tapi sebenarnya, banyak cerita-cerita yang berlegar dalam bidang kesihatan dan perkhidmatan awam ada disebalik slogan tersebut.

JANGAN SOMBONG

Tak dinafikan, orang-orang yang bekerja di hospital mudah nak rasa angkuh dan sombong. Maklum aje lah, kata-kata kita didengar dan diikuti oleh pesakit (walaupun ada pesakit yang degil tak dengar kata hehe). Kita juga dirujuk oleh ramai orang, lebih-lebih lagi kalau kita seorang pakar, perunding atau yang mempunyai latar belakang akademik dan prestasi kerja yang cemerlang. Bila berjalan atau dalam majlis-majlis, orang 'address' kita. Kalau kita seorang bos, kita dihormati oleh staf-staf bawah.

Walau apapun pangkat kita dalam sesuatu organisasi, jangan kita sombong dan berasa besar diri dengan kedudukan tersebut. Hormatilah orang bawahan, hormatilah staf-staf sokongan, hormatilah pengawal-pengawal keselamatan, hormatilah tukang cuci kerana mereka semua berperanan dalam menjadikan hospital berfungsi dengan baik.

Pangkat dan kedudukan, semuanya adalah anugerah dan pinjaman dari ALLAH. Sebesar mana pun pangkat kita, kita akan bersara suatu hari nanti dan kemudiannya bersara terus dari hidup di dunia ini. Waktu itu, siapalah kita....

AMANAH

Amanah berkait dengan keberkatan gaji yang kita dapat pada setiap akhir bulan. Bahkan, berkait juga dengan keberkatan hidup. Dalam perkara apa? Macam-macam antaranya bidang tugas, masa kerja, pemilihan kontrak, tuntutan perbelanjaan dan penggunaan harta kerajaan. Saya percaya ramai yang tahu kisah Umar Al-Khattab dengan pelita cahaya milik kerajaan. Fikir-fikirkanlah...

PRIHATIN

A patient's profile is not just merely pieces of papers with words and numbers. It reflects a personality, a person with family and friends, a person who deserves respect and caring no matter who they are. Treat your patients like your family.

Kalau ahli keluarga kita masuk hospital, bagaimana harapan kita kepada staf-staf hospital tersebut? Terbalikkan harapan itu pada keluarga pesakit. Lihat end result. Don't just define achievement by looking at improving lab results, vital signs and compliance to medications, but look also at improving family relations and happiness signs that will insya ALLAH come up as a result of good services by us.

Nota Kaki 1:

Rujuklah orang-orang yang lebih berpengalaman kerana banyak pengajaran berharga yang boleh kita dapat daripada mereka, yang disampaikan dengan cara yang sangat mudah untuk kita faham. Smart person simplify difficult things.

Nota Kaki 2:

Satu perkara yang perlu diambil berat dalam alam pekerjaan ialah menghindarkan diri daripada tabiat mengumpat. Agak berleluasa juga. Nampak gaya macam tak rasa bersalah bercakap sesuatu yang tidak elok tentang orang lain.

Mengumpat ialah bercakap sesuatu yang betul berlaku tetapi tidak disukai oleh orang yang diumpati. Kalau bercakap sesuatu yang tidak berlaku, itu fitnah namanya. Sama ada fitnah atau umpat, kedua-duanya dosa dan besar balasan buruknya di sisi ALLAH.

Lebih baik cakap direct kat tuan empunya badan. Cakap direct tak semestinya cakap dengan mulut depan-depan orang tu, boleh je bagi pesanan bertulis. Apapun, jauhi mengumpat! FULL STOP